Followers

Thursday, October 15, 2009

1.5 juta kanak-kanak mati cirit-birit

GENEVA 15 Okt. - Seramai 1.5 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun maut disebabkan cirit-birit setiap tahun, menurut amaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam ketika mereka melancarkan kempen baru bagi membendung penularan penyakit itu.

"Ia adalah satu tragedi bahawa cirit-birit yang merupakan satu masalah penyakit kecil yang berlaku di negara-negara membangun, dianggarkan telah membunuh 1.5 juta kanak-kanak setiap tahun," kata Ann Veneman, pengarah eksekutif Tabung Kanak-kanak PBB (UNICEF).

"Rawatan murah dan berkesan untuk penyakit cirit-birit wujud, namun di kebanyakan negara membangun hanya 39 peratus daripada kanak-kanak yang mengalami cirit-birit menerima rawatan yang disyorkan itu," katanya.

Menurut pakar kesihatan kanak-kanak Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Oliver Fontaine, hampir 18 peratus daripada kematian di kalangan kanak-kanak bawah lima tahun adalah disebabkan cirit-birit, rata-ratanya berpunca daripada air yang tercemar dan jangkitan.

UNICEF dan WHO hari ini melancarkan tujuh rancangan untuk membendung dan merawat penyakit cirit-birit, termasuk menggantikan cecair dalam badan bagi mengelak penyahidradan, rawatan zink, menggalakkan penyusun badan di peringkat awal kanak-kanak dan amalan membasuh tangan dengan sabun.

Menurut WHO, sebanyak 50 juta kanak-kanak telah diselamatkan menerusi rawatan berkos rendah menggunakan garam penyahidradan semula, satu rawatan yang telah diamalkan sejak 25 tahun lalu.

Langkah mudah membasuh tangan menggunakan sabun boleh mengurangkan penyakit cirit-birit sehingga 40 peratus, tambah UNICEF.

"Masalah untuk mendapat bekalan ubat tidak pernah selesai kerana cirit-birit telah menjadi satu penyakit yang tidak dipandang serius oleh kebanyakan negara," kata Fontaine.

Sementara itu, negara-negara miskin menyedari bahawa ia merupakan punca masalah yang utama namun memberi tumpuan lebih untuk memperuntukkan dana yang diterima bagi penyakit-penyakit lain, katanya. - AFP

sumber~utusan malaysia

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails