Followers

Wednesday, October 14, 2009

Cabaran sengit di Litar Zhuhai

Cabaran sengit di Litar Zhuhai


CHALERMPOL (kiri) dan Decha terlalu unggul apabila menghuni dua kedudukan terbaik bagi kategori SuperSports 600cc musim ini.


KEJUARAAN Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) kembali menggegar litar.

Selepas berehat hampir sebulan, Pusingan 5 kejuaraan itu beralih ke Litar Antarabangsa Zhuhai di China hujung minggu ini.

Pusingan 4 sebelum ini berlangsung di Litar Madras, India pada 4 hingga 6 September lalu.

Seperti biasa, buruan menduduki podium terus menjadi persaingan di kalangan pelumba bagi mengukuhkan kedudukan masing-masing dalam carta keseluruhan.

Saingan menarik pastinya bagi kategori utama iaitu SuperSports 600cc.

Selepas empat pusingan, dua pelumba Thailand menguasai dua tempat teratas dalam kedudukan keseluruhan.

Chalermpol Polamai mendahului dengan 165 mata diikuti rakannya, Decha Kraisat yang sudah mengutip 143 mata.




Pelumba terbaik negara bagi saingan Supersports 600c ini ialah Md. Zamri Baba di tempat ketiga, Ahmad Fuad Baharuddin (keempat) dan Azlan Shah (kelima).

Begitupun, peluang tiga pelumba negara ini untuk memintas kedudukan dua pelumba Thailand itu nampak sukar berdasarkan perbezaan mata.

Zamri kini meraih 118 mata, Ahmad Fuad (90) dan Azlan (84).

Berdasarkan perbezaan tersebut, kedudukan Chalermpol sebagai pendahulu memang sukar digugat kerana kejuaraan ini cuma tinggal satu pusingan sahaja lagi sebelum tirai musim 2009 dilabuhkan.

Andai dua pelumba Thailand itu gagal meraih sebarang mata pada Pusingan 5, kedudukan mereka sebagai pendahulu tidak terancam.

Atas kertas, pelumba Malaysia khususnya Zamri boleh memikirkan sasaran untuk menamatkan saingan musim ini di tempat kedua keseluruhan, dengan syarat dia tampil hebat di Zhuhai hujung minggu ini.

Fuad, antara pelumba paling senior dan berpengalaman dalam kejuaraan ini mungkin mendapati sukar berdasarkan pada jumlah mata yang dikutipnya setakat ini.

Bagi kategori Underbone 115cc, peluang untuk bergelar juara terbuka luas kepada semua pelumba.

Kedudukan pelumba Malaysia, Affendi Rosli yang kini mendahului carta keseluruhan dengan 99 mata nampak belum selamat.




Rakannya, Iskandar Raduan (gambar) yang berada di tempat kedua dengan 88 mata mampu mengatasi Affendi sekiranya menamatkan perlumbaan dengan keputusan cemerlang di Zhuhai kelak.

Fitriansyah Kete (78 mata) dari Indonesia juga antara pencabar yang mampu menggugat kedudukan dua pelumba Malaysia itu untuk bergelar juara keseluruhan.

Bagi Iskandar, dia berazam untuk terus memburu mahkota kejuaraan.

Menurut pelumba berusia 24 tahun itu, perlumbaan di Zhuhai hujung minggu ini akan menjadi penentu terhadap sasarannya musim ini.

"Saya mahu menjejaki podium seperti mana yang saya lakukan pada Pusingan 4 di Madras, India sebelum ini," katanya.

Pada perlumbaan di Madras, Iskandar menduduki tempat kelima pada perlumbaan 1 dan selepas itu muncul juara pada perlumbaan 2.

Rakan sepasukan Iskandar, Hafizh Syahrin Abdullah turut dilihat memiliki keupayaan untuk mencabar kedudukan tiga pelumba teratas.

Hafizh kini menduduki tempat keempat dengan 72 mata selepas mengharungi perlumbaan di Madras dengan keputusan cemerlang.

"Kejayaan di India telah menghidupkan semula peluang saya untuk terus memberi cabaran," kata pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Raceline itu.

sumber~kosmo

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails