Followers

Friday, October 16, 2009

Derita Jusvinder dapat perhatian



Azalina Mehtab Mohd. Ishaq (tengah) melihat Kapten Dr. Noor Azimah Zakaria (kiri) dari Kor Perubatan ATM memeriksa Jusvinder Kaur di Butterworth, Pulau Pinang, semalam. - BERNAMA


BUTTERWORTH 16 Okt. - Penderitaan hidup tiga beranak yang tinggal dalam kandang lembu dekat landasan kereta api berhampiran Taman Supreme di sini mendapat perhatian Sekretariat Pengaduan Kebajikan Rakyat (Sepakat) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sepakat dan Kor Perubatan serta Kor Kejuruteraan ATM hari ini menghulurkan sumbangan kepada Jusvinder Kaur, 41, yang tinggal di kandang itu bersama abangnya, Surjinder Singh, 51, dan ibu mereka, Balwant Kaur, 82, sejak 10 tahun lepas.

Selain itu, Kor Perubatan ATM turut membantu menjalankan pemeriksaan ke atas Jusvinder yang menghidapi sejenis penyakit saraf sehingga mengehadkan pergerakannya.

Ketua Pegawai Operasi Sepakat, Azlina Mehtab Mohd. Ishaq berkata, lawatan itu bertujuan mendekati keluarga terbabit selain mendengar masalah yang dihadapi terutamanya membabitkan masalah kesihatan yang dihadapi Jusvinder.

''Sebab itu kita bawa bersama pegawai perubatan dari ATM untuk merawat Jusvinder selain melihat apakah bentuk rawatan yang sesuai untuk membantunya.

''Malah kita bawa juga anggota tentera dari Taiping untuk membantu membaiki kerosakan pada rumah keluarga ini agar mereka dapat hidup dengan lebih selesa,'' katanya.

Jusvinder mengalami masalah saraf sejak 1993 sehingga menyebabkannya mengalami pertambahan berat badan mendadak selain sukar untuk bergerak.

Doktor yang merawatnya sebelum ini turut mengesahkan bahawa penyakit yang dialaminya tidak boleh disembuhkan.

Kini, Jusvinder bergantung hidup dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan selain pendapatan sampingan suaminya hasil jualan susu lembu segar setiap hari.

Sementara itu, Dr. Noor Azimah Zakaria dari Kem Lapangan Terbang Sungai Petani berkata, pihaknya akan merujuk penyakit Jusvinder kepada Jabatan Neurologi Hospital Pulau Pinang terlebih dahulu.

''Kita akan rujuk dengan Neurologi HPP terlebih dahulu sebelum mendapatkan rawatan pakar neurologi kerana segala rekod perubatan pesakit berada di sana.

''Buat masa ini, kita bercadang rujuk kes ini kepada Hospital Angkatan Tentera sama ada di Tapah (Perak) atau di Kuala Lumpur untuk membantu pesakit ini,'' jelasnya
sumber~utusan

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails