Followers

Thursday, October 15, 2009

Rempit ke GP

Oleh Fairuz Zaidan


DARI (kiri) Zulfahmi dan Elly.

1Misi... Cabaran Elly Idzlianizar & Mohd Zulfahmi

LUSA, salah seorang daripada mereka bakal mencatat lembaran baru dalam sejarah dunia permotoran tanahair. Antara Elly Idzlianizar Ilias dan Mohd Zulfahmi Khairuddin - siapa bakal mengemudi cabaran Malaysia ke Kejuaraan Shell Advance Malaysian Motorcycle Grand Prix 2009?

SEPERTI hangatnya cuaca tengah hari di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Rabu lalu, begitulah ‘bahang’ yang dirasai antara dua pelumba berbakat, Elly Idzlianizar Ilias, 25, dan Mohd Zulfahmi Khairuddin, 18.


Bukan enteng misi yang digalas dua anak muda ini. Elly Idzlianizar dan Mohd Zulfahmi masing-masing berdebar menanti lusa bagi menentukan siapa yang bakal terpilih bersaing pada Kejuaraan Shell Advance Malaysian Motorcycle Grand Prix 2009 di SIC yang akan menggegarkan SIC pada 23 Oktober ini.

Lusa adalah hari penentu mereka...

Beradu dalam kelas 125cc atas tiket wildcard, cabaran digalas Elly Idzlianizar atau Mohd Zulfahmi sekiranya terpilih kelak, pastinya bagai memikul harapan lebih 27 juta rakyat Malaysia dalam perlumbaan GP yang berprestij itu.



Biarpun tempoh latihan bagi memantapkan kedudukan dalam arena MotoGP tempatan tidak panjang sebelum muncul di Sepang, ia bukan penghalang bagi Elly Idzlianizar dan Mohd Zulfahmi membuktikan mereka mampu bersaing bersama kelompok penunggang GP terbaik dunia.

Sisipan XY - Ikon Lelaki yang menjadi antara media tempatan terpilih mendekati dua anak muda ini, turut merasai semangat dan keghairahan mereka bersaing serta mengejar status pelumba antarabangsa.

“Memang berbeza jika hendak dibandingkan kepakaran dan pengalaman pelumba antarabangsa yang lain. Ini kerana kami baru lima bulan bertatih dalam arena MotoGP.

“Konsep pemanduan dan teknologi motosikal ini jauh berbeza jika dibandingkan dengan kejuaraan cub prix tempatan. Ini antara cabaran yang terpaksa kami lalui dalam tempoh singkat untuk memahirkan diri mengendalikan motosikal berkuasa Aprilia 125cc,” kata Elly Idzlianizar.

Pendapat itu disokong Mohd Zulfahmi yang berazam memberi persembahan terbaik jika terpilih sebagai calon tunggal peserta wildcard ke perlumbaan itu.

“Semuanya bagai mimpi untuk sampai ke tahap ini. Bayangkan, dulu saya sukar menempa nama dalam arena permotoran tempatan. Tidak sangka, pada usia 18 tahun, saya berpeluang berlatih dalam kelompok pasukan ternama dengan teknologi luar biasa,” kata Mohd Zulfahmi.

Dipilih dari kumpulan 16 pelumba yang menempuhi peringkat saringan dalam program Malaysian Wildcard, ternyata inisiatif dijayakan SIC; Motorsports Association of Malaysia (MAM); Automobile Association Malaysia (AAM); Two Wheels Motor Racing (TWMR),;Moto Millia dan Hong Leong Yamaha menjadi platform terbaik melahirkan pelumba GP kelas dunia.

Ayuh jagoan muda, buktikan kemampuan di litar MotoGP!

Pertamanya, apa pandangan anda berdua mengenai program Malaysian Wildcard ini?

Elly :
Sebenarnya, tidak mudah menempatkan diri hingga ke tahap sekarang. Ini kerana semua 16 peserta yang terpilih bersaing di program Malaysian Wildcard bukan calang-calang pelumba. Sejak awal lagi, saya bertekad melangkah ke tahap tertinggi biarpun ujian bukan sekadar catatan masa, sebaliknya membabitkan aspek kecergasan, prestasi semasa dan latihan fizikal.

Zulfahmi : Terus terang, selama lima bulan kebelakangan ini, saya memperoleh banyak pengalaman baru. Ini terutamanya dalam membina prestasi meningkatkan gaya tunggangan. Saya anggap diri bertuah sampai ke tahap ini.

Bagaimana dengan persiapan kamu berdua?

Elly :
Saya banyak menumpukan perhatian kepada latihan fizikal terutama di bahagian pinggang ke atas. Ini kerana jentera motosikal jenis Aprilia ini tidak sama dengan motosikal yang digunakan dalam Kejohanan CubPrix dan Asia Cup. Saya banyak memperbaiki kelemahan bagi memastikan badan sentiasa cergas sepanjang perlumbaan.

Zulfahmi : Faktor pemakanan dan kecergasan antara yang diberi tumpuan sepanjang program ini. Kami harus mengikuti jadual latihan dan pemakanan seperti diatur. Saya tidak boleh makan sebarangan dan latihan pula harus berpandu kepada jurulatih bertauliah.

Anda bersaing sesama sendiri. Apa pandangan kamu antara satu sama lain?

Elly :
Apa yang saya boleh katakan, Zulfahmi mendapat pendedahan lebih awal pada usia masih muda. Sedangkan, saya mula meniti pengalaman sama pada 2002 ketika usia 19 tahun. Pada usia masih muda, Zulfahmi sudah mendapat pendedahan hingga ke tahap ini.

Zulfahmi : Elly tidak saja bersandarkan prestasi hebat, sebaliknya beliau juga menjadi antara penunggang berpengalaman. Elly sudah memasuki arena ini selama lebih tujuh tahun sedangkan saya baru dua tahun. Elly juga mendapat pendedahan di peringkat Asia dan memperoleh kejayaan membanggakan.

Dilihat, hanya enam lima bulan anda mendapat pendedahan dalam kejuaraan MotoGP. Apa komen anda mengenai jentera motosikal berkuasa tinggi ini?

Elly :
Bukan mudah untuk kami bersaing dengan pelumba berpengalaman dan menyesuaikan diri dengan jentera motosikal baru dalam tempoh singkat. Selain sensitif dalam apa saja keadaan, motosikal jenis Aprilia memiliki ciri-ciri berbeza. Namun, saya gembira dengan kelajuan dan prestasinya.

Zulfahmi : Kekok juga ketika mula-mula menunggang motosikal ini. Mengapa tidak, banyak perbezaan terutama dari aspek suspensi, pengendalian dan sewaktu melalui mengambil selekoh. Setiap pergerakan pelumba dapat direkod dalam komputer. Ini membuktikan kemajuan dan kelebihan dalam mengukur tahap pemanduan pelumba.

Bagaimana dengan corak latihan dalam mempersiapkan diri sebagai pelumba negara?

Elly :
Bentuk latihan kami memang ketat dan berjadual sejak terpilih dalam program Malaysian Wildcard. Rutin latihan membabitkan empat pusingan selama sejam setiap hari.

Zulfahmi : Andai tidak terbabit dengan latihan di trek lumba, kami perlu ke gimnasium bagi latihan kecergasan. Latihan akan berlangsung sepanjang hari dari pagi hingga petang. Pada masa sama, aspek pemakanan juga diberi perhatian bagi memastikan kami cergas dan berada dalam prestasi terbaik.

Andai anda terpilih mewakili Malaysia ke Kejuaraan Shell Advance Malaysian Motorcycle Grand Prix 2009, apa tekad dan cabaran yang hendak dibuktikan kepada rakyat negara ini?

Elly :
Tidak saja berazam, saya membulatkan tekad untuk berjuang sebaik mungkin demi mengutip mata perlumbaan. Andai berjaya menamatkan perlumbaan dan mendapat mata untuk pasukan negara, ini sudah dianggap baik.

Zulfahmi : Harus difahami, kami hanya mendapat pendedahan lima bulan dalam perlumbaan besar seperti ini. Namun, saya berharap sekurang-kurangnya menduduki rank kumpulan 20 pelumba terbaik daripada 32 pelumba yang bersaing kelak.

Pernah jadi juru wayar

LALUAN Elly Idzlianizar untuk bergelar pelumba motosikal profesional tidak semudah disangka. Jika kebanyakan pelumba menyertai dunia sukan permotoran pada usia seawal 14 tahun, beliau hanya mengenal litar perlumbaan pada usia yang menghampiri 20 tahun.

Kata anak muda berbakat besar ini, faktor kewangan menjadi punca beliau tidak dapat mendalami dunia permotoran lebih awal.

“Saya bukan datang daripada keluarga berada. Saya perlu bekerja mencari pendapatan untuk memiliki motosikal.

“Berkat kerja sebagai juru wayar elektrik, saya bersyukur berjaya akhirnya merealisasikan impian memiliki sebuah motosikal... Itulah detik awal saya dalam kancah permotoran tempatan,” katanya yang membuat kemunculan awal di pentas kejuaraan AAM Malaysian Cub Prix pada 2002.

Berdikit menuai pengalaman, Elly Idzlianizar mula melakar beberapa siri kejayaan hingga pantas mencuri tumpuan serta tajaan beberapa pihak.

Bukan saja cemerlang dalam beberapa siri kejuaraan, anak muda kelahiran Kangar, Perlis ini juga berpeluang mengembangkan bakat hingga menyertai perlumbaan peringkat Asia.

“Saya berpeluang beraksi di Asia Race pada 2006 dan muncul pemenang tempat kedua keseluruhan. Manakala pada tahun berikutnya, saya mencatat masa kedua terpantas dalam kejuaraan sama.

“Biarpun sedikit lewat memasuki kancah permotoran, saya percaya kepada kesungguhan dan minat mendalam yang membawa saya ke tahap ini,” katanya yang memasang angan-angan mencipta kejayaan seperti Valentino Rossi suatu hari kelak.

Ditanya realiti bergelar seorang pelumba motosikal, Elly Idzlianizar yang mengemudi kelas Expert dalam kejuaraan AAM Malaysian Cub Prix, mengakui sentiasa sibuk setiap kali tibanya musim kejuaraan cub prix tempatan.

“Sepanjang tempoh sembilan bulan, saya tidak mempunyai banyak masa bersama keluarga dan rakan-rakan. Namun, sebaik musim kejuaraan cub prix berakhir, saya manfaatkan tempoh tiga bulan untuk berehat bersama keluarga dan teman-teman,” katanya.

Profil:

  • Nama : Elly Idzlianizar Ilias
  • Umur : 25 tahun
  • Tarikh lahir : 20 Januari 1984
  • Tempat lahir : Kangar, Perlis
  • Tinggi : 172 sentimeter
  • Berat : 53.5 kilogram


Parut luka pembakar semangat

SEPERTI Elly Idzlianizar, Mohd Zulfahmi juga meniti detik sukar sebelum bergelar pelumba motosikal. Biarpun terpilih antara 40 peserta pencarian bakat baru perlumbaan JuniorGP, beliau pernah mengucapkan selamat tinggal dalam dunia permotoran tempatan.

“Pada mulanya, saya gembira kerana menjadi antara 12 peserta yang terpilih dalam kelayakan JuniorGP di Sepang. Namun, akhirnya, saya akur pada keadaan yang tidak mengizinkan untuk saya lebih serius dalam bidang ini.

“Tuhan saja tahu betapa kecewanya saya ketika itu... Disebabkan keluarga tidak mampu membiayai kos latihan, saya tidak dapat meneruskan minat ini,” katanya yang berjinak-jinak dengan arena motosikal cub prix ketika belajar di tingkatan empat.

Biarpun tidak mampu meneruskan latihan siri JuniorGP, Mohd Zulfahmi tidak pernah menganggapnya sebagai noktah penamat.

Satu hari, anak muda ini bertemu pelumba berpengalaman, Shahrul Yuzi yang sanggup membimbingnya selama setahun. Berkat latihan yang diterimanya, Mohd Zulfahmi bersaing dalam perlumbaan cub prix tempatan tahun lalu.

Nyata, segala kekecewaan lenyap apabila bakatnya terus digilap dari kelas Wira EPG hingga Novice.

“Saya bersyukur atas kepercayaan dan pendedahan yang diberi untuk mendorong bakat muda bersaing dalam kejuaraan ini. Akhir-akhir ini saya perhatikan, banyak kejuaraan diadakan untuk memberi peluang pelumba melakar pengalaman baru,” katanya.

Bercerita soal risiko kemalangan, Mohd Zulfahmi pantas menunjukkan kecederaan jarinya.

“Jika tidak berparut, bukanlah seorang pelumba. Bukan mahu mendabik dada tetapi itulah realitinya. Namun, aspek keselamatan perlu menjadi keutamaan dalam memburu impian di litar,” katanya.

Profil
  • Nama : Muhd Zulfahmi Khairuddin
  • Umur : 18 tahun
  • Tarikh lahir : 20 Oktober 1991
  • Tempat lahir : Banting, Selangor
  • Tinggi : 168 sentimeter
  • Berat : 53 kilogram
sumber~b.harian

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails