Followers

Thursday, October 15, 2009

Dakwah Siti menerusi Tahajjud Cinta



TIADA lain yang diharapkan Siti melainkan album Tahajjud Cinta mampu dinikmati sepenuhnya oleh semua lapisan masyarakat.


BINGKISAN terbaru penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza ini ternyata memberi satu kelainan dan sentuhan yang cukup berbeza daripada senarai diskografinya sebelum ini.

Mana tidaknya, jika sebelum ini nuansa pop dan tradisional menjadi taruhan anak jati Pahang ini, tetapi kali ini Siti memilih lagu-lagu berunsurkan kerohanian pula.

Album yang menggunakan judul Tahajjud Cinta itu merupakan album solo Siti yang ke-14 dan ia juga percaturan pertama Siti dalam melagukan lagu-lagu sedemikian.

Ternyata, percubaan pertama Siti merakamkan lagu kerohanian memang wajar dipuji kerana emosi dan penghayatan Siti untuk kesemua lapan lagu yang terkandung dalam album ini berjaya meninggalkan impak.

Itulah kelebihan Siti yang dikurniakan Allah SWT kepadanya. Berilah apa sahaja lagu, dia akan menyampaikannya dengan bersungguh dan melunaskan tanggungjawabnya dengan cemerlang sekali.

Namun bagi pemilik suara emas ini, untuk merakamkan sebuah album Tahajjud Cinta bukanlah semudah yang disangka seperti mana rakaman album pop dan tradisional.

Jelas Siti, untuk lagu-lagu sebegini ia memerlukan penghayatan yang cukup mendalam kerana apa yang hendak dibayangkan bukannya berada di depan mata.

Sebaliknya, Siti harus menggunakan imaginasinya dengan meletakkan dirinya di dalam setiap lagu yang disampaikan sebaik mungkin untuk mendapatkan penghayatan.

Daripada situ, emosi Siti dicurahkan untuk memberikan hasil yang terbaik agar ia mampu meninggalkan impak yang besar kepada peminat mahupun pencinta muzik amnya.

"Jujurnya, merakamkan album Tahajjud Cinta memberikan kepuasan yang berbeza berbanding dengan album-album sebelum ini.

"Kepuasan itu dapat diukur dari sudut batiniah apabila menyampaikan lagu-lagu seperti Asma Ul Husna dan Selawat yang memberikan ketenangan yang cukup indah dan mendamaikan.

"Bukan itu sahaja, lagu-lagu sebegini juga mampu membawa kita merenung diri sambil memikirkan betapa besarnya kuasa Allah SWT dan mengenang betapa kerdilnya hidup kita ini.

"Inilah yang saya mahukan dan sampaikan kepada masyarakat dan peminat menerusi album ini kerana pada saya, tidak salah jika kita berkongsi bakat yang diberikan ke arah yang betul dan benar.

"Setidak-tidaknya, selepas ini saya tidak mempunyai masalah untuk menyanyikan lagu-lagu berunsur keagamaan jika dijemput ke majlis yang mengkehendaki saya menyanyi ritma ini," ulas Siti panjang lebar saat tentang album Tahajjud Cinta yang mula berada di pasaran sejak 9 September lalu.

Memetik kata Siti seperti mana yang terkandung dalam kulit album Tahajjud Cinta, album ini bukanlah satu hujah atau ceramah tetapi satu amanah.

Malah, Siti juga mencatatkan bahawa apa sahaja yang diperoleh daripada-Nya diharapkan akan bercambah menjadi sesuatu yang lebih baik serta melimpahkan sejuta rahmat dan memberi hikmah.

Ternyata impian dan harapan Siti cukup besar untuk album ini diterima dengan baik oleh semua lapisan masyarakat.

Dan, Siti kini mampu tersenyum puas dan bangga apabila Tahajjud Cinta sudah pun empat kali diulang cetak dan terus mendapat permintaan yang tinggi.

Bukan itu sahaja, respons yang diterima cukup positif terutama sekali terhadap lagu Ku Percaya Ada Cinta yang semakin rancak diputarkan di corong radio.

Selain lagu Asma Ul Husna, Selawat dan Ku Percaya Ada Cinta, Tahajjud Cinta turut memuatkan lima buah lagu lain iaitu Pintu Rindu, Tahajjud Cinta, Batasku Asaku, Ya Rasulullah dan Ketika Cinta.

Sungguhpun begitu, berkali-kali Siti menegaskan Tahajjud Cinta bukanlah album nasyid seperti yang dirakamkan oleh kumpulan serta artis nasyid lain.

Sebaliknya Siti mahu album ini dilabelkan sebagai album pop kerohanian memandangkan muzik pop menjadi teras kepada Tahajjud Cinta.

Seandainya ada pihak yang mengatakan Siti sekadar mengikut trend seperti mana yang dilakukan oleh artis nasyid sebelum ini, Siti meningkah dakwaan itu.

"Ini bukan soal mengikut trend kerana bagi saya, Tahajjud Cinta merupakan satu permulaan untuk saya dalam menyampaikan lagu-lagu yang berbeza daripada sebelum ini.

"Selain itu, kelahiran Tahajjud Cinta adalah juga untuk menyemarakkan industri hiburan tanah air dengan lagu-lagu sebegini dan saya hanya sekadar menyambung legasi lagu-lagu kerohanian ini.

Optimis

"Mungkin ramai yang tidak sedar selama ini pun lagu-lagu seperti ini pernah disampaikan oleh beberapa orang penyanyi dengan muzik pop moden seperti M. Nasir, Too Phat, Mawi dan Yasin Sulaiman.

"Saya juga mengambil masa yang lama untuk tampil dengan album ini kerana perlu memikirkan beberapa aspek terutama dari aspek kelancaran sebutan dan tajwid," kata Siti yang menggunakan khidmat anggota kumpulan Brothers, Salleh sebagai guru bahasa Arab untuk album ini.

Kerana itu juga, jelas Siti Tahajjud Cinta bukanlah album kerohanian pertama dan terakhir daripadanya dan dia akan meneruskan projek album sebegini selagi hayat dikandung badan.

Ditanya tentang kesediaannya untuk berdepan dengan kritikan daripada semua pihak terhadap album Tahajjud Cinta, Siti dengan penuh terbuka dan bersedia menghadapinya.

"Sejak dari album pertama lagi, saya sentiasa menerima pandangan, kritikan dan idea pendengar mahupun peminat untuk memperbaiki kelemahan saya dalam memberikan yang terbaik untuk mereka.

"Bukan itu sahaja, saya juga tidak kisah seandainya album ini tidak mendapat sambutan mahupun mencatatkan penjualan yang menggalakkan kerana apa yang penting adalah kesannya," ujarnya penuh rendah diri namun optimis.

Melihatkan Tahajjud Cinta yang hanya memuatkan lapan buah lagu sahaja, adakah ia memberi petanda bahawa artis hebat seperti Siti akhirnya tunduk kepada keadaan pasaran muzik semasa?

Bagi Siti, soal bilangan lagu bukanlah satu masalah dalam penerbitan album-albumnya kerana apa yang amat dititik beratkan oleh Siti adalah kualiti.

"Biarpun hanya lapan buah lagu dengan harga yang berpatutan, ia tidak menjadi masalah. Dalam keadaan pasaran muzik semasa sekarang, banyak cara untuk memasarkan muzik kita dan salah satunya adalah dengan cara muat turun.

"Lagipun, syarat untuk album yang layak bertanding dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) adalah sekurang-kurangnya lima buah lagu," ujarnya memberikan buah fikiran tentang industri muzik tempatan yang semakin didominasi dengan pasaran digital.

Melihatkan tahun 2009 sudah hampir melabuhkan tirainya, Siti turut ditanya tentang perancangannya untuk tiga bulan terakhir ini dan seterusnya untuk tahun 2010.

Kata Siti, dia gembira kerana sepanjang tahun 2009, banyak perkara manis yang tercatat dalam profil seninya seperti kejayaan konsert Satu dan keunggulannya meraih trofi dalam AIM, Anugerah Planet Muzik dan Anugerah Bintang Popular.

Untuk itu katanya, tahun 2009 akan ditutup dengan kelahiran album duetnya bersama Kris Dayanti yang akan dirakamkan sedikit masa lagi.

"Saya juga mengharapkan sinar kejayaan dan kecemerlangan akan berpihak kepada saya untuk tahun 2010 kerana saya juga akan terlibat dalam beberapa konsert besar. Semuanya akan diumumkan kelak," jelas Siti mengunci rapat mulutnya dan enggan berkongsi rahsia selagi semuanya belum disahkan.

sumber~utusan malaysia

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails