Followers

Friday, October 16, 2009

Gagal sematkan adk dan sepupu yg lemas



TANAH MERAH 16 Okt. - Dalam kebuntuan melihat adik dan sepupunya terkapai-kapai di dalam kolam sedalam 2 meter, Syafiz Hafzan Mohd. Ramli, 8, nekad menghulurkan ranting kayu untuk menyelamatkan mereka.

Namun usaha tersebut tidak menjadi.

Dia hanya melihat Muhammad Alfa Hidayat, 5, dan sepupunya, Muhammad Shuhaimi Zul Anuar, 7, tenggelam di dalam telaga yang terletak di sebuah kawasan kolam takungan air di Kampung Kuang, Bukit Panau di sini, petang semalam.

Insiden menyayat hati itu berlaku ketika dua beradik itu bermain bersama sepupu mereka.

Menceritakan mengenai kejadian itu, Syafiz Hafzan memberitahu, dia terdengar jeritan adik dan sepupunya meminta tolong selepas terjatuh ke dalam telaga yang agak dalam.

"Saya cuba menyelamatkan mereka dengan menghulurkan ranting kayu. Namun, ranting itu patah dan mereka terus tenggelam dan tidak lagi timbul selepas itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Syafiz Hafzan berkata, dia kemudian berlari ke rumah neneknya yang terletak kira-kira 50 meter dan memberitahu kejadian itu.

Katanya, ketika itu, hanya neneknya, Zainab Awang, 70, berada di rumah.

Ketika ditemui, Zainab berkata, telaga tersebut dikorek sebagai sumber air dan hujan lebat menyebabkan airnya melimpah keluar dan gagal dilihat dua kanak-kanak itu.

Sejurus selepas dimaklumkan cucunya, kata Zainab, dia dengan bantuan penduduk kampung bergegas ke tempat kejadian tetapi mendapati kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat lemas.

"Memang menjadi kebiasaan, tiga cucu saya ini akan datang ke rumah setiap kali selepas balik dari sekolah mereka di Sekolah Kebangsaan Bukit Panau.

"Tetapi semalam, mereka terus pergi ke kawasan kolam tersebut yang ditakungi air akibat hujan lebat baru-baru ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Supritendan Abdul Aziz Mahmud ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.45 petang.

"Ketika polis tiba, semua mangsa telah dibawa ke rumah masing-masing oleh ahli keluarga mereka.

"Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat sejam selepas itu," ujarnya.

Jenazah Muhammad Shuhaimi dan Muhammad Alfa dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gading pada pukul 10.30 pagi ini.

sumber~utusan

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails