Followers

Thursday, October 15, 2009

Pagar ada karan



JITRA: “Saya cuba angkat anak tapi terasa sakit dan kebas kerana ada arus elektrik. Namun, demi menyelamatkan nyawanya, saya kuatkan diri,” kata Jaafar Ali, 44, bapa Muhammad Faiz Suraihan, 4, yang maut terkena kejutan elektrik ketika memegang pagar belakang rumahnya di Taman Hosba Fasa 2, Napoh, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi, Muhammad Faiz yang juga anak bongsu daripada tiga adik-beradik meninggal dunia di Hospital Jitra (HJ) selepas terkena kejutan elektrik yang mengalir pada besi pagar itu.

Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika ibu mangsa, Rohani Abdullah, 45, berada di ruang tamu dan tidak menyedari mangsa yang ketika itu makan nasi lemak berseorangan di dapur keluar rumah.

Rohani berkata, dia meninggalkan Muhammad Faiz sekejap sebelum mendapati anaknya itu tiada lalu memaklumkan kepada suaminya.



Katanya, ketika sibuk mencari, dia ternampak Muhammad Faiz terbaring di belakang rumahnya berhampiran pagar besi yang berkunci.


“Saya mengangkatnya tapi badan saya terasa kebas seperti terkena kejutan elektrik menyebabkan anak saya terlepas dari pegangan.

“Pada masa sama, suami datang dan membantu. Walaupun turut terkena kejutan elektrik, dia berjaya mengangkat anak kami yang ketika itu dalam keadaan lemah lalu dibawa ke HJ,” katanya ketika ditemui di rumah mentuanya di Kampung Charok Mokkan di sini, semalam.

Sementara itu, Jaafar berkata, dia dan isteri membawa Muhammad Faiz ke HJ untuk mendapatkan rawatan tetapi anak mereka sudah tidak bergerak ketika dalam perjalanan.

Doktor yang merawat Muhammad Faiz mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat terkena kejutan elektrik dan dibawa pulang ke rumah untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Charok Mokkan, petang semalam.

“Saya tidak tahu apa punca kejadian itu kerana ia berlaku terlalu pantas. Sesiapa saja boleh terkena kejutan elektrik jika terpegang deretan pagar di belakang rumah sepanjang 200 meter itu yang mempunyai arus elektrik kuat.

“Malangnya, anak kami yang terkena kerana dia terpegang pagar itu sehingga meragut nyawanya,” katanya.

Jaafar, seorang peniaga makanan berkata, mereka sekeluarga menetap di kawasan perumahan itu sejak ia siap dibina pada 2007 dan tidak menyangka berlaku tragedi yang meragut nyawa anak bongsu kesayangannya itu.

Katanya, walaupun reda, dia bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkaitan.

Berikutan itu, Jaafar membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, semalam.

Sementara itu, jiran mangsa, Jamaliah Ismail, 41, berkata pada malam sebelum kejadian, kawasan perumahan itu mengalami gangguan bekalan elektrik dua kali menyebabkan penduduk terpaksa menghubungi Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Bagaimanapun, selepas pihak TNB membuat pemeriksaan, mereka mendapati tiada sebarang masalah berlaku di kawasan itu.

“Namun, hari ini (semalam), kami dikejutkan dengan kematian anak jiran yang terkena kejutan elektrik dan berharap pihak berkenaan membaiki kerosakan bagi mengelakkan tragedi itu berulang,” katanya.

Tinjauan Harian Metro di tempat kejadian semalam mendapati, pihak TNB menyiasat punca yang mengakibatkan arus voltan tinggi di kawasan itu tetapi belum mendapat petunjuk untuk memudahkan siasatan.

Jurucakap TNB Kedah ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah menghantar pegawai untuk menyiasat di tempat kejadian.

Namun, katanya, bagi kejadian di kawasan kediaman, pihaknya akan menghantar laporan terus kepada Suruhanjaya Tenaga, Teknologi Hijau dan Air kawasan utara untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kebanyakan kes yang berlaku akibat kebocoran elektrik tetapi siasatan masih dijalankan untuk mengetahui punca sebenar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut.

sumber~mymetro

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails