Followers

Sunday, October 25, 2009

Perkelahan gergasi di jambatan Sydney Harbour


Beribu-ribu penduduk Sydney berkelah di atas Jambatan Sydney Harbour sempena program 'Sarapan Pagi di atas Jambatan' di Sydney, semalam. - AFP


SYDNEY 25 Okt. - Beribu-ribu orang duduk sambil menikmati sarapan pagi di atas Jambatan Sydney Harbour di sini hari ini, selepas struktur ikon itu ditutup kepada lalu lintas dan dilapik dengan rumput buat pertama kali untuk aktiviti perkelahan raksasa.

Kira-kira 6,000 orang berada di atas jambatan gergasi itu seawal pukul 6.30 pagi untuk menyertai aktiviti yang menampilkan gaya hidup luar dan makanan terbaik dari Sydney.

Pemain akordian dan trompet memainkan muzik mereka, manakala pemenang tiket-tiket piknik dalam loteri rawak menikmati buah-buahan, pastri, muesli, yogurt dan sarapan ruji Australia, Vegemite.

"Memang hebat dapat melihat jambatan ini dalam perspektif yang berbeza.

"Biasanya anda duduk di dalam kereta untuk menyeberangi jambatan ini dan itu saja," kata seorang penduduk, Don Fuchs.

"Ianya sangat indah, rumputnya sangat lebat bagaikan duduk di halaman rumah sendiri," kata Linda Curnow yang datang bersama keluarganya.

Menteri Negeri New South Wales, Nathan Rees berkata, acara tersebut bakal menjadi acara tahunan sempena festival makanan Sydney yang berlangsung sepanjang bulan Oktober.

Kira-kira 45,000 orang telah mendaftar untuk mendapatkan tiket sarapan yang mana pemenang akan membawa makanan sendiri dan juga boleh menikmati makanan sampel daripada pengeluar terbaik negeri.

"Kita tidak pernah mempertikaikan kejayaan acara ini.

"Ini adalah acara dunia pertama untuk tarikan ikonik ini, acara sebegini sesuai dengan personaliti Australia," kata jurucakap kerajaan kepada AFP.

Pihak penganjur merancang untuk mengguna semula kira-kira 40 peratus daripada rumput yang terlibat untuk taman-taman di Sydney.

Jambatan tersebut dibuka semula pada pukul 1 petang. - AFP


sumber~kosmo

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails