Followers

Thursday, October 15, 2009

Buku Program Angkasawan

Buku Program Angkasawan Negara di sekolah, IPT


FAIZ Khaleed (kiri) menyerahkan buku Program Angkasawan Negara kepada Maximus Johnity Ongkili sambil disaksikan Mustafa Din Subari di Mes Pusat Angkasa Negara, Sungai Lang, Banting, Kuala Langat, Selangor, semalam. - UTUSAN/MOHD. SHAHARANI SAIBI


KUALA LANGAT 12 Okt. - Semua sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini dicadang memiliki buku 'coffee table', Program Angkasawan Negara yang memuatkan catatan penting serta gambar bersejarah program itu yang bakal menjadi rujukan penting untuk rakyat dan generasi akan datang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili yang mencadangkan perkara itu berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi agar ia dapat direalisasikan.

Beliau berkata, buku terbitan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., anak syarikat Kumpulan Utusan itu akan menemui pembaca selewat-lewatnya bulan hadapan.

''Buku mengandungi lebih 100 muka surat itu bakal dijual dengan harga berpatutan agar dapat dimiliki oleh semua golongan kerana ia memaparkan catatan penting peristiwa yang berlaku beserta gambar-gambar yang pertama kali diperlihatkan kepada umum.

''Adalah menjadi harapan saya supaya penerbitan buku ini dapat disebarkan ke seluruh negara malah kalau boleh ke pasaran dunia," kata beliau selepas melancarkan buku tersebut di Mes Pusat Angkasa Negara di Sungai Lang, Banting di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Angkasa, Dr. Mustafa Din Subari dan Angkasawan Negara, Mejar Dr. Faiz Khaleed.

Buku ini juga dilancarkan sempena ulang tahun kedua Program Angkasawan Negara yang jatuh pada 10 Oktober lalu.

Menurut Ongkili, penerbitan buku ini juga diharap dapat memberi inspirasi dan pendidikan kepada pelajar dan remaja terhadap kepentingan penerokaan angkasa lepas dan manfaatnya kepada negara.

sumber~utusan

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails