Followers

Thursday, October 15, 2009

Borakbola kembali temui peminat

Borakbola kembali temui peminat

Empat bulan selepas blog Najmi tidak beroperasi, Najmi kini lebih peka dan sensitif memuat naik gambar bagi mengelakkan ada pihak yang tersinggung.


NAJMI bersama koleksi jersi kelab pasukan bola sepak dunia.


BLOG sebenarnya memerlukan komitmen tinggi daripada seseorang blogger. Mereka juga perlu menerima hakikat bahawa mungkin bukan semua orang menyukai blog terbabit.

Begitulah situasi yang terpaksa dihadapi oleh blogger Mohd. Kamarul Najmi Othman, 25, apabila blog miliknya yang ditubuhkan dua tahun lalu berdepan dengan kesukaran.

Asalnya, blog mengenai bual bicara bola itu telah diusahakan bersama rakan baiknya ketika mengikuti pengajian di Korea.

"Kami ada dua blog ketika itu. Blog yang lagi satu telah menimbulkan ketidakpuasan hati beberapa pihak. Jadi kami telah diarahkan untuk menghentikan sementara kedua-dua blog tersebut.

"Ini bertujuan meredakan masalah yang berlaku sebelum ini," katanya yang tidak mahu mengulas lanjut berhubung insiden itu.

Namun, setelah empat bulan blog borakbola.net tidak beroperasi, Najmi berhadapan pula dengan situasi untuk mengembalikan semula peminat blognya.

Justeru itu, dia mula bertungkus-lumus memaparkan maklumat terkini berkaitan dunia bola dan menggunakan gimik yang bagus untuk menarik peminat.

Berkat kesungguhan yang mendalam, Najmi mampu menarik nafas lega kerana borakbola kembali bersinar seperti sediakala. Bagaimanapun, pengajaran lalu telah membuatkan remaja itu lebih berhati-hati.

Terutama dalam memuat naik gambar-gambar supaya tiada pihak yang tersinggung. Nampak senang tetapi itulah hakikat yang terpaksa ditelan oleh kesemua blogger. Semuanya supaya tidak menghasilkan karya yang hanya mengikut selera sendiri.

"Meskipun perkara yang terjadi itu sedikit remeh, tetapi saya fikir ia memberi kesan yang mendalam terhadap pengikut borakbola.net," ulasnya.

Semua pasukan

Disebabkan terlalu meminati sukan bola sepak, membuatkan Najmi tidak berputus asa untuk meneruskan penulisannya mengenai sukan yang mempunyai ramai peminat tidak mengira peringkat umur.

Dia yang meminati pasukan Liverpool bukan sekadar membuat ulasan berhubung pasukan itu semata-mata. Sebaliknya anda dapat melihat pelbagai paparan kategori mengenai pasukan lain. Sama ada antarabangsa mahupun tempatan.

"Saya akan muatkan semua berita mengenai bola kerana saya juga mengikuti perkembangan bola sepak tempatan. Inilah yang saya ingin terapkan dalam konsep borakbola," katanya.

Menurut kakitangan swasta itu lagi, antara pautan yang menjadi perhatian para peminatnya ialah keputusan terbaru perlawanan bola sepak.


KLIK sahaja borakbola.net kesemua pautan berita arena bola sepak dapat disaksikan.


Ini bermakna dia perlu mengemaskini sebarang keputusan dari semasa ke semasa supaya tidak ketinggalan.

Selain itu, Najmi juga menjadikan laman web bola sepak terkenal iaitu Soccernet sebagai rujukan utama. Selain memantau blog-blog lain yang berkaitan dengan borakbola.

"Saya pantau blog lain untuk dijadikan bahan rujukan dan mencari kelainan. Matlamat saya ialah tidak mahu apa yang saya keluarkan di dalam borakbola sudah ada di blog lain.

"Melainkan ada isu-isu besar yang mana kesemua blogger akan membincangkan hal tersebut," jelasnya.

Sementara itu, kesuntukan waktu kerja membuatkan Najmi perlu bijak mencuri masa untuk mengendalikan blognya itu dengan memasukkan sekurang-kurangnya satu maklumat sehari.

Dia menyifatkan malam sebagai waktu yang terbaik untuk mengulas blog itu dengan memperuntukkan masa sekurang-kurangnya sejam. Mengenai hiasan blognya pula, Najmi lebih suka memilih warna hitam untuk menyerikan borakbola.

Di samping itu, gambar-gambar yang dimuatkan juga mestilah berkualiti. Misalnya gambar cara tendangan bola oleh para pemain atau jaringan gol yang mencuri hati penonton.




Bagaimanapun, dia tidak menafikan dengan memaparkan gambar sahaja tidak mendatangkan maklum balas yang memuaskan. Ini kerana peminatnya lebih berminat untuk menonton video.

"Setelah membuat kajian, video lebih berkesan berbanding gambar. Ini kerana peminat biasanya lebih suka menonton video kerana ia lebih menarik. Pada masa sama mereka boleh pelajari teknik sepakan bola," jelasnya.

Aksesori

Lelaki berkaca mata itu juga tidak lupa untuk mengetengahkan maklumat terkini berhubung jersi terbaru pasukan bola. Najmi melihat ia wajar kerana jersi merupakan antara aksesori yang sentiasa mendapat perhatian peminat bola.

"Jersi memang mendapat sambutan hangat tidak kira harganya murah atau mahal," katanya ringkas.

Bukan hanya jersi sahaja, peminat juga boleh mengetahui maklumat terkini mengenai keluaran kasut bola yang terbaru. Permainan video juga boleh dimuatkan, lengkap bersama huraiannya seperti Football Manager 2010 dan Championship Manager 2010.

sumber~kosmo

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails