Followers

Thursday, October 15, 2009

Persiapan Deepavali musnah


SEBAHAGIAN daripada tujuh buah rumah yang dimasuki air dalam kejadian banjir kilat di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam, Melaka, semalam.


MELAKA 15 Okt. - Persiapan beberapa keluarga beragama Hindu di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam di sini untuk menyambut Deepavali yang tinggal dua hari sahaja lagi musnah ditenggelami banjir ketika mereka bekerja di sini tengah hari ini.

Bukan sahaja diselubungi rasa sedih tetapi agak memenatkan bagi mereka apabila terpaksa membersihkan rumah yang dilanda banjir kilat kali ketiga sejak setahun yang lalu.

Menurut penduduk, ia kejadian kedua berlaku sejak dua bulan lalu yang berpunca daripada kolam takungan air di hadapan perumahan tersebut.

Seorang penduduk, N. Cholaventan, 31, berkata, hujan lebat sejak kira-kira pukul 10 pagi menyebabkan air mula melimpah ke kawasan jalan di hadapan rumah.

''Masa itu saya sedang kerja dan jiran menghubungi kira-kira pukul 11 pagi mengatakan rumah dimasuki air.

''Masa itu, saya sudah mula terfikir persiapan Deepavali yang mungkin musnah akibat banjir," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Tambahnya, setibanya di rumah, dia mendapati air telah memasuki rumah hingga paras 0.2 meter dan mula memindahkan barangan perabot dan elektrik ke tempat lebih tinggi," katanya.

Cholaventan mendakwa, ini adalah kejadian kedua berlaku selepas kali pertama pada Julai lalu menyebabkan dia kerugian RM8,000 apabila perabot rumahnya musnah.

Seorang lagi penduduk, R. Pubalan, 27, berkata, dia mula berasa bimbang setiap kali hujan lebat sejak tinggal di taman itu yang mula di buka pada awal 2007.

Menurutnya, sejak rumah mula ditenggelami air tahun lalu, dia akan berasa takut untuk meninggalkan rumah dalam tempoh yang lama.

''Sehinggakan saya hendak balik berhari raya di kampung di Segamat, Johor pun takut.

''Julai lalu ketika banjir besar, saya kerugian kira-kira RM7,000 apabila peti ais dan televisyen semua perabot ditenggelami air pada paras satu meter,'' katanya.

Menurut penduduk, masalah banjir kilat di kawasan itu berpunca daripada kawasan kolam takungan air di hadapan taman tersebut.

Mereka mendakwa, pada mulanya, pemaju perumahan itu menjanjikan kawasan kolam takungan air itu sebagai taman tasik yang dilengkapi pelbagai kemudahan riadah. Namun, entah di mana silapnya, kawasan tersebut dijadikan kolam takungan air.

Sementara itu, Pengerusi Japerun Ayer Keroh, Datuk Koh Nai Kwong yang turut meluangkan masa melawat mangsa berkata, beliau akan mengaturkan perjumpaan antara pemaju dan penduduk bagi membincangkan masalah tersebut minggu depan.

''Kita juga akan panggil wakil daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

''Saya harap penduduk dapat bersabar dan sama-sama mencari jalan penyelesaian pada pertemuan itu nanti," katanya.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan dan Pengguna negeri, Datuk R. Perumal dan wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberi bantuan makanan segera kepada penduduk terlibat.

sumbar~utusan malaysia

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails