Followers

Showing posts with label Pelajaran. Show all posts
Showing posts with label Pelajaran. Show all posts

Thursday, October 15, 2009

Laman IPTS: Hafal al-Quran

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my


PELAJAR Kolej Hafiz bersama keluarga bergambar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Universiti Al-Azhar dan Universiti Islam Madinah, baru-baru ini.

Kolej Hafiz berjaya hasilkan 12 hafazan sesi 2008/2009

KOLEJ Hafiz di Klang, Selangor, menggabungkan tiga elemen pembelajaran, iaitu hafiz, agama dan akademik dalam usahanya mencapai matlamat melahirkan profesional Islam berkebolehan termasuk hafal al-Quran.

Gabungan tiga elemen utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran di kolej itu juga diharap dapat melahirkan ilmuwan seimbang yang dapat memanfaatkan ilmu dunia dan akhirat.


Ditubuhkan pada 1983 dan berdaftar dengan Kementerian Pengajian Tinggi, kolej itu kini menawarkan kursus Diploma Tahfiz al-Quran dan Qiraat yang dipantau Agensi Kelayakan Malaysia.

Pendidikan berkualiti dilaksanakan kolej itu turut mendapat pengiktirafan institusi pengajian tinggi terkemuka dunia, antaranya Universiti Al-Azhar, Mesir dan Universiti Islam Madinah, Arab Saudi.

Pengerusi Kolej Hafiz, Muhamad Haneefa Hussin, berkata pengiktirafan itu membolehkan lulusan diplomanya melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di dua institusi pengajian tinggi terbabit.

Selain itu, katanya, lulusan diploma itu juga bukan saja boleh meneruskan pengajian peringkat sama di universiti tempatan, malah berpeluang mendapat tajaan penuh kerajaan Arab Saudi.

“Kolej Hafiz memberi peluang lepasan sekolah mendapatkan pendidikan asas agama sebelum mereka meneruskan pengajian tinggi di universiti.

“Sejak diperkenalkan pada 2002, hampir 35 peratus lulusan diploma berkenaan berjaya melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar dan Universiti Islam Madinah,” katanya.

Bagi sesi pengajian 2008/2009, Muhamad Haneefa berkata, seramai 12 hafazan dilahirkan dan empat daripada mereka turut menerima tajaan Universiti Islam Madinah.

Sambil menjelaskan Kolej Hafiz berazam melahirkan lebih ramai hafazan, beliau berkata, kursus diploma selama tiga tahun itu mendapat sambutan menggalakkan.

“Kebanyakan pelajar kursus ini adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan sekolah menengah agama.

“Kini ibu bapa semakin sedar mengenai pentingnya pendidikan seimbang dan masing-masing menjadikan kolej berasaskan Islam sebagai pilihan anaknya menyambung pelajaran,” katanya.

Diploma Tahfiz al-Quran dan Qiraat itu dilaksanakan enam semester yang memperincikan hafazan 30 juzuk bersama 10 madah Qiraat.

Mengenai kos pengajian, beliau berkata, ia berpatutan iaitu sebanyak RM2,100 bagi setiap semester.

Mereka berminat dan mengetahui lebih lanjut mengenai kursus itu boleh hubungi talian 016-2615904 atau 03-33425872.

sumber~b.harian

Buku Program Angkasawan

Buku Program Angkasawan Negara di sekolah, IPT


FAIZ Khaleed (kiri) menyerahkan buku Program Angkasawan Negara kepada Maximus Johnity Ongkili sambil disaksikan Mustafa Din Subari di Mes Pusat Angkasa Negara, Sungai Lang, Banting, Kuala Langat, Selangor, semalam. - UTUSAN/MOHD. SHAHARANI SAIBI


KUALA LANGAT 12 Okt. - Semua sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini dicadang memiliki buku 'coffee table', Program Angkasawan Negara yang memuatkan catatan penting serta gambar bersejarah program itu yang bakal menjadi rujukan penting untuk rakyat dan generasi akan datang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili yang mencadangkan perkara itu berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi agar ia dapat direalisasikan.

Beliau berkata, buku terbitan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., anak syarikat Kumpulan Utusan itu akan menemui pembaca selewat-lewatnya bulan hadapan.

''Buku mengandungi lebih 100 muka surat itu bakal dijual dengan harga berpatutan agar dapat dimiliki oleh semua golongan kerana ia memaparkan catatan penting peristiwa yang berlaku beserta gambar-gambar yang pertama kali diperlihatkan kepada umum.

''Adalah menjadi harapan saya supaya penerbitan buku ini dapat disebarkan ke seluruh negara malah kalau boleh ke pasaran dunia," kata beliau selepas melancarkan buku tersebut di Mes Pusat Angkasa Negara di Sungai Lang, Banting di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Angkasa, Dr. Mustafa Din Subari dan Angkasawan Negara, Mejar Dr. Faiz Khaleed.

Buku ini juga dilancarkan sempena ulang tahun kedua Program Angkasawan Negara yang jatuh pada 10 Oktober lalu.

Menurut Ongkili, penerbitan buku ini juga diharap dapat memberi inspirasi dan pendidikan kepada pelajar dan remaja terhadap kepentingan penerokaan angkasa lepas dan manfaatnya kepada negara.

sumber~utusan

Wednesday, October 14, 2009

Nik Aziz mahu nama Inggeris ditukar ke bahasa Melayu


Nik Aziz mahu nama Inggeris ditukar ke bahasa Melayu

KOTA BAHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengarahkan pihak berkuasa kerajaan tempatan di negeri itu menukar nama jalan dan premis berunsur Inggeris kepada bahasa Melayu.

Beliau mengakui beberapa bangunan milik anak syarikat kerajaan negeri yang baru beroperasi seperti Kelantan Trade Centre, Kota Baharu Trade Centre dan KB Mall menggunakan nama berunsur Inggeris.

"Betul nama itu sengaja bubuh begitu, boleh jadi kerana nak popularkan nama itu untuk menarik perhatian umum di peringkat antarabangsa, seperti hotel, maka digunakan bahasa Ingeris supaya (pelancong) Inggeris tahu. Benda tu boleh kita kaji semula, tak jadi masalah," katanya selepas merasmikan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat negeri Kelantan di sini hari ini.

sumber~b.harian

Amer Muhsin juara Pertandingan Mengeja Kebangsaan

Amer Muhsin juara Pertandingan Mengeja Kebangsaan


AMER MUHSIN menjulang piala juara Pertandingan Mengeja Peringkat Kebangsaan sambil disaksikan Shamsuri (tiga dari kanan) di Ipoh semalam.


IPOH - Tabiat membaca buku dan majalah Discovery serta bimbingan guru membawa tuah kepada murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Uda, Alor Star, Kedah apabila muncul juara Pertandingan Mengeja Peringkat Kebangsaan 2009.

Amer Muhsin Jailani, 12, dinobatkan juara dengan mengenepikan 47 peserta lain dalam pertandingan mengeja berbahasa Inggeris, Knowledge Discovery Spelling Competition Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson di sini semalam.

"Saya mulanya rasa takut kerana perlu berhadapan dengan ramai peserta yang fasih bahasa Inggeris tetapi dengan sokongan rakan, guru dan latihan membaca majalah Discovery dan National Geographic, saya akhirnya berjaya," katanya.

Selaku juara, Amer Muhsin membawa pulang piala dan sijil, geran Knowledge Discovery Educational bernilai RM1,000, pakej percutian, telefon bimbit, kamera digital dan langganan majalah Knowledge Discovery.

Sementara itu, peserta dari Muar, Janet Wong Chan Lin, 12, muncul naib juara.

sumber~kosmo

berita sains

Berita Sains

INGIN tahu perkembangan terkini dunia sains yang boleh membantu meningkatkan kualiti kehidupan anda? Ikuti Berita Sains yang Kosmo! bawakan pada minggu ini.

Gula-gula lahirkan pengganas?

KANAK-KANAK yang makan gula-gula setiap hari cenderung menjadi seorang yang ganas apabila dewasa, menurut satu kajian terbaru.

Data daripada 17,500 peserta dalam kajian statistik British mendapati, kanak-kanak berusia 10 tahun yang makan coklat, gula-gula atau konfeksionari lain setiap hari secara signifikan lebih cenderung disabitkan jenayah keganasan pada usia 34 tahun.


SEJAUH manakah gula-gula boleh menyebabkan kanak-kanak menjadi ganas apabila mereka dewasa?


Secara spesifiknya, 69 peratus yang ganas pada umur 34 tahun telah memakan gula-gula setiap hari semasa mereka kecil, berbanding 42 peratus yang tidak ganas. Bagaimanapun, saintis tidak pasti mengapa.

"Penerangan yang boleh kami beri setakat ini ialah memberikan gula-gula dan coklat secara umumnya menghentikan kanak-kanak daripada belajar bagaimana untuk menunggu untuk mendapatkan sesuatu yang mereka hendak," kata ketua pengkaji Simon Moore dari Cardiff University. "Tidak boleh menangguhkan untuk mendapat apa yang disukai boleh mendorong mereka bertindak melulu dan ia amat berkaitan dengan melakukan jenayah."

Kajian itu diperincikan dalam isu Oktober British Journal of Psychiatry.

"Perkaitan antara pengambilan bahan konfeksionari dan jenayah keganasan perlukan perhatian untuk kajian lanjut," Moore dan rakan-rakan pengkajinya menulis. "Menyasarkan pada apa yang kanak-kanak makan boleh memperbaiki kesihatan dan mengurangkan keganasan."

Demonstrasi teknologi Vocaloid

DEMONSTRASI teknologi Vocaloid iaitu sintesis suara oleh syarikat gergasi instrumen muzik, Yamaha telah berlangsung di pameran Ceatec, Chiba, Jepun baru-baru ini.

Demonstrasi teknologi tersebut dilakukan menggunakan robot humanoid HRP-4C yang dibangunkan oleh institut AIST.


ROBOT humanoid HRP-4C yang dibangunkan oleh institut AIST menyanyikan beberapa lagu dengan iringan muzik daripada piano yang dimainkan secara automatik.


Robot itu menyanyi beberapa lagu dengan iringan muzik daripada piano yang dimainkan secara automatik.

Ceatec ialah pertunjukan elektronik terbesar di Asia.

Planet baru mungkin dihujani batu kerikil

HUJAN pada planet yang baru ditemui, Corot-7b adalah dalam bentuk batu kerikil, bukan titisan hujan. Demikian menurut pengkaji yang menyelidik atmosfera mencadangkan.

Pengkaji-pengkaji di Washington University, St. Louis, Amerika Syarikat (AS) percaya kepanasan planet itu menyebabkan batu berubah menjadi wap. Sedangkan, jika di bumi, air berubah menjadi wap.

Pengkaji-pengkaji beranggapan sebelum menurunkan hujan batu kerikil, awannya seperti menampung timbunan pasir. Mereka percaya ia akan menghujankan batu kerikil ke tasik lava yang menggelegak di bawahnya.


COROT-7b paling menarik perhatian kerana ia satu-satunya planet yang disahkan mempunyai permukaan berbatu.


“Atmosferanya terdiri daripada wap yang boleh didapati daripada proses pemanasan batu,” kata profesor sains planet, Bruce Fegley baru-baru ini. “Bergantung kepada cuaca, hujan boleh turun dalam bentuk letusan lava atau batu yang turun seperti salji.”

Fegley yang mengkaji atmosfera Corot-7b bersama pembantunya, Laura Schaefer menambah, cara cuaca berlaku di planet itu masih tidak diketahui.

Saintis-saintis Eropah yang mengumumkan penemuan planet di luar sistem suria itu pada awal tahun ini meminta pengkaji universiti berkenaan untuk meramalkan model atmosferanya.

Walaupun angkasawan telah menemui lebih 300 planet di luar sistem suria, namun Corot-7b paling menarik perhatian kerana ia satu-satunya planet yang disahkan mempunyai permukaan berbatu berbanding yang lain yang hanya gumpalan gas.

Corot-7b juga terletak terlalu dekat dengan mataharinya menyebabkan suhu di permukaan planet itu melebihi 1,982 darjah Celsius. Ia terlalu panas untuk didiami hidupan.

sumber~kosmo

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails