Followers

Friday, December 25, 2009

Kempunan makan puyu bakar



Siti Bedah (kiri ) bersama Zaitun menunjukkan ikan puyu peliharaan arwah di kolam belakang rumahnya di Kampung Permatang Bonggor, Jerlun, Kedah semalam.


JERLUN - "Arwah bercadang nak bakar ikan puyu hari ini (semalam) bagi meraikan ulang tahun kedua perkahwinannya, namun tidak kesampaian."

Demikian kata Siti Bedah Hussain, 48, ibu kepada Normah Md. Isa, 28, yang maut bersama suami, Benyamin Yaakub, 30, serta anak mereka, Ilnur Balqis berusia sembilan bulan setelah dirempuh lori tanah di persimpangan lampu isyarat Jalan Ibrahim-Kodiang, Jitra kelmarin.

Menurutnya, ikan puyu itu merupakan hasil tangkapan pertama setelah dipelihara arwah di kolam belakang rumah sejak enam bulan lalu.

Katanya, arwah juga bercadang membeli bihun dan laksa untuk dimakan bersama anggota keluarga selain membakar ikan puyu.

"Arwah memang minat membela ikan sejak kecil lagi. Mereka berdua juga bercadang untuk menjual ikan puyu itu tetapi hajat mereka tidak kesampaian," katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Permatang Bonggor, Kerpan di sini semalam.

Dalam pada itu, ibu saudara arwah yang bertugas sebagai guru di ibu negara, Zaitun Hussain, 43, memberitahu, kira-kira pukul 3 petang kelmarin, arwah ada menghubunginya untuk singgah di Kuala Lumpur.

Katanya, arwah telah mendapat tawaran untuk menjadi Guru Sandaran Tidak Terlatih di Sekolah Menengah Perempuan Pudu bagi mengajar mata pelajaran Kemahiran Hidup Januari depan.

"Arwah benar-benar gembira dengan tawaran tersebut dan tidak sabar untuk mengajar," katanya yang rapat dengan arwah kerana dipelihara Siti Bedah sejak kecil.

Dalam pada itu, pemandu lori tanah yang terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan nyawa tiga beranak itu ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan polis.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supritendan Sawaluddin Haminuddin berkata, perintah itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Jitra pukul 10 pagi semalam.

Katanya, pemandu berusia 34 tahun itu ditahan di lokasi kejadian semalam (kelmarin) untuk disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kes disiasat daripada pelbagai aspek termasuk dakwaan lori terbabit mengalami masalah brek. Kenderaan itu akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan.

"Ujian air kencing ke atas pemandu terbabit juga dibuat bagi mengesan sama ada dia mengambil dadah atau memandu di bawah pengaruh alkohol," katanya.

Dalam kejadian pukul 5 petang itu, sepasang suami isteri dan bayi mereka maut setelah sebuah lori tanah terbabas lalu menyeret kereta Proton Wira yang dinaiki mereka sejauh 20 meter.

Pasangan suami isteri itu sepatutnya menyambut ulang tahun kedua perkahwinan mereka kelmarin.

Kemalangan ngeri membabitkan lima buah kenderaan itu turut mengakibatkan seorang lelaki berusia 50 tahun cedera parah dan dua lagi termasuk pemandu lori berkenaan cedera ringan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails