
Malaysia lwn Liverpool
(5.45 petang, Stadium Nasional Bukit Jalil)
Klik sini Siaran Langsung Malaysia Vs Liverpool

DARI (kiri) Zulfahmi dan Elly. |
1Misi... Cabaran Elly Idzlianizar & Mohd Zulfahmi
LUSA, salah seorang daripada mereka bakal mencatat lembaran baru dalam sejarah dunia permotoran tanahair. Antara Elly Idzlianizar Ilias dan Mohd Zulfahmi Khairuddin - siapa bakal mengemudi cabaran Malaysia ke Kejuaraan Shell Advance Malaysian Motorcycle Grand Prix 2009?
SEPERTI hangatnya cuaca tengah hari di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Rabu lalu, begitulah ‘bahang’ yang dirasai antara dua pelumba berbakat, Elly Idzlianizar Ilias, 25, dan Mohd Zulfahmi Khairuddin, 18.
Bukan enteng misi yang digalas dua anak muda ini. Elly Idzlianizar dan Mohd Zulfahmi masing-masing berdebar menanti lusa bagi menentukan siapa yang bakal terpilih bersaing pada Kejuaraan Shell Advance Malaysian Motorcycle Grand Prix 2009 di SIC yang akan menggegarkan SIC pada 23 Oktober ini.
Lusa adalah hari penentu mereka...
Beradu dalam kelas 125cc atas tiket wildcard, cabaran digalas Elly Idzlianizar atau Mohd Zulfahmi sekiranya terpilih kelak, pastinya bagai memikul harapan lebih 27 juta rakyat Malaysia dalam perlumbaan GP yang berprestij itu.
Biarpun tempoh latihan bagi memantapkan kedudukan dalam arena MotoGP tempatan tidak panjang sebelum muncul di Sepang, ia bukan penghalang bagi Elly Idzlianizar dan Mohd Zulfahmi membuktikan mereka mampu bersaing bersama kelompok penunggang GP terbaik dunia.
Sisipan XY - Ikon Lelaki yang menjadi antara media tempatan terpilih mendekati dua anak muda ini, turut merasai semangat dan keghairahan mereka bersaing serta mengejar status pelumba antarabangsa.
“Memang berbeza jika hendak dibandingkan kepakaran dan pengalaman pelumba antarabangsa yang lain. Ini kerana kami baru lima bulan bertatih dalam arena MotoGP.
“Konsep pemanduan dan teknologi motosikal ini jauh berbeza jika dibandingkan dengan kejuaraan cub prix tempatan. Ini antara cabaran yang terpaksa kami lalui dalam tempoh singkat untuk memahirkan diri mengendalikan motosikal berkuasa Aprilia 125cc,” kata Elly Idzlianizar.
Pendapat itu disokong Mohd Zulfahmi yang berazam memberi persembahan terbaik jika terpilih sebagai calon tunggal peserta wildcard ke perlumbaan itu.
“Semuanya bagai mimpi untuk sampai ke tahap ini. Bayangkan, dulu saya sukar menempa nama dalam arena permotoran tempatan. Tidak sangka, pada usia 18 tahun, saya berpeluang berlatih dalam kelompok pasukan ternama dengan teknologi luar biasa,” kata Mohd Zulfahmi.
Dipilih dari kumpulan 16 pelumba yang menempuhi peringkat saringan dalam program Malaysian Wildcard, ternyata inisiatif dijayakan SIC; Motorsports Association of Malaysia (MAM); Automobile Association Malaysia (AAM); Two Wheels Motor Racing (TWMR),;Moto Millia dan Hong Leong Yamaha menjadi platform terbaik melahirkan pelumba GP kelas dunia.
Ayuh jagoan muda, buktikan kemampuan di litar MotoGP!
Pertamanya, apa pandangan anda berdua mengenai program Malaysian Wildcard ini?
Elly : Sebenarnya, tidak mudah menempatkan diri hingga ke tahap sekarang. Ini kerana semua 16 peserta yang terpilih bersaing di program Malaysian Wildcard bukan calang-calang pelumba. Sejak awal lagi, saya bertekad melangkah ke tahap tertinggi biarpun ujian bukan sekadar catatan masa, sebaliknya membabitkan aspek kecergasan, prestasi semasa dan latihan fizikal.
Zulfahmi : Terus terang, selama lima bulan kebelakangan ini, saya memperoleh banyak pengalaman baru. Ini terutamanya dalam membina prestasi meningkatkan gaya tunggangan. Saya anggap diri bertuah sampai ke tahap ini.
Bagaimana dengan persiapan kamu berdua?
Elly : Saya banyak menumpukan perhatian kepada latihan fizikal terutama di bahagian pinggang ke atas. Ini kerana jentera motosikal jenis Aprilia ini tidak sama dengan motosikal yang digunakan dalam Kejohanan CubPrix dan Asia Cup. Saya banyak memperbaiki kelemahan bagi memastikan badan sentiasa cergas sepanjang perlumbaan.
Zulfahmi : Faktor pemakanan dan kecergasan antara yang diberi tumpuan sepanjang program ini. Kami harus mengikuti jadual latihan dan pemakanan seperti diatur. Saya tidak boleh makan sebarangan dan latihan pula harus berpandu kepada jurulatih bertauliah.
Anda bersaing sesama sendiri. Apa pandangan kamu antara satu sama lain?
Elly : Apa yang saya boleh katakan, Zulfahmi mendapat pendedahan lebih awal pada usia masih muda. Sedangkan, saya mula meniti pengalaman sama pada 2002 ketika usia 19 tahun. Pada usia masih muda, Zulfahmi sudah mendapat pendedahan hingga ke tahap ini.
Zulfahmi : Elly tidak saja bersandarkan prestasi hebat, sebaliknya beliau juga menjadi antara penunggang berpengalaman. Elly sudah memasuki arena ini selama lebih tujuh tahun sedangkan saya baru dua tahun. Elly juga mendapat pendedahan di peringkat Asia dan memperoleh kejayaan membanggakan.
Dilihat, hanya enam lima bulan anda mendapat pendedahan dalam kejuaraan MotoGP. Apa komen anda mengenai jentera motosikal berkuasa tinggi ini?
Elly : Bukan mudah untuk kami bersaing dengan pelumba berpengalaman dan menyesuaikan diri dengan jentera motosikal baru dalam tempoh singkat. Selain sensitif dalam apa saja keadaan, motosikal jenis Aprilia memiliki ciri-ciri berbeza. Namun, saya gembira dengan kelajuan dan prestasinya.
Zulfahmi : Kekok juga ketika mula-mula menunggang motosikal ini. Mengapa tidak, banyak perbezaan terutama dari aspek suspensi, pengendalian dan sewaktu melalui mengambil selekoh. Setiap pergerakan pelumba dapat direkod dalam komputer. Ini membuktikan kemajuan dan kelebihan dalam mengukur tahap pemanduan pelumba.
Bagaimana dengan corak latihan dalam mempersiapkan diri sebagai pelumba negara?
Elly : Bentuk latihan kami memang ketat dan berjadual sejak terpilih dalam program Malaysian Wildcard. Rutin latihan membabitkan empat pusingan selama sejam setiap hari.
Zulfahmi : Andai tidak terbabit dengan latihan di trek lumba, kami perlu ke gimnasium bagi latihan kecergasan. Latihan akan berlangsung sepanjang hari dari pagi hingga petang. Pada masa sama, aspek pemakanan juga diberi perhatian bagi memastikan kami cergas dan berada dalam prestasi terbaik.
Andai anda terpilih mewakili Malaysia ke Kejuaraan Shell Advance Malaysian Motorcycle Grand Prix 2009, apa tekad dan cabaran yang hendak dibuktikan kepada rakyat negara ini?
Elly : Tidak saja berazam, saya membulatkan tekad untuk berjuang sebaik mungkin demi mengutip mata perlumbaan. Andai berjaya menamatkan perlumbaan dan mendapat mata untuk pasukan negara, ini sudah dianggap baik.
Zulfahmi : Harus difahami, kami hanya mendapat pendedahan lima bulan dalam perlumbaan besar seperti ini. Namun, saya berharap sekurang-kurangnya menduduki rank kumpulan 20 pelumba terbaik daripada 32 pelumba yang bersaing kelak.
Pernah jadi juru wayar
LALUAN Elly Idzlianizar untuk bergelar pelumba motosikal profesional tidak semudah disangka. Jika kebanyakan pelumba menyertai dunia sukan permotoran pada usia seawal 14 tahun, beliau hanya mengenal litar perlumbaan pada usia yang menghampiri 20 tahun.
Kata anak muda berbakat besar ini, faktor kewangan menjadi punca beliau tidak dapat mendalami dunia permotoran lebih awal.
“Saya bukan datang daripada keluarga berada. Saya perlu bekerja mencari pendapatan untuk memiliki motosikal.
“Berkat kerja sebagai juru wayar elektrik, saya bersyukur berjaya akhirnya merealisasikan impian memiliki sebuah motosikal... Itulah detik awal saya dalam kancah permotoran tempatan,” katanya yang membuat kemunculan awal di pentas kejuaraan AAM Malaysian Cub Prix pada 2002.
Berdikit menuai pengalaman, Elly Idzlianizar mula melakar beberapa siri kejayaan hingga pantas mencuri tumpuan serta tajaan beberapa pihak.
Bukan saja cemerlang dalam beberapa siri kejuaraan, anak muda kelahiran Kangar, Perlis ini juga berpeluang mengembangkan bakat hingga menyertai perlumbaan peringkat Asia.
“Saya berpeluang beraksi di Asia Race pada 2006 dan muncul pemenang tempat kedua keseluruhan. Manakala pada tahun berikutnya, saya mencatat masa kedua terpantas dalam kejuaraan sama.
“Biarpun sedikit lewat memasuki kancah permotoran, saya percaya kepada kesungguhan dan minat mendalam yang membawa saya ke tahap ini,” katanya yang memasang angan-angan mencipta kejayaan seperti Valentino Rossi suatu hari kelak.
Ditanya realiti bergelar seorang pelumba motosikal, Elly Idzlianizar yang mengemudi kelas Expert dalam kejuaraan AAM Malaysian Cub Prix, mengakui sentiasa sibuk setiap kali tibanya musim kejuaraan cub prix tempatan.
“Sepanjang tempoh sembilan bulan, saya tidak mempunyai banyak masa bersama keluarga dan rakan-rakan. Namun, sebaik musim kejuaraan cub prix berakhir, saya manfaatkan tempoh tiga bulan untuk berehat bersama keluarga dan teman-teman,” katanya.
Profil:
Empat bulan selepas blog Najmi tidak beroperasi, Najmi kini lebih peka dan sensitif memuat naik gambar bagi mengelakkan ada pihak yang tersinggung.
BLOG sebenarnya memerlukan komitmen tinggi daripada seseorang blogger. Mereka juga perlu menerima hakikat bahawa mungkin bukan semua orang menyukai blog terbabit.
Begitulah situasi yang terpaksa dihadapi oleh blogger Mohd. Kamarul Najmi Othman, 25, apabila blog miliknya yang ditubuhkan dua tahun lalu berdepan dengan kesukaran.
Asalnya, blog mengenai bual bicara bola itu telah diusahakan bersama rakan baiknya ketika mengikuti pengajian di Korea.
"Kami ada dua blog ketika itu. Blog yang lagi satu telah menimbulkan ketidakpuasan hati beberapa pihak. Jadi kami telah diarahkan untuk menghentikan sementara kedua-dua blog tersebut.
"Ini bertujuan meredakan masalah yang berlaku sebelum ini," katanya yang tidak mahu mengulas lanjut berhubung insiden itu.
Namun, setelah empat bulan blog borakbola.net tidak beroperasi, Najmi berhadapan pula dengan situasi untuk mengembalikan semula peminat blognya.
Justeru itu, dia mula bertungkus-lumus memaparkan maklumat terkini berkaitan dunia bola dan menggunakan gimik yang bagus untuk menarik peminat.
Berkat kesungguhan yang mendalam, Najmi mampu menarik nafas lega kerana borakbola kembali bersinar seperti sediakala. Bagaimanapun, pengajaran lalu telah membuatkan remaja itu lebih berhati-hati.
Terutama dalam memuat naik gambar-gambar supaya tiada pihak yang tersinggung. Nampak senang tetapi itulah hakikat yang terpaksa ditelan oleh kesemua blogger. Semuanya supaya tidak menghasilkan karya yang hanya mengikut selera sendiri.
"Meskipun perkara yang terjadi itu sedikit remeh, tetapi saya fikir ia memberi kesan yang mendalam terhadap pengikut borakbola.net," ulasnya.
Semua pasukan
Disebabkan terlalu meminati sukan bola sepak, membuatkan Najmi tidak berputus asa untuk meneruskan penulisannya mengenai sukan yang mempunyai ramai peminat tidak mengira peringkat umur.
Dia yang meminati pasukan Liverpool bukan sekadar membuat ulasan berhubung pasukan itu semata-mata. Sebaliknya anda dapat melihat pelbagai paparan kategori mengenai pasukan lain. Sama ada antarabangsa mahupun tempatan.
"Saya akan muatkan semua berita mengenai bola kerana saya juga mengikuti perkembangan bola sepak tempatan. Inilah yang saya ingin terapkan dalam konsep borakbola," katanya.
Menurut kakitangan swasta itu lagi, antara pautan yang menjadi perhatian para peminatnya ialah keputusan terbaru perlawanan bola sepak.
Ini bermakna dia perlu mengemaskini sebarang keputusan dari semasa ke semasa supaya tidak ketinggalan.
Selain itu, Najmi juga menjadikan laman web bola sepak terkenal iaitu Soccernet sebagai rujukan utama. Selain memantau blog-blog lain yang berkaitan dengan borakbola.
"Saya pantau blog lain untuk dijadikan bahan rujukan dan mencari kelainan. Matlamat saya ialah tidak mahu apa yang saya keluarkan di dalam borakbola sudah ada di blog lain.
"Melainkan ada isu-isu besar yang mana kesemua blogger akan membincangkan hal tersebut," jelasnya.
Sementara itu, kesuntukan waktu kerja membuatkan Najmi perlu bijak mencuri masa untuk mengendalikan blognya itu dengan memasukkan sekurang-kurangnya satu maklumat sehari.
Dia menyifatkan malam sebagai waktu yang terbaik untuk mengulas blog itu dengan memperuntukkan masa sekurang-kurangnya sejam. Mengenai hiasan blognya pula, Najmi lebih suka memilih warna hitam untuk menyerikan borakbola.
Di samping itu, gambar-gambar yang dimuatkan juga mestilah berkualiti. Misalnya gambar cara tendangan bola oleh para pemain atau jaringan gol yang mencuri hati penonton.
Bagaimanapun, dia tidak menafikan dengan memaparkan gambar sahaja tidak mendatangkan maklum balas yang memuaskan. Ini kerana peminatnya lebih berminat untuk menonton video.
"Setelah membuat kajian, video lebih berkesan berbanding gambar. Ini kerana peminat biasanya lebih suka menonton video kerana ia lebih menarik. Pada masa sama mereka boleh pelajari teknik sepakan bola," jelasnya.
Aksesori
Lelaki berkaca mata itu juga tidak lupa untuk mengetengahkan maklumat terkini berhubung jersi terbaru pasukan bola. Najmi melihat ia wajar kerana jersi merupakan antara aksesori yang sentiasa mendapat perhatian peminat bola.
"Jersi memang mendapat sambutan hangat tidak kira harganya murah atau mahal," katanya ringkas.
Bukan hanya jersi sahaja, peminat juga boleh mengetahui maklumat terkini mengenai keluaran kasut bola yang terbaru. Permainan video juga boleh dimuatkan, lengkap bersama huraiannya seperti Football Manager 2010 dan Championship Manager 2010.
sumber~kosmo
KEJUARAAN Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) kembali menggegar litar.
Selepas berehat hampir sebulan, Pusingan 5 kejuaraan itu beralih ke Litar Antarabangsa Zhuhai di China hujung minggu ini.
Pusingan 4 sebelum ini berlangsung di Litar Madras, India pada 4 hingga 6 September lalu.
Seperti biasa, buruan menduduki podium terus menjadi persaingan di kalangan pelumba bagi mengukuhkan kedudukan masing-masing dalam carta keseluruhan.
Saingan menarik pastinya bagi kategori utama iaitu SuperSports 600cc.
Selepas empat pusingan, dua pelumba Thailand menguasai dua tempat teratas dalam kedudukan keseluruhan.
Chalermpol Polamai mendahului dengan 165 mata diikuti rakannya, Decha Kraisat yang sudah mengutip 143 mata.
| |
| |
Pelumba terbaik negara bagi saingan Supersports 600c ini ialah Md. Zamri Baba di tempat ketiga, Ahmad Fuad Baharuddin (keempat) dan Azlan Shah (kelima).
Begitupun, peluang tiga pelumba negara ini untuk memintas kedudukan dua pelumba Thailand itu nampak sukar berdasarkan perbezaan mata.
Zamri kini meraih 118 mata, Ahmad Fuad (90) dan Azlan (84).
Berdasarkan perbezaan tersebut, kedudukan Chalermpol sebagai pendahulu memang sukar digugat kerana kejuaraan ini cuma tinggal satu pusingan sahaja lagi sebelum tirai musim 2009 dilabuhkan.
Andai dua pelumba Thailand itu gagal meraih sebarang mata pada Pusingan 5, kedudukan mereka sebagai pendahulu tidak terancam.
Atas kertas, pelumba Malaysia khususnya Zamri boleh memikirkan sasaran untuk menamatkan saingan musim ini di tempat kedua keseluruhan, dengan syarat dia tampil hebat di Zhuhai hujung minggu ini.
Fuad, antara pelumba paling senior dan berpengalaman dalam kejuaraan ini mungkin mendapati sukar berdasarkan pada jumlah mata yang dikutipnya setakat ini.
Bagi kategori Underbone 115cc, peluang untuk bergelar juara terbuka luas kepada semua pelumba.
Kedudukan pelumba Malaysia, Affendi Rosli yang kini mendahului carta keseluruhan dengan 99 mata nampak belum selamat.
| |
| |
Rakannya, Iskandar Raduan (gambar) yang berada di tempat kedua dengan 88 mata mampu mengatasi Affendi sekiranya menamatkan perlumbaan dengan keputusan cemerlang di Zhuhai kelak.
Fitriansyah Kete (78 mata) dari Indonesia juga antara pencabar yang mampu menggugat kedudukan dua pelumba Malaysia itu untuk bergelar juara keseluruhan.
Bagi Iskandar, dia berazam untuk terus memburu mahkota kejuaraan.
Menurut pelumba berusia 24 tahun itu, perlumbaan di Zhuhai hujung minggu ini akan menjadi penentu terhadap sasarannya musim ini.
"Saya mahu menjejaki podium seperti mana yang saya lakukan pada Pusingan 4 di Madras, India sebelum ini," katanya.
Pada perlumbaan di Madras, Iskandar menduduki tempat kelima pada perlumbaan 1 dan selepas itu muncul juara pada perlumbaan 2.
Rakan sepasukan Iskandar, Hafizh Syahrin Abdullah turut dilihat memiliki keupayaan untuk mencabar kedudukan tiga pelumba teratas.
Hafizh kini menduduki tempat keempat dengan 72 mata selepas mengharungi perlumbaan di Madras dengan keputusan cemerlang.
"Kejayaan di India telah menghidupkan semula peluang saya untuk terus memberi cabaran," kata pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Raceline itu.
sumber~kosmo
LONDON – Tahap kesabaran pengurus Manchester United, Alex Ferguson sekali lagi bakal uji.
Kali ini, dia akan berdepan dengan pengadil yang sering memberikannya kedukaan apabila United menyambung aksi Liga Perdana England minggu ini.
Mark Clattenburg yang sering menimbulkan kemarahan Ferguson akan ditugaskan sebagai pengadil ketika United menentang Bolton Wanderers di Old Trafford Sabtu ini.
Seorang bekas pengadil berkata, pemilihan Clattenburg itu sebagai percubaan untuk mengenakan Ferguson di atas tindakannya menyelar tahap kecergasan pengadil, Alan Wiley sebelum ini.
“Clattenburg akan mengadili perlawanan di Old Trafford? Satu tindakan bijak.
“Saya pasti mereka (Persatuan Bola Sepak England) melakukannya dengan tujuan untuk mengenakan Ferguson berikutan layanan buruknya terhadap Wiley,” kata bekas pengadil antarabangsa itu.
Ferguson yang ketika ini berdepan hukuman atas tindakannya menyerang peribadi Wiley pernah dikenakan penggantungan dua perlawanan dan denda £5,000 (RM27,006) selepas mengeluarkan kata-kata kesat kepada Clattenburg pada November 2007.
Ferguson juga pernah mengutuk Clattenburg selepas pengadil itu melayangkan tujuh kad kuning kepada pemain United ketika bertemu Tottenham Hotspur pada Februari tahun lalu.
Ekoran tindakan Ferguson itu, United turut didenda £25,000 (RM135,092).
“Kamu sentiasa untuk cuba berada di posisi yang terbaik bagi membuat keputusan. Lupakan tentang isu kecergasan Wiley kerana jika kamu lihat semula keputusan yang dibuat olehnya, ia sentiasa tidak ada cacat cela,” kata Clattenburg. – Agensi
sumber~kosmo
MALU besar sekiranya Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) tidak menghantar penyertaan dalam acara 100 meter pada Sukan SEA di Laos penghujung tahun ini.
Ia adalah acara terbesar dalam sukan olahraga dan andai tiada atlet negara beraksi, ia akan menjejaskan reputasi Malaysia sebagai gergasi sukan olahraga di pentas Asia Tenggara.
Ia juga boleh membawa gambaran kelemahan KOAM dan negara yang kurang tumpuan dalam melahirkan pelari-pelari muda berbakat.
Begitupun, Timbalan Presiden KOAM, Karim Ibrahim menafikan dakwaan tersebut.
“Kami tetap hantar atlet untuk acara tersebut walaupun hanya seorang.”
Menurutnya, kegagalan menghantar atlet dalam acara berprestij itu bukan sahaja memalukan kontinjen negara, malah ia satu keputusan yang sukar diterima.
“Sekurang-kurangnya kita akan hantar seorang atlet dalam acara 100m dan kalau boleh, kita memang mahu dua orang wakil seperti yang dilakukan pada temasya lalu,” jelas Karim.
Namun, berdasarkan prestasi semasa, Karim tidak menolak kemungkinan ‘tiket Sukan SEA’ itu bakal diberikan kepada atlet pelapis negara, Mohd. Idris Zakaria.
Untuk rekod, atlet kelahiran Kemaman, Terengganu berusia 21 tahun itu mempunyai masa peribadi terbaik tahun ini iaitu 10.58 saat yang dilakukan pada Terbuka Taiwan.
Satu lagi tempat berkemungkinan diisi pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2007 di Korat, Noor Imran A Hadi yang mempunyai catatan peribadi terbaik 10.70s.
Turut mengintai peluang untuk beraksi di Sukan SEA ialah pemenang emas Sukan Malaysia (Sukma) 2008, Mohd. Zabidi Ghazali (10.59s), Syed Aliff Syed Noh (10.61), Ariff Naim Jeffery (10.74s), Mohd. Latif Nyat (10.76s) dan S. Kannan (10.83s).
Dalam acara wanita, dua tempat bakal menjadi milik Norjannah Hafiszah yang mempunyai masa terbaik 11.86s dan Nurul Sarah Abd. Karim (11.8s).
Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas acara 100m pada Sukan SEA adalah menerusi Nazmizan Muhammad pada tahun 2003 di Vietnam.
sumber~kosmo
Vinod, Inarah dan Aqeel merupakan sebahagian daripada generasi pelapis sukan hoki ais yang mahir. Apakah yang membuatkan mereka cukup teruja menyertai sukan tersebut?
NAFAS panjang dihela beberapa detik. Keringat yang semakin banyak merenik di wajah dibiarkan. Suasana sejuk yang dibiaskan di lantai luncur ais di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor itu tidak lagi dipedulikan oleh tiga kanak-kanak kecil itu.
Seluruh tenaga telah disalurkan untuk menggerakkan badan dan menghayun kayu pemukul hoki ais dalam sesi latihan yang berlangsung sejak satu jam lalu.
Vinod Raj, 7, Inarah Sofiya Haniff, 11, dan Mohd. Aqeel Noor Hisham, 9 yang kian mahir dalam sukan hoki ais itu nampak cukup licik, tangkas dan berani.
Biarpun berlatih dalam keluasan terhad bersama pemain-pemain yang berpengalaman, Vinod, Inarah dan Aqeel bijak mencuri ruang. Malah, kadangkala mereka mampu menyaingi pemain yang lebih berusia untuk mendapatkan puck (cakera getah hoki ais).
Pengalaman
Melihat kemahiran mereka, bukan mengejutkan jika ketiga-tiga pemain cilik itu pernah disenaraikan dalam pasukan kanak-kanak hoki ais Malaysia untuk bersaing dengan pasukan hoki ais luar negara.
Antara negara yang pernah dikunjungi ketiga-tiga pelajar tersebut untuk acara pertandingan ialah Singapura, Hongkong dan China. Biarpun tidak pernah mengungguli takhta juara, namun pengalaman yang mereka timba amat bermakna.
Bukan mudah untuk mereka bermain hoki ais. Mereka bukan sahaja perlu menyeimbangkan badan di lantai ais yang licin, sebaliknya perlu mengawal cakera getah agar ia tidak jatuh ke tangan pihak lawan dan menjaringkan gol.
Melihat ketiga-tiga kanak-kanak itu bermain hoki ais, pasti ada yang menganggap mereka telah lama bermain permainan yang berasal dari Kanada itu.
Sedangkan ada antara pelajar sekolah rendah itu bermain kurang daripada setahun.
Siapa tahu dengan minat dan komitmen yang ditunjukkan oleh mereka tidak mustahil ketiga-tiganya boleh menjadi pemain hoki ais handalan pada masa akan datang.
"Impian saya satu hari nanti dapat melanjutkan pelajaran ke Kanada. Di sana, bolehlah saya memantapkan lagi teknik dan gaya pemainan untuk menjadi antara pemain hoki ais terbaik dunia," kata Aqeel tanpa berselindung.
Semangat
Celah ibunya, Watie Mohd., 46, walaupun anaknya kurang sihat dia tetap bersemangat menjalani latihan hoki ais dua kali seminggu.
"Melihatkan semangat dan minat yang mendalam pada diri Aqeel, saya dan suami, Noor Hisham Yahaya, tidak kisah menempuh perjalanan jauh dari rumah di Port Dickson, ke Petaling Jaya untuk sesi latihan," cerita Watie tentang anak bongsunya itu.
Aqeel yang mahir bermain luncur ais sejak kecil mengakui minatnya terhadap hoki ais muncul tatkala mengikut ibunya membeli-belah di Sunway Pyramid.
"Tiada yang lebih menyeronokkan apabila bermain hoki ais bersama rakan sepasukan. Ia memberi keyakinan dalam diri saya untuk terus mencipta nama dalam sukan ini," kata Aqeel yang gembira kerana memperoleh pengalaman bermain dan berkawan dengan ramai pemain asing.
Paling muda
Bagi Vinod pula, walaupun pernah tercedera di dahi semasa meluncur ais, ia tidak mematahkan semangat peserta paling muda itu untuk menyertai sukan lasak hoki ais pula.
"Walaupun sukan hoki ais ini kelihatan lasak apabila pemainnya kerap bertembung sesama sendiri dan kadangkala mereka terjatuh, kelengkapan yang mereka pakai seperti topi, pelindung tangan dan kaki menyebabkan mereka tidak cedera," kata bapa Vinod, S. Sundram, 38 kepada Kosmo! ketika ditemui sebelum sesi latihan di Sunway Pyramid.
"Saya sukakan cabaran. Bermain hoki ais bukan mudah, ia memerlukan kemahiran tinggi untuk mengawal cakera getah pada selekoh tajam," celah Vinod.
Galakan
Sementara itu, bagi Inarah pula, minatnya terhadap hoki ais muncul selepas diberi pendedahan dan galakan daripada ayahnya, Haniff Datuk Mahmood yang merupakan Timbalan Presiden Persatuan Hoki Ais Malaysia (MIHF).
Pelajar Sekolah Rendah (SK) Cempaka, Damansara itu memberitahu, dia sering mengikut ayahnya bermain hoki ais. Secara tidak langsung minat bermain hoki ais mula timbul.
Walaupun sukan itu agak kasar untuk seorang gadis remaja menceburinya, Inarah tidak merasa begitu sebaliknya amat menggemari sukan tersebut.
Banyak teknik yang telah dikuasai Inarah. Antaranya ialah cara-cara mengawal cakera getah hoki ais, sama ada menyambut atau menghantar cakera getah pada pasukannya.
Selain itu, Inarah juga cekap bermain luncur ais yang memerlukannya berhenti secara mengejut, membuat pusingan, meluncur sambil mengejar lawan dan berundur.
sumber~kosmo