Followers

Wednesday, November 3, 2010

.Enam letusan di Gunung Merapi, Pulau Jawa



GUNUNG Merapi menghamburkan debu semalam.



GUNUNG MERAPI, Pulau Jawa - Gunung Merapi dijangka meletus selama beberapa bulan, kata seorang ahli vulkanologi pemerintah, Subandrio semalam.
Amaran itu diberikan semasa 50,000 penduduk masih berlindung di pusat perlindungan manakala sejumlah penerbangan ke Yogyakarta dibatalkan.
Semalam, Gunung Merapi itu meletus lagi sebanyak enam kali selepas subuh termasuk mengeluarkan lahar.
Letusan itu menyebabkan orang ramai panik manakala pemerintah memaklumkan syarikat-syarikat penerbangan untuk mengelak melalui kawasan tengah Pulau Jawa.
Hampir 40 orang terbunuh sejak Gunung Merapi itu meletus pada minggu lalu.
Setakat ini, tiada laporan kematian dalam letusan terbaru yang berlaku ketika Indonesia masih bergelut untuk menghantar bekalan kepada mangsa-mangsa tsunami di pedalaman Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat.
Kedua-dua bencana itu telah menyebabkan hampir 500 orang terbunuh.
Pegawai-pegawai turut meningkatkan tahap amaran melibatkan sejumlah daripada 129 gunung berapi aktif di Indonesia dengan dua daripadanya diramal meletus dalam tempoh dua minggu manakala 19 yang lain menunjukkan peningkatan aktiviti sebanyak dua kali ganda.
Dalam perkembangan berkaitan, penduduk kampung yang berpindah kini bimbang mengenai keselamatan ternakan mereka selepas mereka terserempak dengan tapak kaki harimau di sekitar cerun Gunung Merapi semalam.

GAMBAR yang dirakamkan dari Kampung Cangkringan di Sleman menunjukkan Gunung Merapi di Pulau Jawa mengeluarkan lahar awal pagi semalam.



Penemuan tapak kaki itu mencetuskan desas-desus bahawa seekor harimau bintang atau harimau belang merayau-rayau di ladang-ladang ternakan yang ditinggalkan mereka untuk mencari makanan.
Seorang penduduk, Ratmo Supomo berkata, dia dan isterinya melihat tapak harimau sebesar penumbuk ketika memeriksa ternakan mereka di Kampung Boyong, kira-kira lima kilometer dari puncak Gunung Merapi.
Sementara itu, di zon tsunami yang terletak lebih 1,300 kilometer ke barat Gunung Merapi, bantuan kini dihantar ke pulau-pulau terpencil di Kepulauan Mentawai selepas tsunami yang dicetuskan oleh satu gempa bumi kuat berhampiran Sumatera Barat pada minggu lalu telah memusnahkan beratus-ratu rumah, sekolah, gereja dan masjid.
Agensi Bencana Kebangsaan Indonesia melaporkan, angka kematian bencana tsunami kekal 431 orang.
Sementara itu, Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda mengeluarkan gas beracun dan batu semalam.
"Saat ini Gunung Anak Krakatau sudah mengeluarkan muntahan gas beracun, selain mengeluarkan material batu dari dalam perut gunung," kata Ketua Pos Pemantau Gunung Anak Krakatau GAK di Desa Pasauran, Kecamatan Cinangka, Kabupaten Serang, Provinsi Banten, Anton S Pam budi. - Agensi

sumber~kosmo

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails