Followers

Thursday, October 15, 2009

Laman IPTS: Hafal al-Quran

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my


PELAJAR Kolej Hafiz bersama keluarga bergambar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Universiti Al-Azhar dan Universiti Islam Madinah, baru-baru ini.

Kolej Hafiz berjaya hasilkan 12 hafazan sesi 2008/2009

KOLEJ Hafiz di Klang, Selangor, menggabungkan tiga elemen pembelajaran, iaitu hafiz, agama dan akademik dalam usahanya mencapai matlamat melahirkan profesional Islam berkebolehan termasuk hafal al-Quran.

Gabungan tiga elemen utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran di kolej itu juga diharap dapat melahirkan ilmuwan seimbang yang dapat memanfaatkan ilmu dunia dan akhirat.


Ditubuhkan pada 1983 dan berdaftar dengan Kementerian Pengajian Tinggi, kolej itu kini menawarkan kursus Diploma Tahfiz al-Quran dan Qiraat yang dipantau Agensi Kelayakan Malaysia.

Pendidikan berkualiti dilaksanakan kolej itu turut mendapat pengiktirafan institusi pengajian tinggi terkemuka dunia, antaranya Universiti Al-Azhar, Mesir dan Universiti Islam Madinah, Arab Saudi.

Pengerusi Kolej Hafiz, Muhamad Haneefa Hussin, berkata pengiktirafan itu membolehkan lulusan diplomanya melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di dua institusi pengajian tinggi terbabit.

Selain itu, katanya, lulusan diploma itu juga bukan saja boleh meneruskan pengajian peringkat sama di universiti tempatan, malah berpeluang mendapat tajaan penuh kerajaan Arab Saudi.

“Kolej Hafiz memberi peluang lepasan sekolah mendapatkan pendidikan asas agama sebelum mereka meneruskan pengajian tinggi di universiti.

“Sejak diperkenalkan pada 2002, hampir 35 peratus lulusan diploma berkenaan berjaya melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar dan Universiti Islam Madinah,” katanya.

Bagi sesi pengajian 2008/2009, Muhamad Haneefa berkata, seramai 12 hafazan dilahirkan dan empat daripada mereka turut menerima tajaan Universiti Islam Madinah.

Sambil menjelaskan Kolej Hafiz berazam melahirkan lebih ramai hafazan, beliau berkata, kursus diploma selama tiga tahun itu mendapat sambutan menggalakkan.

“Kebanyakan pelajar kursus ini adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan sekolah menengah agama.

“Kini ibu bapa semakin sedar mengenai pentingnya pendidikan seimbang dan masing-masing menjadikan kolej berasaskan Islam sebagai pilihan anaknya menyambung pelajaran,” katanya.

Diploma Tahfiz al-Quran dan Qiraat itu dilaksanakan enam semester yang memperincikan hafazan 30 juzuk bersama 10 madah Qiraat.

Mengenai kos pengajian, beliau berkata, ia berpatutan iaitu sebanyak RM2,100 bagi setiap semester.

Mereka berminat dan mengetahui lebih lanjut mengenai kursus itu boleh hubungi talian 016-2615904 atau 03-33425872.

sumber~b.harian

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails