Followers

Thursday, October 15, 2009

Kejutan Gadis Melayu 2


ENAM orang peserta Gadis Melayu 2.


DALAM sesebuah rancangan realiti televisyen (TV), tidak lengkap jika tidak diselitkan dengan adegan-adegan yang berbentuk kejutan. Begitu juga dengan rancangan realiti TV Gadis Melayu 2 terbitan TV9.

Rancangan bagi musim kedua ini memberi kejutan memasukkan kembali Hazlin Hussain, 26, yang terkeluar pada minggu keenam atas undian para juri.

Menurut Penerbit Gadis Melayu 2, Shukri Ibrahim, pemilihan Lyn oleh para juri bukanlah sekadar tangkap muat, tetapi mereka menilainya daripada setiap aspek.

"Lyn dilihat sebagai salah seorang peserta yang menyerlah dan bersemangat dalam menyelesaikan setiap tugasan dan jumlah undian yang diterimanya juga boleh tahan.

"Mungkin masa dia dikeluarkan dia tidak begitu bernasib baik kerana kalah pada tugasan minggu tersebut tetapi atas semangatnya, dia dimasukkan kembali.

"Saya pasti ada antara peserta yang mempersoalkan kenapa dia yang dimasukkan, sedangkan undian masuk ini bukanlah berdasarkan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) tertinggi tetapi atas pilihan juri. Mereka ada sebab yang kukuh untuk berbuat demikian," katanya ketika ditemui pada sesi fotografi bersama para peserta pertandingan itu baru-baru ini.

Menurut Shukri, undian masuk itu dilihat sebagai suatu usaha untuk menggalakkan persaingan yang sihat antara peserta bagi memberikan yang terbaik menjelang final November ini.

Final Gadis Melayu 2 akan disiarkan secara langsung di TV9 pada 5 November ini pada pukul 8.35 malam.

Sementara itu, keenam-enam peserta Gadis Melayu 2 termasuk Lyn berasa teruja kerana dapat melangkah sejauh ini dan mereka menyimpan impian yang sama iaitu untuk berada di pentas final dan merangkul gelaran juara Gadis Melayu 2.

Selain Lyn, para peserta Gadis Melayu 2 ialah Nadia Adrianna Mohd Akbal, 23; Shazfinas Hashim, 26; Siti Nur Syafiqa Amirol Melvin, 20; Rahimah Ibrohim, 21; dan Putri Noor Nawal Ramlan, 23.

Hits sempat menemu bual keenam-enam peserta bagi berkongsi pengalaman mereka sepanjang bersaing dalam pertandingan tersebut.

Nadia dapat undi tertinggi

Nadia Adrianna Mohd Akbal dari Kota Kinabalu, Sabah ini, sentiasa berada di tempat yang selamat apabila undian SMSnya sentiasa yang tertinggi pada setiap minggu.

Namun, walaupun berada di zon selesa, itu tidak membuatkan Nadia berasa tenang dan melakukan tugasan yang diberi kepadanya secara sambil-lewa.

Sebaliknya Nadia berasa bertanggungjawab atas undian dan sokongan yang diberikan penonton dengan memberikan yang terbaik supaya tidak menghampakan mereka.

"Pada awalnya saya lemah dalam melakukan tugasan kerana saya bukanlah seorang yang lasak.

"Namun saya jadikan kepercayaan orang mengundi saya sebagai satu motivasi untuk melakukan yang terbaik dalam setiap tugasan dan berharap ia akan kekal sehingga ke final nanti," ujar gadis tinggi lampai ini.

Sewaktu diminta komen tentang kemasukan Lyn pula, dia dan rakan-rakannya agak terkejut namun baginya itu sebagai penguat semangatnya untuk memberikan yang terbaik pada final kelak.

Finas terkilan jika terkeluar

Bagi Shazfinas Hashim segala harapan dan perit-jerih yang dilaluinya sepanjang berada dalam rancangan ini terbalas kerana layak sebagai finalis.

"Saya sudah pergi sejauh ini dan agak terkilan jika tidak dapat menjadi salah seorang daripada finalis.

"Sepanjang saya berada dalam Gadis Melayu 2, pelbagai dugaan dan cabaran telah dilalui dan ia menjadikan saya lebih berkeyakinan, kuat dan tegas.

"Bagi saya, Gadis Melayu 2 merupakan program realiti TV yang baik kerana ia berjaya menjadikan kami individu yang versatil.

"Semestinya saya mengharapkan untuk menjadi juara, namun dapat melangkah masuk ke final pun sudah cukup baik," ujar Finas yang juga merupakan peluncur ais kebangsaan.

Fiqa yakin punya ciri gadis Melayu

Melihat kepada wajah ayu Siti Nur Syafiqa Amirol Melvin ini, tiada siapa menjangka yang dia baru berusia 20 tahun.

Namun baginya, usia bukan penghalang untuk bersaing dengan rakan-rakannya yang lain yang lebih senang dipanggil sebagai kakak itu.

Bagi Fiqa, setiap orang ada peluangnya yang tersendiri dan sama rata untuk menonjolkan diri. Dia yakin dengan sifat dalaman dan kebolehan akan melayakkannya memegang gelaran ikon Gadis Melayu 2.

"Bagi Fiqa, sifat seorang gadis Melayu bukan terletak kepada pemakaian tudung ataupun sifat lemah-lembut tetapi lebih kepada sifat dalaman yang mesti ada ciri-ciri kemelayuan.

"Kekuatan saya adalah pandai membawa diri dan menyesuaikannya dengan orang sekeliling. Tetapi pada masa sama saya masih menjaga batas sebagai seorang gadis Melayu," ujarnya yang masih menuntut dalam bidang Ijazah Sarjana muda Sains Mikrobiologi di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ima harapan keluarga

Bagi pemilik nama Rahimah Ibrohim ini, dia cukup bertuah kerana dapat membuat apa yang dia minati dan mendapat sokongan sepenuhnya daripada semua ahli keluarganya.

Keputusannya mengambil cuti belajar sementara walaupun tinggal satu semester bagi menyertai rancangan Gadis Melayu 2 ini mendapat sokongan daripada keluarga.

"Memang sejak kecil lagi saya berminat untuk menjadi pembaca berita, bukan kerana mahu glamor ataupun menjadi terkenal tetapi saya memang suka bidang ini.

"Apabila diberi peluang untuk menyertai Gadis Melayu 2, keluarga saya menyokong 100 peratus dan tidak kisah saya mengambil cuti belajar.

"Apabila sudah sejauh ini, semestinya harapan keluarga kepada saya sangat tinggi dan saya bersyukur mereka semua menyokong perjalanan hidup yang saya pilih ini," ujar penuntut tahun akhir Diploma Hiasan Dalaman, Universiti Teknologi Mara.

Undi SMS Putri paling rendah

Putri Noor Nawal Ramlan mungkin agak cemerlang dalam setiap tugasan mingguannya. Namun, undian SMSnya pula sentiasa berada di antara yang terendah berbanding peserta lain.

Setiap minggu Putri sering diselamatkan dengan markah daripada para juri dan kemenangan imuniti kumpulannya sehingga dia dapat bertahan sejauh ini.

"Itulah rezeki yang Tuhan bagi kepada saya dan saya pasti akan melakukan yang terbaik kerana telah diberi peluang sebegitu.

"Sepanjang saya berada dalam Gadis Melayu 2, banyak perubahan yang saya lalui. Paling ketara ialah sifat saya yang lebih lemah-lembut berbanding diri saya dulu yang agak kasar.

"Cara saya berpakaian pun sudah lebih feminin berbanding dahulu kerana saya lebih senang bergaya dengan kemeja-T dan ini mungkin akan membuatkan emak saya tersenyum bangga," ujar Putri yang ramah dan gemar bergurau.

Lyn hargai peluang kedua

Kemasukan semula Hazlin Hussain atau lebih dikenali sebagai Lyn ini mengundang banyak rasa tidak puas hati antara rakan-rakannya yang lain.

Bagi mereka, Lyn yang terkeluar pada minggu keenam sudah terlalu lama berada di luar dan tidak berasa susah-payah yang mereka tempuhi.

Namun, walau apapun tanggapan mereka, Lyn tetap positif dan menghargai peluang kedua yang diberikan oleh para juri dan berjanji untuk melakukan yang terbaik.

"Saya faham perasaan mereka tetapi saya percaya juri ada sebab tertentu untuk memilih saya sebagai antara enam yang terkeluar untuk masuk kembali kerana sekarang ini adalah pilihan juri, bukannya berdasarkan SMS.

"Kalau mereka berada di tempat saya, saya pasti mereka juga tidak akan menolak peluang kedua yang diberikan kerana masing-masing punya impian yang sama iaitu mahu menjadi juara Gadis Melayu 2.

"Untungnya saya, sepanjang dikeluarkan, saya dapat menonton Gadis Melayu 2 sebagai seorang penonton dan tahu setiap kelemahan serta kekurangan yang perlu diatasi jika terus kekal dalam rancangan ini.

"Dengan peluang kedua ini juga, saya akan melakukan yang terbaik kerana saya menyertai Gadis Melayu 2 bukan sekadar mengisi masa lapang atau sekadar suka-suka. Sebaliknya, saya mahu menjadi yang terbaik di kalangan peserta lain," ujarnya yang meminati tarian tradisional Melayu sejak kecil lagi.

sumber~utusan malaysia

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails