Followers

Friday, October 16, 2009

Suami baru' sahkan pernikahan




RIDDZUAN menunjukkan dokumen perkahwinan dan laporan polis yang mendakwa isterinya dipaksa berkahwin dengan lelaki lain pada Rabu lalu di Sungai Petani, Kedah.


SUNGAI PETANI - Seorang suami yang dalam dilema selepas mendapat tahu bahawa isterinya telah dipaksa berkahwin dengan lelaki lain di Felda Lurah Bilut, Pahang kini semakin bercelaru selepas menerima pengesahan daripada 'suami baru' isterinya itu.

Riddzuan Ahmad, 35, berkata, jika sebelum ini dia menerima berita itu daripada isterinya, Amira pada Rabu lalu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) tetapi maklumat itu kini disahkan sendiri oleh suami baru isterinya itu yang bernama Manaf.

"Saya hubungi sendiri Manaf yang juga rakan saya dan dia mengaku telah mengahwini isteri saya. Dia mendakwa dipaksa melakukan demikian," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Riddzuan, dia ada meminta supaya lelaki itu membantu membawa pulang Amira tetapi selepas itu talian telefon terputus dan Manaf gagal dihubungi semula.

"Manaf sempat menerangkan kepada saya yang majlis nikah itu dilangsungkan di sebuah masjid di Felda Lurah Bilut, Pahang dan dihadiri oleh ahli keluarga Amira serta beberapa orang kenalan mereka," katanya.

Riddzuan yang merupakan peniaga peralatan telekomunikasi kelmarin mendakwa dia menjadi mangsa dendam keluarga mentuanya yang tidak merestui pernikahannya dengan Amira di selatan Thailand pada Julai lalu.

Kejadian bermula apabila dia diberitahu kononnya ibu mentuanya sakit tenat dan meminta untuk menemui Amira menyebabkan dia membawa isterinya itu pulang menemui keluarganya di Taman Sidam Kiri di sini Selasa lalu.

"Saya tidak menyangka tindakan meninggalkan isteri di rumah mentua menyebabkan kami berhadapan dengan masalah besar. Saya menerima SMS daripada isteri pada petang hari yang sama mengatakan dia dalam perjalanan ke Pahang.

"Amira juga beritahu dia akan dikahwinkan dengan lelaki yang juga kenalan saya," katanya.

sumber~kosmo

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails