Followers

Wednesday, October 14, 2009

Mutu lagu lebih utama

Mutu lagu lebih utama

Apakah respons artis tanah air apabila mereka semakin mudah mendapat anugerah platinum dan emas?


AMY dan Ella antara artis yang pernah menerima anugerah platinum.


SETIAP anugerah yang diterima penyanyi adalah penghargaan besar dalam mengembangkan lagi bakat dan popularitinya dalam industri muzik.

Anugerah-anugerah yang besar seperti Juara Lagu, Lagu Terbaik bahkan anugerah platinum menambahkan lagi profil kerjaya seseorang artis.

Apakah pendapat artis apabila mereka semakin mudah untuk mendapat anugerah platinum dan emas untuk album mereka?


CHE AMRAN mengakui anugerah platinum penting untuk profil artis.


Bagi salah seorang ahli kumpulan Raihan yang pernah meraih anugerah platinum kali terakhir pada tahun 2004, Che Amran Idris, sesebuah anugerah bukanlah satu keutamaan ataupun matlamat yang dikejarkan oleh artis.

"Memang ia penting bagi penyanyi kerana mahu memberi satu rangsangan kepada karyawan untuk melahirkan lagu-lagu yang lebih bermutu.

"Anugerah itu juga bertujuan untuk dijadikan sebagai profil seseorang penyanyi selain momentum melonjakkan namanya di pasaran.

"Tetapi ia bukanlah satu keutamaan kerana kepentingan yang perlu dititikberatkan adalah pada lagu dihasilkan dan kredibiliti pada mutu lagu tersebut.

"Kemudian barulah orang sanjung lagu-lagu yang kita hasilkan itu," katanya.


SARAH melihat perubahan yang dilakukan RIM seiring dengan perubahan teknologi.


Tambah Che Amran, penurunan unit jualan untuk anugerah platinum dan emas ada kebaikannya kerana ia sekurang-kurangnya dapat memperlihatkan industri muzik tempatan tidak mati dan tenggelam dengan muzik luar negara.

"Bagus juga bila RIM menambah jualan muzik digital untuk mendapatkan anugerah ini kerana zaman ini digital menjadi 'raja' dalam industri muzik kita.

"Apapun, penghasilan album masih lagi diperlukan. Sama juga seperti kami, Raihan masih lagi perlu menghasilkan album untuk memeriahkan industri kita.

"Tetapi penghasilan album perlu dibuat dengan pendekatan yang berbeza iaitu keluar single dahulu, baru album. Mungkin dengan cara ini, jualan album boleh dinaikkan," ujarnya.

Sementara itu bagi penyanyi genit yang juga pernah meraih anugerah platinum sekitar tahun 2003, Sarah Raisuddin, dia gembira kerana RIM menurunkan kadar unit jualan album untuk melayakkan seseorang artis mendapatkan anugerah tersebut.

"Bunyi macam saya terlalu menginginkan anugerah itu, tetapi sebenarnya anugerah itulah yang dapat menghidupkan industri muzik kita.

"Sekarang ini, untuk mendapatkan anugerah platinum, ia diturunkan sehingga 15,000 unit, padahal pada zaman dahulu, siapa yang mendapat jualan 20,000 unit baru dapat anugerah platinum.

"Rasanya, tidak salah jika ia diturunkan, kerana ia sesuai mengikut peredaran industri muzik kita yang lebih ke arah digital.

"Jika dilihat kembali, sebenarnya industri muzik kita bergerak mengikut teknologi yang kita miliki. Lihatlah, dulu bermula dengan piring hitam dan kemudiannya bila beralih ke kaset, piring hitam dah tak laku. Sama juga dengan cakera padat yang kini dikuasai pula oleh era digital.

"Saya tak rasa ia menjejaskan kualiti kerana industri kita sebenarnya mengikut peredaran zaman, bukannya merudum," tegasnya.

Tambah Sarah, untuk memeriahkan lagi industri muzik tanah air, dia berharap agar anugerah berkaitan muzik perlu ditambah lagi pada masa depan.

sumber~kosmo

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails