Followers

Thursday, September 16, 2010

Kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya- Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM)


SANDAKAN 16 Sept. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana berjaya menyelesaikan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dengan cepat.
Beliau bagaimanapun meminta semua pihak memberi ruang secukupnya kepada pihak berkuasa itu melakukan siasatan menyeluruh untuk mendapatkan bukti mencukupi bagi mendakwa suspek di mahkamah.
"Ini satu kejayaan memberangsangkan dan saya mengucapkan tahniah kepada PDRM kerana dapat bertindak cepat dan membongkar kegiatan mereka yang bertanggungjawab di atas pembunuhan itu.
"Saya berharap mereka (PDRM) dapat mencari bukti-bukti jelas yang boleh dikemukakan di mahkamah supaya mahkamah tidak berasa ragu menjatuhkan hukuman yang setimpal," katanya selepas menghadiri program Juara Rakyat dan Rumah Terbuka Aidilfitri di Padang Bandaran di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kejayaan pihak polis menyelesaikan siasatan kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik berkenaan.
Menurut Perdana Menteri, kejayaan tersebut menunjukkan keupayaan dan kemampuan polis menyelesaikan kes jenayah di negara ini.
Katanya, ia juga menunjukkan kredibiliti PDRM yang semakin meningkat dalam menjaga keamanan negara.
Najib menyifatkan kejadian tersebut sebagai satu kes pembunuhan yang kejam dan berharap pembunuh jutawan kosmetik itu dan tiga individu lain dikenakan hukuman yang setimpal.

sumber~utusan

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails