Followers

Showing posts with label jenayah. Show all posts
Showing posts with label jenayah. Show all posts

Friday, September 24, 2010

Terkini Kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya- Polis Menafikan Datuk Sosilawati Lawiya dirogol.

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Polis hari ini menafikan laporan media yang mengatakan polis sedang menyiasat kemungkinan mangsa pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dirogol.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin dalam satu kenyataan di sini menafikan laporan itu, yang disiarkan di muka depan dua akhbar harian semalam bertajuk ‘8 suspek jalani ujian sperma: Polis menyiasat kemungkinan Sosilawati dirogol’.
Mohd. Bakri berkata, “Tujuan kelapan-lapan suspek dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan adalah bagi memastikan kesemua suspek dalam keadaan baik serta (untuk) mengenal pasti jika ada sebarang kecederaan mahupun penyakit yang dialami semua suspek sebelum dibenarkan berjumpa dengan peguam mereka,” katanya dalam kenyataan itu.
Bakri berkata, selain itu, tiada sebarang pemeriksaan lain dipohon oleh PDRM kepada pihak hospital ke atas kesemua suspek berkenaan.
Laporan akhbar itu mendakwa kesemua suspek termasuk dua beradik peguam diambil sampel darah dan air mani bagi ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) di HKL dua hari lepas.
Difahamkan juga sampel air mani diambil bagi menyiasat maklumat baru kemungkinan salah seorang mangsa turut dirogol. - Bernama

sumber~kosmo

Thursday, September 23, 2010

Terbaru Kes Sosilawati lawiya - Gelang emas milik sosilawati dihantar ke Jabatan Kimia





KUALA LUMPUR - Polis masih belum dapat memastikan sama ada seutas gelang emas yang ditemui di sebatang tali air berdekatan kunci air di Kampung Sungai Lang, Banting kelmarin merupakan milik jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya yang dibunuh kejam bersama tiga lelaki pada 30 Ogos lalu.
Sumber memberitahu, gelang tersebut telah dihantar ke Jabatan Kimia bersama dengan bahan bukti lain yang ditemui sebelum ini untuk melalui ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA).
"Gelang tersebut belum lagi ditunjukkan kepada ahli keluarga mangsa. Mereka akan dipanggil untuk melakukan pengecaman dalam tempoh terdekat," katanya.
Sementara itu, lapan individu termasuk dua wanita yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik, Sosilawati dan tiga yang lain dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani ujian DNA semalam.

sumber~kosmo

Tuesday, September 21, 2010

Maklumat Terkini Kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya- penyelam marin menemui Gelang emas dalam tali air



PASUKAN penyelam berbincang sebelum melakukan operasi mencari barang bukti di sebatang tali air di Kampung Sungai Lang, Banting semalam.


BANTING – Siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki memasuki episod baru apabila sepasukan penyelam marin menemui satu objek berkilau seperti seutas gelang emas yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes tersebut semalam.
Gelang yang bersalut lumpur itu ditemui di sebatang tali air berdekatan kunci air di Kampung Sungai Lang di sini pukul 3.50 petang oleh tiga anggota penyelam marin yang memulakan operasi mencari bahan bukti pada pukul 3.30 petang sebelum ia dihentikan dua jam kemudian.
Ketika operasi dijalankan, hujan turun dengan lebat.
Peguam K. Patmanaban yang ditahan untuk membantu siasatan kes pembunuhan kejam tersebut turut dibawa polis ke tali air tersebut.
Operasi mencari bahan bukti di tali air itu dipercayai dilakukan untuk mencari beberapa barangan peribadi milik mangsa termasuk telefon bimbit yang dipercayai dibuang ke dalam tali air berkenaan.
Tali air di Kampung Sungai Lang tersebut terletak kira-kira 27 kilometer dari Ladang Gadong, Tanjung Sepat yang disyaki tempat pembunuhan Sosilawati dan tiga lagi lelaki.
Ia merupakan lokasi terbaru dalam operasi mencari bahan bukti.

sumber~kosmo

Monday, September 20, 2010

Kes Kematian Sarina Jaafar- Sosilawati tiada kaitan - Polis


BUKIT MERTAJAM 20 Sept. - Siasatan awal polis mendapati kematian pengasas produk kecantikan Aveer, Sarina Jaafar, Sabtu lalu, tidak mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, polis sudah mendapatkan beberapa keterangan termasuk daripada ahli keluarga serta anak-anak Sarina dan setakat ini tiada bukti yang mengaitkan kematian usahawan wanita itu dengan pembunuhan Sosilawati.
''Siasatan polis mendapati tiada keterangan atau bukti yang menunjukkan kematian Sarina bersabit dengan perbuatan jenayah tetapi siasatan akan diteruskan sehingga kes dirujuk kepada pihak pendakwaraya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sarina, 45, yang juga rakan Sosilawati ditemui mati tergantung di bilik tidur rumahnya di Taman Pauh Jaya di sini kira-kira pukul 8.30 pagi Sabtu lalu oleh anak bongsunya yang berusia 16 tahun.
Polis setakat ini mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut.
Laporan akhbar hari ini memetik kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar bahawa polis akan menyiasat sama ada kematian pemilik syarikat SBJ Aveer (M) Sdn. Bhd. itu ada kaitan dengan kes pembunuhan Sosilawati.
Anak saudara Sarina, Naimah Sahid, 32, dipetik akhbar sebagai berkata, kematian wanita itu adalah akibat tekanan perasaan ekoran masalah keluarga yang dihadapinya malah pernah cuba membunuh diri sebelum ini dengan mengelar pergelangan tangannya.
Sarina yang mempunyai empat anak berusia 16 hingga 24 tahun hasil perkahwinan pertamanya merupakan usahawan kosmetik berjaya di negeri ini.
Selepas bercerai dengan suami pertama, Sarina bernikah kali kedua lima tahun lalu.
Sementara itu, Ayub meminta semua pihak termasuk media supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut kerana ia masih dalam siasatan polis.
''Kita tidak mahu laporan berbentuk spekulasi mengganggu siasatan polis, sekiranya ada maklumat biarlah ia mendapat pengesahan daripada pihak polis terlebih dahulu," ujarnya.

sumber~utusan

Sunday, September 19, 2010

Kes Terkini pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya- Apa kaitanya dengan Sarina Jaafar ?



RUMAH arwah Sarina Jaafar di Taman Pauh Indah, Seberang Jaya, Pulau Pinang. –utusan/ Sazali Che Din


BUKIT MERTAJAM 19 Sept. – Ahli keluarga pengasas kosmetik Aveer, Sarina Jaafar yang ditemui mati tergantung di rumahnya di Taman Pauh Jaya di sini semalam, percaya kematian usahawan wanita itu berpunca daripada masalah keluarga.
Anak saudaranya, Naimah Sahid, 32, memberitahu, ibu saudaranya itu yang lebih mesra dengan panggilan Mak Anjang sering mengadu mengalami tekanan perasaan, malah pernah cuba membunuh diri sebelum ini dengan mengelar pergelangan tangannya.
Sehubungan itu, katanya, desas-desus mengatakan kematian Sarina mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya baru-baru ini, adalah tidak berasas.
‘‘Mereka (Sarina dan Sosilawati) memang mengenali antara satu sama lain kerana Sarina pernah mengedarkan produk keluaran syarikat milik Sosilawati beberapa tahun lalu, tetapi sekarang dia hanya menguruskan produk perniagaannya sendiri.
‘‘Arwah sering meluahkan rasa sedih dengan masalah keluarga yang dihadapinya. Dia tidak mengalami masalah dengan perniagaannya,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga Sarina di sini hari ini.
Sarina, 45, yang juga pemilik syarikat SBJ Aveer (M) Sdn. Bhd. ditemui tergantung di bilik utama rumahnya kira-kira pukul 8.30 pagi oleh anak bongsunya yang berusia 16 tahun.
Polis setakat ini mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut.
Naimah memberitahu, Sarina juga ada mengadu mengenai masalah keluarga yang dihadapinya ketika berhari raya di rumahnya di Padang Serai, Kedah baru-baru ini dan sempat menasihatkannya supaya bersabar.
Bagaimanapun, menurutnya, pada pukul 8.03 pagi hari kejadian, Sarina menelefonnya buat kali terakhir dan memberitahu bahawa dia sudah tidak mampu menanggung tekanan yang dialaminya dan nekad untuk menggantung diri.
Malah, katanya, sepanjang perbualan telefon selama beberapa minit itu, arwah yang teresak-esak sempat berpesan supaya menjaga keempat-empat anaknya dan menguruskan majlis perkahwinan anak sulungnya, Mohd. Azrul Affendi Jakaria, 24, Januari depan.
‘‘Masa itu saya menasihatkannya agar tidak melakukannya (menggantung diri) serta minta dia mengucap dan ingat pada Allah, tetapi dia terus memutuskan talian telefon dan apabila saya cuba menghubunginya semula, panggilan telefon tidak dijawab,” tambahnya.
Dalam pada itu, Naimah berkata, Sarina pernah menyuarakan hasratnya untuk pergi ke kediaman Sosilawati di Gombak bersama rakan-rakannya yang bergiat dalam perniagaan yang sama sebaik sahaja mendapat berita kematian jutawan kosmetik itu menerusi media.
‘‘Arwah memberitahu hendak ke sana untuk menyertai majlis tahlil dan bacaan Yasin untuk rakannya itu dan hanya menunggu panggilan daripada rakan-rakan lain, tetapi arwah tidak sempat menunaikan hasratnya itu,” katanya.
Sementara itu, anak kedua Sarina, Siti Badaryah, 23, ketika ditemui berkata, keluarganya masih bersedih dan terkejut dengan kejadian yang menimpa ibunya.
“Ibu memang jarang bercerita mengenai masalahnya kepada anak- anak dan dia kerap mengadu masalahnya kepada sepupu kami (Naimah) kerana mereka memang akrab sejak dahulu lagi.
‘‘Apa yang diberitahu kepada saya, ibu bertindak demikian kerana masalah keluarga tetapi saya tidak pasti apa sebenarnya yang mendorongnya berbuat demikian,” katanya.

sumber~utusan

Saturday, September 18, 2010

Terkini Kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya- Kes bunuh Sosilawati: RM1j setahun

BATU PAHAT: Pengasas rangkaian produk kecantikan Nouvelles Visage, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, bukan saja membantu menyediakan pekerjaan bagi membaiki taraf hidup ahli keluarga, malah memperuntukkan RM1 juta setahun bagi membiayai perbelanjaan anak yatim di seluruh negara.
Katanya, keluarga bukan mahu bermegah atau berbangga dengan pemberian kakaknya, namun berasa terharu kerana kakaknya tidak pernah melupakan asal usul dan menghulurkan bantuan kepada pelbagai pihak yang memerlukan.

“Hubungan kami rapat, namun keluarga tidak pernah mengambil tahu perbelanjaan dan cara Kak Wati menggunakan wangnya.

“Namun apabila Dr Robia memberitahu Kak Wati memperuntukkan RM1 juta untuk anak yatim seluruh negara setiap tahun, kami rasa terharu.

“Bukan niat mahu bermegah, tetapi terharu kerana ia membuktikan Kak Wati tidak pernah lupa pada awal perjalanan hidup kami yang susah dengan menghulurkan bantuan bagi membantu insan kurang bernasib baik ketika dia menerima rezeki yang melimpah ruah,” katanya.
Menurutnya, selain menghulurkan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik, kakaknya tidak lupa membantu adik-beradiknya bagi membolehkan mereka membaiki taraf hidup.

Katanya, selain sifat tidak suka meninggi diri, Kak Wati sentiasa mencari peluang membantu adik beradik, terutama menyediakan peluang pekerjaan.

Ketua Kampung Sri Menanti, Sri Medan, Omar Salleh, 63, berkata Sosilawati sebenarnya tidak suka pemberiannya diperbesarkan kerana tidak mahu dianggap menunjuk-nunjuk sedangkan dia ikhlas memberi bantuan.

“Sifat pemurah Sosilawati banyak membantu penduduk dengan memberi bantuan berterusan kepada Masjid Seri Dayong, Sri Medan; surau di Kampung Sri Menanti dan sekolah angkatnya, Sekolah Kebangsaan Seri Dayong serta Sekolah Agama Seri Dayong.

“Ketiadaannya bukan saja menyedihkan keluarga dan penduduk, malah murid sekolah yang banyak merasai pemberiannya sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, penduduk kampung berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dengan teliti bagi menjawab kehilangan Sosilawati.

Seorang penduduk kampung yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, penduduk menghormati keluarga itu yang melalui pelbagai dugaan sepanjang tahun ini, terutama kehilangan Sosilawati.
“Jika benar suspek melakukan pembunuhan kejam itu, kami berharap hukuman keras dijatuhkan terhadap mereka.

“Kehilangan Sosilawati bukan saja ditangisi keluarga, malah penduduk kampung terasa kehilangan beliau yang banyak menabur jasa di kampung ini.

“Wang boleh dicari tetapi nyawa tidak boleh diganti, berikutan itu penduduk berharap jika benar Sosilawati dibunuh, biar pelakunya mendapat balasan setimpal,” katanya.

Katanya, hampir setiap hari dia melawat keluarga Sosilawati untuk memberi sokongan dan berharap keluarga berkenaan tetap tabah mengharungi ujian ini.

Seorang lagi penduduk, Tukinah Samsuri, 40, berkata kali terakhir dia menemui Sosilawati ketika kenduri tahlil arwah sebelum Ramadan lalu.

“Sejak berita pembunuhannya disiarkan akhbar, perasaan bimbang penduduk bertukar sedih dan berharap penjenayah berkenaan akan dikenakan tindakan tegas,” katanya.

Adik ipar Sosilawati, Misjan Jamikun, 48, berkata keluarganya membuat persiapan bagi mengkebumikan jenazah berbentuk tulang atau cebisan daging jutawan itu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sri Menanti.

sumber~kosmo

Kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya- Rakan Sosilawati ditemui mati tergantung

Rakan Sosilawati ditemui mati tergantung


Sarina


BUKIT MERTAJAM - Seorang pengasas produk kecantikan jenama Aveer, Sarina Jaafar, 43, yang juga rakan Datuk Sosilawati Lawiya ditemui mati dalam keadaan tergantung di dalam bilik di rumahnya di Taman Pauh Jaya di sini semalam.
Kejadian itu disedari oleh anak bongsu Sarina yang berusia 16 tahun kira-kira pukul 8.30 pagi ketika masuk ke biliknya.
Bagaimanapun sehingga semalam polis masih mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut dan menolak sebarang kaitan dengan unsur jenayah.
Menurut anak sulung mangsa, Mohd. Azrul Affendi Zakaria, 24, ketika kejadian dia berada di Kuala Lumpur dan bergegas pulang sebaik mendengar mengenai berita kematian ibunya itu.
Tambahnya, sebelum ini ibunya pernah menyatakan rasa terkilan dengan nasib malang yang menimpa rakannya, Sosilawati yang dibunuh dengan kejam baru-baru ini.
"Ibu dan Datuk Sosilawati memang sudah berkawan lama kerana mereka sama-sama terlibat dalam bidang produk kecantikan dan sejak kebelakangan ini ibu sering memberitahu dia berasa sedih dengan nasib yang menimpa Sosilawati," katanya.

sumber~kosmo

Friday, September 17, 2010

Terkini Kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya- LOKASI PEMBUNUHAN Datuk Sosilawati Bersma 3 yg lain

L


BEBERAPA petugas media meninjau lokasi kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Kuala Langat, Selangor, semalam. – UTUSAN/SAHARUDDIN ABDULLAH


KAWASAN yang dikelilingi tembok batu ini dipercayai menjadi tempat pembunuhan kejam dan pembakaran mayat jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga yang lain selepas dilaporkan hilang 30 Ogos lalu.
Sosilawati didakwa turut dibunuh bersama pembantu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, peguam peribadinya, Ahmad Kamil Abd. Karim dan pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohamad selepas mengadakan pertemuan dengan suspek, seorang peguam di Banting.

sumber!~utusan

Terkini Kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya-Patmanaban guna gelaran Datuk palsu



K. PATMANABAN


KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan peguam K. Patmanaban tidak pernah dikurniakan gelaran Datuk.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, daripada semakan, Patmanaban didapati menggunakan gelaran Datuk palsu.
"Dia tidak pernah dianugerahkan gelaran Datuk oleh mana-mana negeri," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Difahamkan, Patmanaban sebelum ini pernah cuba membeli gelaran itu dari sebuah negeri, namun dia menjadi mangsa penipuan walaupun selepas menyerahkan sejumlah wang yang dianggarkan beratus ribu ringgit untuk tujuan mendapatkan anugerah itu.
Malah dia ketika itu dikatakan menerima surat penganugerahan daripada pihak istana, namun pada saat-saat akhir namanya tidak tersenarai.
Dalam pada itu, Bakri berkata, aset Patmanaban yang ditahan untuk membantu siasatan kes pembunuhan Sosilawati telah dibekukan, namun buat masa ini berapa jumlah aset peguam itu yang dibekukan belum dapat diumumkan.

sumber~kosmo

terkini Kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya- Taksub bos punca mangsa dibunuh





KUALA LUMPUR - Taksub kepada majikan dipercayai menjadi punca enam pekerja Ladang Gadong, Tanjong Sepat di Banting sanggup melakukan pembunuhan kejam melibatkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, terdapat di kalangan pekerja itu telah 15 tahun bekerja dengan majikan itu.
Menurut beliau, berdasarkan pengakuan empat daripada enam pekerja itu, mereka menyatakan mangsa-mangsa telah diikat, dipukul, ditikam dan dibakar sebelum abu kesemua mayat itu di buang ke dalam Sungai Panchau.

BAKRI (kiri) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur semalam.


Perbuatan kejam itu ada kaitan dengan majikan mereka yang dipercayai turut berada di lokasi kejadian. Berikutan kejadian itu, kata Bakri, polis yakin telah melengkapkan kertas siasatan terhadap kes pembunuhan itu dan menghentikan operasi mencari bahan bukti di sekitar Ladang Gadong.
"Polis percaya kes pembunuhan empat mangsa itu telah dapat diselesaikan berdasarkan urutan peristiwa, tindakan-tindakan dan juga bukti yang telah diperoleh.
"Kita akan mengemukakan hasil siasatan kepada pejabat Peguam Negara, berkemungkinan minggu hadapan," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini semalam

sumber~kosmo

Thursday, September 16, 2010

Kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya- Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM)


SANDAKAN 16 Sept. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana berjaya menyelesaikan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dengan cepat.
Beliau bagaimanapun meminta semua pihak memberi ruang secukupnya kepada pihak berkuasa itu melakukan siasatan menyeluruh untuk mendapatkan bukti mencukupi bagi mendakwa suspek di mahkamah.
"Ini satu kejayaan memberangsangkan dan saya mengucapkan tahniah kepada PDRM kerana dapat bertindak cepat dan membongkar kegiatan mereka yang bertanggungjawab di atas pembunuhan itu.
"Saya berharap mereka (PDRM) dapat mencari bukti-bukti jelas yang boleh dikemukakan di mahkamah supaya mahkamah tidak berasa ragu menjatuhkan hukuman yang setimpal," katanya selepas menghadiri program Juara Rakyat dan Rumah Terbuka Aidilfitri di Padang Bandaran di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kejayaan pihak polis menyelesaikan siasatan kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik berkenaan.
Menurut Perdana Menteri, kejayaan tersebut menunjukkan keupayaan dan kemampuan polis menyelesaikan kes jenayah di negara ini.
Katanya, ia juga menunjukkan kredibiliti PDRM yang semakin meningkat dalam menjaga keamanan negara.
Najib menyifatkan kejadian tersebut sebagai satu kes pembunuhan yang kejam dan berharap pembunuh jutawan kosmetik itu dan tiga individu lain dikenakan hukuman yang setimpal.

sumber~utusan

Terkini Kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya- Anak sulung Sosilawati semakin tenang


KUALA LUMPUR 16 Sept. - Anak sulung jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya yang dibunuh bersama tiga lelaki lain, Erni Dekritawati Yuliana Bukhairi, 25, dilihat lebih tenang berbanding beberapa hari lepas.
Pemerhatian Utusan Malaysia di kediaman keluarganya mendapati, siswazah pengurusan perniagaan daripada sebuah universiti di Britian itu sudah mampu tersenyum dan keluar rumah, malah turut menghantar tetamu yang menziarahi keluarganya hingga ke depan pintu kereta mereka.
Erni atau dikenali sebagai Rita yang dilihat memakai baju kurung berwarna kuning keemasan dan berselendang hitam juga melemparkan senyuman kepada tetamu lain dan tidak lagi berkurung dalam rumah seperti mana pada hari pertama ibunya dilaporkan dibunuh Ahad lepas.
Pada hari tersebut, Rita hanya tampil dalam sidang akhbar selama kira-kira dua minit sejurus selepas pengumuman polis tentang pembunuhan ibunya.
Dua hari lalu, Rita turut dilihat pergi ke pejabatnya di Kampung Baru untuk satu urusan dengan memakai baju kurung berwarna biru lengkap berselendang dan berkaca mata hitam besar.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, pihaknya bersedia membantu Rita sekiranya anak sulung usahawan itu memerlukan bantuan pihaknya.
"Kita bersedia untuk membantu termasuklah aspek publisiti jika Rita inginkan bantuan untuk meluaskan lagi empayar perniagaannya," katanya selepas melawat anak-anak Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak di sini hari ini.

sumber~utusan

Terkini Kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya- Siasatan pembunuhan Sosilawati tanpa unsur perkauman-Ismail


BANTING — Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang baru memegang tampuk kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini berkata, siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lain dilakukan tanpa sebarang unsur perkauman.
Kes siasatan Sosilawati adalah kes jenayah biasa kerana ada penjenayah dan ada mangsa, katanya ketika sesi dialog bersama pemimpin masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di sini hari ini sempena lawatan pertama beliau ke Selangor sebagai Ketua Polis Negara.
Pada sesi dialog itu, beliau berkata, siasatan terhadap kes-kes yang ada unsur perkauman seperti kes pembakaran gereja di Petaling Jaya dan surau di Johor dijalankan berlandaskan undang-undang.
Beliau berkata, masyarakat perlu faham bahawa proses pendakwaan kes itu adalah di bawah bidang kuasa Peguam Negara bukannya polis.
Ismail berkata demikian selepas seorang daripada pemimpin masyarakat setempat membangkitkan isu mengapa kes surau di Negeri Sembilan yang dibaling cat dan botol arak tidak dibawa ke mahkamah sedangkan kes pembakaran gereja ada yang dihadapkan ke mahkamah. - Bernama

sumber~kosmo

Wednesday, September 15, 2010

Keluarga Sosilawati mahu tulang, cebisan mayat mangsa diperiksa sekali lagi di luar negara

SATINAH meninggalkan pekarangan Hospital Kuala Lumpur  selepas menjalani ujian DNA di sini, semalam.
SATINAH meninggalkan pekarangan Hospital Kuala Lumpur selepas menjalani ujian DNA di sini, semalam.
Keluarga Sosilawati mahu tulang, cebisan mayat mangsa diperiksa sekali lagi di luar negara

BATU PAHAT: Keluarga Datuk Sosilawati Lawiya akan menghantar tulang dan cebisan mayat yang diperoleh daripada polis ke luar negara bagi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) kedua bagi memastikan ia benar-benar milik ahli perniagaan itu.

Adik kepada jutawan kosmetik itu, Masturi Lawiya, 42, berkata ia bukan bagi menyangkal ujian dibuat pihak berkuasa negara ini, sebaliknya lebih kepada mendapatkan pendapat kedua.
“Kami kami masih menunggu keputusan ujian itu, bagaimanapun kami tidak putus berdoa dan mengharapkan keajaiban berlaku jika Kak Wati masih lagi hidup.

“Walaupun selepas ini jika ujian itu positif mengesahkan cebisan serta apa jua yang ditemui milik Kak Wati, kami sekeluarga mahu ujian kedua di luar negara sama ada di Singapura atau Thailand,” katanya ketika ditemui di Surau Al-Hidayah Kampung Sri Menanti di sini, semalam.

Masturi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasil ujian DNA yang masih belum dikeluarkan polis sejak penemuan lokasi pembunuhan empat mangsa itu.

“Kami yakin Kak Wati masih hidup dan selamat dan dia mungkin disembunyikan di satu lokasi lain,” katanya.
Sementara itu, kira-kira 100 penduduk kampung berkenaan mengadakan solat jenazah ghaib dan doa selamat di surau berkenaan sebagai tanda penghormatan terakhir kepada Sosilawati yang disifatkan penduduk kampung sebagai dermawan sejati.

Di KUALA LUMPUR, ibu kepada pemandu peribadi Sosilawati, Kamaruddin Shansuddin, 44, dan ibu perunding kewangan peribadi CIMB, Noorhisham Mohamad, 38, menyerahkan sampel darah masing-masing di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk ujian DNA, semalam.

Ibu Kamaruddin, Zainab Ahmad, 73, berada di HKL kira-kira jam 2.30 petang selepas menghadiri majlis tahlil di rumah Sosilawati di Gombak, pada sebelah pagi.

Ibu Noorhisham, Satinah Mokhtar, 50-an, pula berbuat demikian kira-kira jam 12 tengah hari.

Kakak Kamaruddin, Ramlah, 49, berkata ibunya dihubungi Polis Bukit Aman untuk menyerahkan sampel darah di HKL untuk tujuan pengecaman.

Beliau berkata, sebelum itu, ibunya dan beberapa ahli keluarga menemani anak saudaranya, Khairul Izuan Ismail, 29, memberi keterangan di Balai Polis Dang Wangi.

Khairul Izuan, diminta memberi keterangan bagi membantu siasatan berikutan dia individu terakhir dihubungi Kamaruddin kira-kira jam 5 petang, 30 Ogos lalu.

“Kama (Kamaruddin) memberitahu Khairul Izuan ada urusan di Banting dan meminta menelefonnya semula sebelah malam. Bagaimanapun, Khairul Izuan hanya menelefonnya pagi Selasa tetapi gagal,” katanya.

Adik Noorhisham dikenali sebagai Azlan ketika dihubungi mengesahkan menghantar ibunya, Satinah ke HKL untuk menyerahkan sampel darah dan sebelum itu membawanya ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi apabila dipanggil untuk memberi keterangan.

sumber~Berita Harian

Kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya- Keluarga peguam peribadi Datuk Sosilawati Lawiya tak mahu keluar kenyataan

SEREMBAN: Keluarga peguam peribadi Datuk Sosilawati Lawiya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, meminta semua pihak menghormati keputusan mereka yang tidak mahu memberikan sebarang kenyataan kepada media berhubung isu itu.

Jurucakap keluarga berkenaan yang enggan dikenali, berkata mana-mana ahli keluarga pun tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Kami sekeluarga sudah membuat keputusan mengenai perkara ini dan meminta semua pihak menghormatinya,” katanya yang juga abang kepada Ahmad Kamil, ketika ditemui di sini, semalam.
Ahmad Kamil dipercayai dibunuh bersama Sosilawati, 47, dan pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44, serta pegawai CIMB Bank cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, 30 Ogos lalu.

sumber~Berita Harian



Kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya-Unit forensik menemui lagi sejumlah serpihan tulang dipercayai milik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lain



Anggota forensik mencari bahan bukti kes pembunuhan Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya di Sungai Panchau, Tanjung Sepat, Selangor, semalam. - utusan/Saharuddin Abdullah


KUALA LANGAT 15 Sept. - Unit forensik polis hari ini menemui lagi sejumlah serpihan tulang dipercayai milik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lain yang dilaporkan hilang lebih dua minggu lalu dalam operasi mencari bahan bukti di Sungai Panchau, Tanjung Sepat dekat sini hari ini.
Dalam operasi yang bermula pukul 3.30 petang dan berakhir dua jam kemudian, pasukan tersebut dilihat membawa keluar beberapa bungkusan dan salah satu daripadanya dipercayai mengandungi tulang-tulang mangsa.
Namun, para petugas media tidak dibenarkan menghampiri kawasan tersebut kecuali hanya boleh berada 100 meter dari situ.
Malah bagi mengelak kerja-kerja operasi dirakamkan, kawasan yang menjadi tempat bahan bukti dicari turut ditutup dengan kanvas.
Pengarah Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Abdul Malek Harun turut dilihat berada di lokasi tersebut bagi memantau sendiri operasi mencari bahan bukti untuk membantu siasatan.
Sebelum ini, unit forensik mengumpul sejumlah tulang dan barangan mangsa yang juga ditemui di sungai yang sama pada 12 September lalu.
Sosilawati dan tiga yang lain dikatakan telah mengadakan pertemuan dengan suspek bagi urusan pembelian ladang seluas 1.6 hektar milik suspek seorang peguam bergelar Datuk sebelum berita kehilangannya dilaporkan.

sumber~kosmo

Maklumat Terkini Kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya- Tiada pembunuh upahan terlibat




Anggota polis forensik mencari bahan bukti lain di Sungai Panchau, Ladang Gadong semalam tempat dipercayai suspek membuang abu mayat Sosilawati dan tiga rakannya.



KUALA LUMPUR - Pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga yang lain tiada kaitan dengan kumpulan pembunuh upahan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, pihaknya setakat ini percaya pekerja-pekerja kepada seorang lelaki bergelar Datuk terlibat secara langsung dalam pembunuhan empat mangsa itu.
"Kita percaya mereka (pembunuh) adalah pekerja seorang lelaki bergelar Datuk yang ditahan," kata beliau kepada Kosmo! semalam.
Keempat-empat individu tersebut dipercayai telah dibunuh di dalam stor milik peguam Datuk K. Patmanaban yang juga ditahan bagi membantu siasatan kes itu.
Sosilawati, 47, bersama pemandunya, Kamarudin Shansudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan jual beli tanah.
Satu sumber Kosmo! memberitahu, keempat-empat mangsa itu dipercayai dibunuh bermula pada pukul 10 malam pada 30 Ogos lalu selepas Sosilawati dan rakan-rakannya berjumpa dengan Patmanaban.


sumber~kosmo

Tuesday, September 14, 2010

Kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya- Waris keempat-empat mangsa bunuh dan bakar di Banting

KUALA LUMPUR: Waris keempat-empat mangsa bunuh dan bakar di Banting, Selangor menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi membantu mengenalpasti identiti mangsa di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini.

Kesemua mereka termasuk ibu pegawai bank CIMB Noorhisham Mohammad, 38,
Satinah Mokhtar, 50-an dilihat berada di HKL sejak jan 1 tengah hari sebelum
meninggalkan hospital itu satu setengah jam kemudian ditemani anak bongsunya,

Azlan Shah Aziz, yang juga adik tiri Noorhisham berlainan bapa,
serta seorang anggota keluarga mangsa yang tidak dikenali.
Turut kelihatan salah seorang anak perempuan jutawan kosmetik Datuk
Sosilawati Lawiya.

Kesemua mereka sebelum itu dilihat memasuki Balai Polis Dang Wangi dengan
disertai isteri Noorhisham, Suzana Radim Pangat, 38, kira-kira tiga jam untuk
memberi keterangan berkaitan hal peribadi mereka bagi membantu siasatan.

Sementara itu malam ini difahamkan merupakan malam terakhir kenduri tahlil
diadakan di rumah Noorhisham di Taman Seraya, Ampang sejak Ahad lalu.

Sosilawati, 47, bersama tiga individu iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin
Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala LUmpur,
Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32,
dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan
pembelian tanah.

Polis mengesahkan kempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum dibakar
dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting. -- BERNAMA

sumber~berita harian

Monday, September 13, 2010

Kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya- Mencari Bukti Mangsa Dibunuh

Cari bukti mangsa dibunuh

KUALA LANGAT 13 Sept. - Suspek utama iaitu seorang peguam bergelar Datuk yang ditahan kerana dipercayai terlibat membunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lain baru-baru ini dibawa sekali lagi ke lokasi kejadian di Ladang Gadong dekat sini hari ini bagi membantu siasatan.
Difahamkan, ini merupakan kali kedua polis membawa suspek itu ke ladang tersebut yang dikatakan menjadi tempat keempat-empat mangsa dibunuh, dibakar dan abunya dibuang di Sungai Kanchong Laut, tidak jauh dari situ.
Sumber polis memberitahu, suspek dibawa kira-kira pukul 3 pagi ke ladang itu selama hampir sejam oleh sepasukan polis ketika pasukan forensik polis dan sekumpulan pegawai Jabatan Kimia melakukan siasatan menyeluruh dan terperinci untuk mencari bukti dalam kes tersebut.
Sosilawati, jutawan kosmetik berusia 47 tahun itu bersama pembantu peribadinya, Kamaruddin Shamsudin, 44; peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu.
Usahawan wanita terkenal itu dikatakan telah mengadakan pertemuan dengan suspek bagi urusan pembelian ladang seluas 1.6 hektar milik suspek sebelum berita kehilangannya dilaporkan.
Semalam, polis mengesahkan empat suspek yang ditahan mengaku mereka memukul kesemua mangsa hingga mati, dibakar dan abu mayat dibuang ke sungai.
Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin semalam memberitahu, pihaknya tidak dapat mengesahkan kematian keempat-empat mangsa sehingga mendapat pengesahan menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Sementara itu, tinjauan di pejabat peguam tersebut yang terletak bertentangan dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, terdapat pita kuning Polis Diraja Malaysia diletakkan pada pintu premis itu.
Pasukan polis juga masih mengawal ketat jalan masuk ke ladang tersebut dan petugas-petugas media yang menunggu di situ tidak dibenarkan masuk ke dalam seperti semalam.
Namun, keadaan itu tidak begitu sesak berbanding semalam berikutan orang ramai yang singgah untuk mengetahui lebih dekat tentang kes pembunuhannya di luar jangkauan minda itu.

sumber~utusan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails