Followers

Wednesday, October 14, 2009

muzium mainan


ANDA tidak perlu menjadi kanak-kanak untuk merasai keseronokan mengunjungi Mint Museum of Toys, muzium permainan kanak-kanak terbesar memaparkan koleksi daripada 25 negara, melangkaui tempoh 100 tahun, antara tarikan pelancongan di Singapura.

Kuratornya, Richard Tan, berkata semua koleksi yang dianggarkan bernilai kira-kira RM17 juta itu adalah simpanan peribadi pemilik muzium, Chang Ya Fa, 59, yang dikumpulkan menerusi lelongan dan pembelian secara terus daripada pengumpul lain di seluruh dunia.


Barangan yang dikumpul selama 30 tahun termasuk karakter popular seperti Popeye the Sailor, Felix the Cat, dan adiwira seperti Batman, Superman, dan Robin itu kini dipamerkan di bawah satu bumbung menerusi di bangunan dengan seni bina moden berdepan dengan Hotel Raffles, Singapura.

Melangkaui koleksi sejak pertengahan abad ke-19, pengunjung bakal dikejutkan dengan himpunan patung nostalgia seperti Betty Boop, Mickey Mouse, Flash Gordon, Green Hornet, The Beatles, Golliwogs, Ultraman, Matchbox Cars dan Star Wars.

"Kami hanya memaparkan 10 peratus daripada koleksi yang dimiliki Chang pada satu-satu masa. Ini kerana bahan pameran ini akan ditukar dari masa ke masa bagi mengekalkan tarikan kepada muzium ini sekali gus menarik kunjungan lebih ramai pencinta alat permainan klasik," katanya.

Antara yang paling menarik perhatian adalah koleksi terbesar alat permainan Dan Dare, patung Door of Hope dan antara barangan Batman dengan satu-satunya model kereta Commissioner Gordon. Selain itu, ia turut memaparkan set pasangan akrobatik buatan Jerman pada 1840.

Himpunan robot juga turut disertakan dengan sejarah, selain koleksi teddy bear, patung Inggeris keluaran Crescent, Johillco dan Britain. Antara produk Britain popular termasuk model Royal Procession sepanjang 15 kaki dan prototaip askar Trojan.

Peminat model kereta lumba pasti terpesona dengan koleksi Matchbox, Corgi dan Dinky, selain barangan dari jenama eksotik seperti Mercury dan Gama. Namun, jika ada yang naik jemu dengan koleksi kereta, boleh beralih ke galeri menempatkan karakter kartun animasi Jepun.

Muzium tujuh tingkat itu turut mengabadikan rakaman penghargaan kepada ikon muzik Beatles dengan fotografi dan rekod "Please Please Me" ditandatangani oleh ahli band. Ini termasuk koleksi lebih 200 papan iklan enamel sejak 1880-an dan koleksi kotak tin vintaj terbesar dunia.

Tan berkata, seni bina muzium yang meraih Anugerah Seni Bina Antarabangsa Athenaeum Chicago 2007 dan Anugerah Seni Bina Cityscape 2008 juga mengenengahkan konsep kotak dalam kotak dengan penggunaan panel kaca simbolik kepada pembungkusan alat permainan.

>Info

>Pencahayaan menjadi elemen paling penting di muzium ini. Ia direka bentuk supaya tidak akan menyebabkan bayangan jika dipandang dari mana-mana sisi. Justeru, gambar yang ditangkap juga kelihatan cantik.

>Dibuka setiap hari kecuali pada Hari Krismas dan Tahun Baru Cina, ia meliputi tujuh tingkat dengan lima daripadanya diperuntukkan untuk galeri pameran. Aras paling bawah untuk Mint Cafe" manakala paling atas untuk bar Mr Punch.

>Pancaran kamera atau flash tidak dibenarkan kerana boleh memberi kesan kepada warna alat permainan yang bernilai jutaan ringgit ini. Maklumat lanjut, layari www.emint.com.

sumber~mymetro

1 comment:

  1. Sob.. shoutmixnya sdh penuh..jd g bs disi..dihapus aja yg sdh lama he he he.. follow me back ya

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails