Followers

Sunday, October 18, 2009

Helikopter polis ditembak jatuh


PEGAWAI-PEGAWAI polis memandangkan api daripada bangkai pesawat helikopter polis yang ditembak jatuh oleh sekumpulan pengedar dadah dalam pertempuran di setinggan Morro de Macacos di Rio de Janeiro, Brazil, kelmarin. - AP


RIO DE JANEIRO 18 Okt. – Sekumpulan pengedar dadah menembak jatuh sebuah helikopter polis dan membunuh dua pegawai dalam satu pertempuran dengan penjenayah, hanya dua minggu selepas bandar raya berkenaan dipilih sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 2016.

Sepuluh orang dipercayai pengedar dadah turut terbunuh bersama dua penduduk yang berada di tempat kejadian di kawasan setinggan paling padat, kata para pegawai.

Peluru yang bersimpang siur dari kumpulan Morro dos Macacos (digelar Monkey Hill dalam bahasa Portugis) di kawasan setinggan di selatan Rio de Janeiro itu mengena kaki juruterbang polis, menyebabkan helikopternya hilang kawalan lalu jatuh terhempas.

Akibatnya, dua pegawai terbunuh manakala juruterbang dan tiga anggota polis lain yang berada dalam pesawat tersebut terselamat dalam kejadian itu. Juruterbang dan pegawai kedua bagaimanapun parah terkena tembakan manakala dua pegawai lagi terbakar sebahagian anggota badan, kata ketua polis tentera negeri Rio.

Para pegawai bagaimanapun tidak pasti apakah helikopter berkenaan menjadi sasaran tembakan oleh kumpulan penjenayah atau ia terkena peluru sesat, tetapi pasukan keselamatan akan terus meningkatkan tahap keselamatan di bandar raya kedua terbesar Brazil itu.

Mereka berkata, sekurang-kurangnya lapan buah bas turut musnah terbakar di beberapa kawasan setinggan lain. Serangan senjata automatik yang diguna para penjenayah dalam serangan terburuk di bandar raya itu telah mendapat liputan televisyen hampir sebulan.

Polis Rio sering mengguna helikopter untuk menangani pengedar dadah yang mendominasi perniagaan dadah di bandar raya yang diduduki oleh lebih 1,000 kawasan setinggan, tetapi inilah kali pertama kejadian helikopter yang diguna menjadi sasaran kumpulan penjenayah.

Bandar raya berkenaan dipilih sebagai tuan rumah Sukan Olimpik pada 2 Oktober lalu, mengalahkan Chicago, Madrid dan Tokyo yang turut menawarkan diri sebagai tuan rumah temasya terbesar itu.

Presiden Brazil, Luiz Inacio Lila da Silva dan para pegawai lain telah menafikan ancaman keganasan terhadap temasya Olimpik, dengan mengatakan Rio telah berulang kali membuktikan ia berjaya menganjurkan acara besar seumpamanya tanpa menggugat pemain atau penonton.

Rio berjaya menganjurkan Sukan Pan-Amerika 2007 dengan cemerlang tanpa sebarang kejadian tidak diingini, dengan mengerahkan lebih 15,000 pegawai yang dilatih khas. – AP

sumber~utusan

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails