Followers

Wednesday, October 14, 2009

Licik, tangkas dan berani

Licik, tangkas dan berani

Vinod, Inarah dan Aqeel merupakan sebahagian daripada generasi pelapis sukan hoki ais yang mahir. Apakah yang membuatkan mereka cukup teruja menyertai sukan tersebut?




NAFAS panjang dihela beberapa detik. Keringat yang semakin banyak merenik di wajah dibiarkan. Suasana sejuk yang dibiaskan di lantai luncur ais di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor itu tidak lagi dipedulikan oleh tiga kanak-kanak kecil itu.

Seluruh tenaga telah disalurkan untuk menggerakkan badan dan menghayun kayu pemukul hoki ais dalam sesi latihan yang berlangsung sejak satu jam lalu.

Vinod Raj, 7, Inarah Sofiya Haniff, 11, dan Mohd. Aqeel Noor Hisham, 9 yang kian mahir dalam sukan hoki ais itu nampak cukup licik, tangkas dan berani.

Biarpun berlatih dalam keluasan terhad bersama pemain-pemain yang berpengalaman, Vinod, Inarah dan Aqeel bijak mencuri ruang. Malah, kadangkala mereka mampu menyaingi pemain yang lebih berusia untuk mendapatkan puck (cakera getah hoki ais).

Pengalaman

Melihat kemahiran mereka, bukan mengejutkan jika ketiga-tiga pemain cilik itu pernah disenaraikan dalam pasukan kanak-kanak hoki ais Malaysia untuk bersaing dengan pasukan hoki ais luar negara.

Antara negara yang pernah dikunjungi ketiga-tiga pelajar tersebut untuk acara pertandingan ialah Singapura, Hongkong dan China. Biarpun tidak pernah mengungguli takhta juara, namun pengalaman yang mereka timba amat bermakna.

Bukan mudah untuk mereka bermain hoki ais. Mereka bukan sahaja perlu menyeimbangkan badan di lantai ais yang licin, sebaliknya perlu mengawal cakera getah agar ia tidak jatuh ke tangan pihak lawan dan menjaringkan gol.

Melihat ketiga-tiga kanak-kanak itu bermain hoki ais, pasti ada yang menganggap mereka telah lama bermain permainan yang berasal dari Kanada itu.

Sedangkan ada antara pelajar sekolah rendah itu bermain kurang daripada setahun.

Siapa tahu dengan minat dan komitmen yang ditunjukkan oleh mereka tidak mustahil ketiga-tiganya boleh menjadi pemain hoki ais handalan pada masa akan datang.

"Impian saya satu hari nanti dapat melanjutkan pelajaran ke Kanada. Di sana, bolehlah saya memantapkan lagi teknik dan gaya pemainan untuk menjadi antara pemain hoki ais terbaik dunia," kata Aqeel tanpa berselindung.


BIARPUN berlatih dalam keluasan yang terhad, para pemain bijak mencuri ruang.


Semangat

Celah ibunya, Watie Mohd., 46, walaupun anaknya kurang sihat dia tetap bersemangat menjalani latihan hoki ais dua kali seminggu.

"Melihatkan semangat dan minat yang mendalam pada diri Aqeel, saya dan suami, Noor Hisham Yahaya, tidak kisah menempuh perjalanan jauh dari rumah di Port Dickson, ke Petaling Jaya untuk sesi latihan," cerita Watie tentang anak bongsunya itu.

Aqeel yang mahir bermain luncur ais sejak kecil mengakui minatnya terhadap hoki ais muncul tatkala mengikut ibunya membeli-belah di Sunway Pyramid.

"Tiada yang lebih menyeronokkan apabila bermain hoki ais bersama rakan sepasukan. Ia memberi keyakinan dalam diri saya untuk terus mencipta nama dalam sukan ini," kata Aqeel yang gembira kerana memperoleh pengalaman bermain dan berkawan dengan ramai pemain asing.


DARI KIRI: Mohd. Aqeel Noor Hisham, Inarah Sofiya Haniff dan Vinod Raj pernah mewakili Malaysia untuk acara sukan hoki ais.


Paling muda

Bagi Vinod pula, walaupun pernah tercedera di dahi semasa meluncur ais, ia tidak mematahkan semangat peserta paling muda itu untuk menyertai sukan lasak hoki ais pula.

"Walaupun sukan hoki ais ini kelihatan lasak apabila pemainnya kerap bertembung sesama sendiri dan kadangkala mereka terjatuh, kelengkapan yang mereka pakai seperti topi, pelindung tangan dan kaki menyebabkan mereka tidak cedera," kata bapa Vinod, S. Sundram, 38 kepada Kosmo! ketika ditemui sebelum sesi latihan di Sunway Pyramid.

"Saya sukakan cabaran. Bermain hoki ais bukan mudah, ia memerlukan kemahiran tinggi untuk mengawal cakera getah pada selekoh tajam," celah Vinod.


SEBAHAGIAN daripada generasi pelapis para pemain sukan hoki ais yang menjalani latihan di pusat beli-belah Sunway Pyramid.


Galakan

Sementara itu, bagi Inarah pula, minatnya terhadap hoki ais muncul selepas diberi pendedahan dan galakan daripada ayahnya, Haniff Datuk Mahmood yang merupakan Timbalan Presiden Persatuan Hoki Ais Malaysia (MIHF).

Pelajar Sekolah Rendah (SK) Cempaka, Damansara itu memberitahu, dia sering mengikut ayahnya bermain hoki ais. Secara tidak langsung minat bermain hoki ais mula timbul.

Walaupun sukan itu agak kasar untuk seorang gadis remaja menceburinya, Inarah tidak merasa begitu sebaliknya amat menggemari sukan tersebut.

Banyak teknik yang telah dikuasai Inarah. Antaranya ialah cara-cara mengawal cakera getah hoki ais, sama ada menyambut atau menghantar cakera getah pada pasukannya.

Selain itu, Inarah juga cekap bermain luncur ais yang memerlukannya berhenti secara mengejut, membuat pusingan, meluncur sambil mengejar lawan dan berundur.

sumber~kosmo

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails