Followers

Thursday, October 15, 2009

Taman tema Upin & Ipin


MASKOT Upin dan Ipin yang segak berbaju melayu dikelilingi peminat kecil ketika di Majlis Rumah Terbuka Bersama Kelab Peminat Upin & Ipin, Shah Alam baru-baru ini.


UPIN & Ipin seakan satu fenomena yang melanda negara kita. Watak kartun 3D yang memaparkan dua watak kanak-kanak, Upin dan Ipin diminati ramai tidak mengira usia.

Pada awal kemunculan, Upin & Ipin hanyalah siri kartun selama lima hingga tujuh minit bagi setiap episod yang ditayangkan di TV9 pada bulan Ramadhan.

Siri terbitan Les' Copaque Productions (LCP), ini kemudiannya mengorak langkah dengan menerbitkan filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula dan mendapat sambutan hangat sehingga mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya mengutip lebih RM6.3 juta.

Langkah mereka tidak terhenti di situ apabila turut muncul dengan produk-produk Upin & Ipin yang hangat dijual di pasaran dan bakal muncul dengan satu lagi filem animasi.

Kini, Pengarah Urusan LCP, Burhanuddin Md. Radzi merancang untuk membina sebuah taman tema yang berkonsepkan watak-watak di dalam Upin & Ipin ala Taman Tema Disney.

"Taman Tema Upin & Ipin merupakan sesuatu yang kami idamkan dan kami masih mencari pihak yang berminat untuk merealisasikannya.

"Upin & Ipin boleh menjadi taman tema kerana ceritanya yang menerapkan konsep lanun, futuristik, kampung dan lain-lain.

"Saya rasa sudah sampai masanya Malaysia mempunyai taman tema beridentiti sendiri dan tidak hanya mencedok idea-idea Barat kerana kita patut bangga dengan produk dari negara kita.

"Bagi saya, Upin & Ipin sudah cukup kuat untuk mempunyai taman tema sendiri dengan pengaruhnya terhadap orang ramai dari kanak-kanak sehinggalah orang dewasa," ujar Burhanuddin ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Bersama Kelab Peminat Upin & Ipin, Shah Alam baru-baru ini.

Jelasnya lagi, syarikatnya tidak akan menjalankan projek taman tema itu tetapi akan menawarkan kepada pihak yang berminat dan LCP hanya akan memberi lesen dan idea dalam membangunkan taman tema itu.

Dia yang telah pergi melawat kesemua Taman Tema Disney di seluruh dunia berkata, dia yakin Malaysia mampu mempunyai taman tema sendiri.

Menurut Burhanuddin, taman tema itu nanti mempunyai permainan-permainan seperti di taman tema yang lain cuma hiasannya akan berkonsepkan Upin & Ipin.

Setakat ini, ada beberapa pihak sudah menunjukkan minat dengan ideanya, tetapi mereka masih belum berbincang dengan terperinci lagi.

"Masalah dengan orang kita, mentaliti mereka masih di takuk lama dimana mereka lebih percaya dengan produk luar.

"Contohnya ketika kami hadir dengan produk animasi ini, ramai yang pesimis kerana mereka anggap produk kampung tidak boleh jauh tetapi kami telah buktikan yang kami mampu," tambahnya.

Selain taman tema ini, LCP mempunyai perancangan lain bagi membangunkan lagi syarikat itu.

Filem animasi Geng bakal ditayangkan di India dan sedang melalui proses alih bahasa ke Bahasa Hindi.

Selain itu, projek filem animasi Upin & Ipin: Angkasa akan memulakan proses penghasilannya pada hujung tahun ini. Dengan filem itu nanti, mereka merancang untuk menembusi pasaran antarabangsa dengan mengetengahkan isu yang lebih global.

Untuk filem Zaitun, kisah sebenar penyanyi terkenal Zaitun Sameon pula, masih dalam proses menghasilkan skrip dan mereka belum memilih lagi siapa pelakon yang akan membawa watak utama.

sumber~utusam malaysia

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails