Followers

Thursday, October 15, 2009

Penduduk risau tanah runtuh


KAKITANGAN TNB mendirikan semula tiang elektrik yang tumbang akibat tanah runtuh sepanjang 200 meter di jalan Kampung Janda Baik, Bentong, kelmarin.


BENTONG 15 Okt. – Penduduk Kampung Janda Baik di sini hidup dalam kebimbangan ekoran kejadian tanah runtuh yang berlaku sepanjang 200 meter semalam berhampiran kilang Elektriksola Sdn. Bhd.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Janda Baik, Zahari Arof berkata, kejadian tanah runtuh kira-kira pukul 3.45 petang itu menyebabkan jalan masuk di Kilometer 2 rosak teruk.

Katanya, kejadian itu juga mengakibatkan kesesakan lalu lintas dari pukul 4 petang hingga 11 malam apabila hanya satu laluan boleh digunakan oleh kenderaan ringan.

‘‘Penduduk kini berasa bimbang kemungkinan runtuhan itu adalah kesan daripada gegaran gempa bumi yang berlaku sejak setahun lalu.

‘‘Pada kejadian terbaru 8 Oktober lalu, lapan gegaran dikesan berukuran 2.5 pada skala Ritcher,” kata Zahari kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagaimanapun, kata beliau, tidak ada mangsa mengalami kecederaan dalam bencana alam itu.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Bentong (MPB) mengambil tindakan segera membaiki kerosakan struktur jalan tersebut.

Menurut Zahari, jalan itu perlu diperbaiki segera memandangkan ia merupakan laluan utama ke kampung Janda Baik.

Beliau turut bimbang kerosakan struktur jalan tersebut boleh menjejaskan kedatangan pelancong dan sektor pelancongan di kawasan tersebut.

Sementara itu, Penyelia Elektriksola Sdn. Bhd., A. Mohan memberitahu, kejadian tanah runtuh tersebut menyebabkan 1,000 kakitangan kilang berkenaan terkandas kerana kejadian itu berlaku ketika pekerja syif petang habis bekerja.

Bagaimanapun, katanya, kejadian itu tidak menjejaskan aktiviti kilang berkenaan kerana bekalan elektrik tidak terjejas.

Beliau turut menghargai kecekapan dan tindakan segera yang diambil oleh kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Bentong bagi memastikan bekalan elektrik ke kilang tersebut dan kampung Janda Baik tidak terjejas.

Kata Mohan, beberapa kakitangan kilang tersebut yang merupakan ahli bomba sukarela juga mengambil inisiatif sendiri bagi mengawal pergerakan lalu-lintas di kedua-dua hala di tempat kejadian supaya berjalan lancar.

Kakitangan TNB Bentong semalam mengambil masa lebih tujuh jam membaiki tiang elektrik yang tumbang akibat kejadian tanah runtuh tersebut supaya bekalan elektrik ke Janda Baik dan kilang tersebut tidak terputus.

sumber~utusan malaysia

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails