Followers

Friday, October 16, 2009

anggota SRS selamatkan budak




Khadijah Awang bersama cucunya, Wan Zainidah Wan Badrulshah yang selamat ditemui selepas dilarikan dua lelaki di Kampung Kadok dekat Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 16 Okt. - Seorang nenek menarik nafas lega apabila cucunya berusia empat tahun ditemui semula selepas dua jam dilarikan dua lelaki yang mendakwa rakan kepada bapa kanak-kanak itu di Kampung Kadok dekat sini petang semalam.

Sekiranya tidak ditemui semula, Khadijah Awang, 64, pastinya menyesal seumur hidup kerana cucu yang dipeliharanya sejak berusia setahun itu, Wan Zainidah Wan Badrulshah dilarikan di depan matanya kira-kira pukul 4.15 petang.

Ketika itu, Khadijah sibuk merebus ketupat sempena hari terakhir berpuasa sunat Syawal.

Apa yang pasti, nenek ini amat terhutang budi kepada anggota unit Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kadok yang bertindak pantas mengesan kanak-kanak itu yang ditinggalkan bersendirian di persimpangan Kampung Chekeli kira-kira 3 kilometer dari tempat kejadian.

Ketika ditemui pemberita di sini hari ini, Khadijah menceritakan detik cemas itu apabila dua pemuda datang ke rumahnya sambil mendakwa rakan baik kepada bapa mangsa yang merupakan anaknya.

"Ketika sampai di rumah, lelaki yang berusia lingkungan 30-an itu memanggil anak lelaki saya. Ketika itu, cucu saya sedang mewarna buku bersama sepupunya, Alia Maisarah Mohd. Akhir, 4, di depan pintu.

"Saya kemudian melayan kedua-dua lelaki ini kerana menyangka mereka kawan anak saya. Saya kemudian ke dapur tetapi berasa tidak sedap hati meninggalkan cucu saya di depan,'' katanya.

Katanya, kira-kira 30 minit kemudian, Alia Maisarah tiba-tiba menjerit memberitahu Ida dibawa suspek menaiki motosikal.

Menurutnya, ketika kejadian, bapa mangsa tiada di rumah dan selepas menjerit meminta tolong, orang ramai mula datang membantu.

Kira-kira dua jam kemudian, kata Khadijah, anggota SRS datang memaklumkan mereka telah menemui cucunya dan membawa pulang ke rumah.

"Syukur kerana Ida ditemui tanpa sebarang kecederaan. Bagaimanapun, beberapa perhiasan seperti subang, gelang dan rantai yang saya beli dengan harga RM980 sebelum Ramadan lalu yang dipakainya hilang," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, pihaknya sedang memburu dua suspek yang terlibat.

sumber~utusan

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails