Followers

Thursday, October 15, 2009

Jangan kejar aidil

Rap
PEMBABITAN Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abadin, 19, dalam dunia lakonan tiga tahun lalu hanya secara kebetulan apabila diperkenalkan pengarah terkenal, Erma Fatima menerusi drama Pesona Bintang.

Masa berlalu dengan pantas dan Ummi menganggap dirinya masih 'hijau' dan cetek pengalaman.

Menyedari betapa pentingnya ilmu pengetahuan dalam kehidupan, menyemarakkan lagi semangat gadis berzodiak Leo ini melanjutkan pelajaran dalam bidang seni.

Walaupun belum memutuskan secara terperinci mengenai kecenderungannya itu, Ummi mengakui dia dan keluarga sudah merancang perkara berkenaan sejak sekian lama.

"Mungkin saya akan berehat buat sementara daripada berlakon untuk melanjutkan pelajaran. Besar kemungkinan saya akan melanjutkan pelajaran dalam bidang seni atau pengurusan perniagaan.

"Begitupun, saya dan keluarga belum berbincang dengan serius atau membuat pilihan.

"Insya-Allah, kalau tiada aral melintang, saya akan belajar sekitar hujung tahun ini.

"Mungkin saya akan menuntut di London atau New York. Ikutkan permintaan keluarga, mereka mahu saya mengikuti jurusan perniagaan. Tapi saya lebih berminat ambil bidang membabitkan lakonan. Saya sendiri belum dapat memberi kata putus.

"Saya sedar asas dalam lakonan masih cetek. Sekurang-kurang dapat belajar serba sedikit mengenai asas lakonan sudah cukup memadai buat saya.

"Di samping belajar, saya juga mahu merasai pengalaman menuntut dan mengenali budaya masyarakat di sana," katanya.

Ummi kini semakin mendapat perhatian menerusi lakonannya sebagai Siti Sarah dalam drama bersiri Nur Kasih yang disiarkan di TV3 setiap Jumaat jam 9 malam. Walaupun watak utama, Nur Amina (Tiz Zaqyah) menjadi perhatian, Sarah juga mencuri tumpuan.

Walaupun Sarah dan Nur adik-beradik dalam siri itu, watak kedua-duanya jauh berbeza.

Kalau Nur dilihat gadis sempurna yang cantik dan sopan, Sarah pula disifatkan remaja gedik hingga menimbulkan rasa meluat di kalangan penonton.

Dalam diam, Sarah menyimpan perasaan pada Aidil (Fizz Fairuz), tetapi lelaki itu lebih tertarik pada kakaknya tetapi Nur dijodohkan dengan adik Aidil, Adam (Remy Ishak). Sarah rasa peluangnya berkahwin dengan Aidil lebih cerah.

Apabila ibu bapanya berkunjung ke rumah ibu Aidil atas urusan penting, Sarah memasang angan mereka berbincang untuk menyatukan dirinya dengan Aidil.

Bagaimanapun, hatinya hancur apabila Adiel memilih gadis bernama Aliya (Ayu Raudhah) sebagai calon isteri.

Sarah berusaha meracuni fikiran Aliya dengan mengatakan Aidil sebenarnya menyintai kakaknya dan bukan Aliya.

Ummi mengakui, lakonannya dalam Nur Kasih mendapat maklum balas yang baik daripada penonton.

Katanya, watak berkenaan memberi cabaran tersendiri kepadanya.

"Memang ada yang tidak suka watak Sarah sehingga ketika bersiar-siar bersama keluarga, ada yang menegur serta mengusik supaya jangan menggoda Aidil.

"Tapi saya tidak pernah berasa puas seratus peratus dengan lakonan itu. Masih ada kelemahan dan kekurangan yang perlu diperbaiki," katanya.

Dalam sesi fotografi untuk Rap, baru-baru ini, Ummi yang dikaitkan dengan Remy kelihatan ayu bertudung menyerlahkan penampilan anak bongsu daripada dua beradik ini. Dalam Nur Kasih, Ummi juga bertudung walaupun hakikat sebenar penampilannya tidak begitu.

Kata Ummi watak Sarah memang berbeza dengan lakonannya dalam Awan Dania.

Pada dasarnya, Siti Sarah sanggup melakukan apa saja untuk memuaskan hati kebudak-budakan yang dimilikinya. Dia mempunyai cita-cita tinggi, malah sanggup melakukan apa saja untuk memilik Aidil.

"Paling teruk, dia sanggup melukakan hati kakaknya dan memporak-perandakan kebahagiaan orang lain untuk kepentingan sendiri.

"Kalau mahu diterjemahkan ke alam realiti, saya sendiri juga seperti Siti Sarah yang sanggup melakukan apa saja untuk mengejar impian.

"Tapi saya tidaklah sekejam Sarah hingga sanggup memusnahkan kebahagiaan dan impian orang lain. Sarah boleh dikategorikan jahat dalam diam, tetapi berbeza dengan karakter saya dalam Awan Dania sebagai Hana, gadis gedik.

"Sebagai pelakon, saya tidak kisah diberikan watak apa saja. Selagi mampu mempelbagaikan karakter supaya tidak terus klise atau stereotaip dalam setiap watak yang dijayakan," katanya.

Katanya, pengalaman bekerjasama dengan pengarah terkenal, Kabir Bhatia serta Faisal Ishak memberi pengajaran yang cukup berguna kepadanya, malah berbangga menjadi sebahagian daripada pasukan yang menjayakan drama itu.

Ummie juga bangga kerana dapat bekerjasama dengan barisan pelakon hebat seperti Liza Othman, Datuk Jalaludin Hassan, Fizz Fairuz dan Sheila Mambo.

"Pengarah (Kabir dan Faisal) kerap memberi bimbingan tapi melepaskan kreativiti lakonan kami supaya tidak terus terkongkong. Saya selesa berkerja dengan mereka. Malah gandingan pelakon juga mudah serasi," katanya.

Ummi juga mendapat perhatian KRU Studio untuk menjayakan watak Embok dalam filem epik, Hikayat Merong Mahawangsa (The Malay Chronicles) arahan Yusry Abdul Halim.

Dalam filem kedua lakonannya selepas Lu Fikirlah Sendiri The Movie itu, Ummi berpeluang berlakon dengan bintang terkenal tanah air.

Mengenai sambutan Aidilfitri lalu, Ummi mengatakan membuat persiapan sebulan lebih awal bersama keluarganya di Besut, Terengganu.

Ummi mengambil peluang bercuti selama seminggu untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga.

Ummi juga tidak suka dirinya dikaitkan dengan Remy dan enggan mengulas lanjut mengenai gosip itu.

>Profil

Nama sebenar: Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abadin

Tarikh lahir: 20 Ogos 1990

Asal: Kuala Lumpur

Adik-beradik: Bongsu daripada dua beradik

Pendidikan: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

Filem: Lu Pikirlah Sendiri The Movie, Hikayat Merong Mahawangsa (The Malay Chronicles)

Drama: Pesona Bintang, Takdir Yang Terindah, Dinasti Bilut, Ali Din, Awan Dania, Klon Teja, Kejar dan Nur Kasih

sumber~mymetro




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails