Followers

Monday, October 19, 2009

Iran tingkat pengayaan uranium



GAMBAR satelit pada 26 September lalu yang disediakan oleh GeoEye menunjukkan kemudahan nuklear yang sedang dalam pembinaan di kawasan pergunungan terletak di utara Qom, Iran. - AP


TEHERAN 19 Okt. - Pertubuhan Tenaga Atom Iran hari ini berkata, pihaknya akan terus mengayakan uranium hingga ke tahap lima peratus atau 20 peratus lebih tinggi, sekiranya rundingan pihak ketiga berhubung pengayaan uranium menemui kegagalan.

"Republik Islam Iran... akan meneruskan aktiviti pengayaan di dalam Iran sehingga tahap lima peratus," agensi berita rasmi IRNA memetik jurucakap pertubuhan itu, Ali Shirzadian, sebagai berkata.

"Tetapi jika perjanjian itu tidak mencapai apa yang diinginkan, Iran akan mula mengayakan uranium sehingga tahap 20 peratus bagi reaktor Teheran. Ia tidak akan menyerah kalah kali ini," katanya.

Ulasan Shirzadian muncul ketika Iran bersedia menyertai perbincangan di Vienna hari ini pada pukul 3 petang (pukul 9 malam ini waktu Malaysia) bersama-sama wakil-wakil Perancis, Rusia, Amerika Syarikat (AS) dan jawatankuasa pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam satu usul untuk menggesa pihak ketiga supaya memproses uranium pengayaan rendah Iran ke tahap tulen 20 peratus seperti yang diminta oleh reaktor penyelidikan Tehran.

Shirzadian berkata, Iran akan memaklumkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bahawa ia memiliki kapasiti untuk mengayakan uranium sehingga tahap 20 peratus 'sekiranya diperlukan'.

Bagaimanapun, beliau berkata, 'secara ekonominya ia tidak mampu terlaksana' untuk mengayakan uranium pada ketulenan tahap itu di Iran, serta menambah kata bahawa perjanjian pengayaan pihak ketiga itu hanya satu 'ujian' untuk kuasa-kuasa dunia.

"Isu ini (perjanjian pihak ketiga) merupakan satu ujian kepada kuasa-kuasa Barat bagi menunjukkan sama ada mereka jujur atau tidak dalam komitmen mereka.

"AS, Rusia, Perancis dan beberapa negara lain telah mengumumkan kesediaan mereka dan kami tiada halangan untuk itu," katanya.

Selain itu, beliau turut menafikan laporan media yang menyatakan bahawa Iran akan menukar keseluruhan aktiviti pengayaannya ke luar negara. - AFP

sumber~utusan

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails