Followers

Wednesday, October 14, 2009

Buat imbasan awal

Buat imbasan awal




Pembedahan implan koklea merupakan pilihan alternatif untuk membetulkan deria pendengaran seseorang.

PENSYARAH Kanan dari Jabatan Sains Pertuturan dan Audiologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Cila Umat berkata, masalah kehilangan deria pendengaran masih diambil remeh. Sebabnya, ramai yang tidak melihat masalah itu sebagai satu situasi antara hidup dan mati.

Namun, bagi Koordinator Program Audiologi di UKM itu, masalah hilang pendengaran dalam kalangan kanak-kanak ialah satu kecacatan tersembunyi.

"Kanak-kanak khasnya bayi tidak mampu memberitahu ibu bapanya tetang kekurangan itu. Lagipun, anak mungkin nampak normal secara fizikal. Tetapi, jika mengalami masalah hilang daya pendengaran tahap serius, maka, keupayaan untuk membangunkan kemahiran bertutur akan terjejas," katanya ketika dihubungi oleh Kosmo! baru-baru ini.

Malah, sepanjang kerjayanya dalam bidang audiologi di UKM sejak tahun 1996, peningkatan tahap kesedaran dalam kalangan ibu bapa terhadap kepentingan menjalani imbasan pendengaran anak masih belum mencapai jangkaan.

Membentuk kemahiran bertutur

Di Malaysia, kebanyakan hospital di bawah kelolaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya menjalankan imbasan pendengaran ke atas kumpulan bayi berisiko tinggi. Mereka yang mendapat penyakit kuning neonatal tahap serius sehingga memerlukan pemindahan dan ibu-ibu yang dijangkiti rubella sepanjang tempoh kehamilan menjadi golongan sasaran.

Secara umumnya, seseorang anak normal mampu mendengar semua jenis bunyi di sekelilingnya dan membentuk perkataan pertama pada usia setahun. Sebaliknya, kemahiran bertutur bagi anak yang bermasalah pendengaran tidak boleh dibentuk secara spontan. Di sini, ibu bapa perlu memainkan peranan untuk menjadi lebih sensitif dan peka.

Ini bagi mengesan sebarang masalah pendengaran yang dihadapi oleh anak. Simptomnya, anak tidak menunjukkan sebarang reaksi terhadap bunyi yang kuat seperti guruh atau pintu yang ditutup kuat. Malah, panggilan dari arah belakang juga tidak diendahkannya. Jadi, anda harus berasa bimbang.

"Anak mungkin bercakap merapik tetapi tidak pula berkembang menjadi pertuturan. Mereka yang hilang pendengaran tahap sederhana bagaimanapun mampu bertutur. Cuma mungkin pertuturan itu sukar difahami," jelasnya.

Imbasan pendengaran boleh dilakukan ke atas bayi seawal usia 24 jam selepas dilahirkan.

Diagnosis masalah pendengaran dan 'pembetulan' yang dilakukan awal mampu meningkat prestasi pertuturan seseorang anak. Buktinya, tempoh kritikal untuk mempelajari sesuatu bahasa dan bertutur ialah sebelum usia empat tahun mengikut karakteristik otak. Jadi, semakin lambat sesuatu diagnosis dibuat, semakin rendahlah hasil positif yang diperoleh daripada program tersebut.

The Joint Committee of Infant Hearing turut mencadangkan diagnosis dibuat sebelum anak berusia tiga tahun. Saranan rawatan perlu bermula sejak usia enam bulan agar kemahiran bertutur boleh dibentuk secara normal.


KESESUAIAN implan koklea untuk pesakit juga memerlukan pemeriksaan menyeluruh. - Gambar hiasan


Pelan pemulihan intensif

Sebaik disahkan, alat bantuan pendengaran akan dipasang dan disusuli dengan pelan pemulihan intensif. Dari sini bermulanya satu proses pembelajaran baru bagi anak. Antaranya merangkumi bagaimana mendengar, membeza, mengenal pasti atau memahami bunyi yang didengar.

Secara amnya, semua kanak-kanak yang telah disahkan masalah pekak serius dinasihati untuk mempertimbangkan implan koklea sebagai rawatan alternatif. Namun, pemeriksaan menyeluruh perlu dilakukan untuk mengenal pasti kesesuaian implan koklea untuk pesakit.

"Kes Wan Xi ialah bukti terbaik bagaimana diagnosis dan rawatan awal untuk masalah pendengaran boleh memanfaatkan seseorang individu. Implan kokleanya diterima sebelum hari jadi pertamanya. Sejak usia empat atau lima bulan, dia dipasang alat bantuan pendengaran sebelum dia menerima implan koklea pada telinga kirinya.

"Tengok perkembangan Wan Xi sekarang. Dia sudah dapat bertutur secara spontan dan sangat normal seperti kanak-kanak lain. Malah, dia pun suka menyanyi. Implan koklea yang membolehkannya berbuat demikian," ujar Cila.

Namun, pembedahan implan koklea sahaja tidak akan berguna jika tiada komitmen oleh ibu bapa untuk meneruskan program Implan Koklea UKM.

Berdepan skeptikal ibu bapa

Biarpun teknologi implan koklea merupakan peranti perubatan paling berjaya dalam membantu pesakit memperoleh semula keupayaan mendengar, ia tidak semestinya disambut baik oleh pesakit. Kes terpencil yang pernah diterima Cila ini menjadi buktinya.

Pasangan ibu bapa pekak yang juga memiliki anak-anak pekak ada alasan untuk menolak impan koklea. Ironinya, 'rasional' mereka ialah jika anak sudah mampu bertutur semula, mereka tidak akan menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi dengan ibu bapa. Jadi, kehadiran teknologi implan koklea tidak menggembirakan mereka.

"Apa-apa pun, jangan tunggu sehingga anak berusia dua atau tiga tahun dan tidak bertutur, baru nak dapatkan bantuan. Itu sudah terlambat!" tekannya berkali-kali.

Justeru, diagnosis awal dan penggunaan alat bantuan pendengaran atau implan koklea yang disusuli dengan terapi pertuturan intensif mampu mengubah hidup seseorang anak. - YEO LI SHIAN

sumber~kosmo

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails