Followers

Showing posts with label info maklumat. Show all posts
Showing posts with label info maklumat. Show all posts

Wednesday, September 15, 2010

Keluarga Sosilawati mahu tulang, cebisan mayat mangsa diperiksa sekali lagi di luar negara

SATINAH meninggalkan pekarangan Hospital Kuala Lumpur  selepas menjalani ujian DNA di sini, semalam.
SATINAH meninggalkan pekarangan Hospital Kuala Lumpur selepas menjalani ujian DNA di sini, semalam.
Keluarga Sosilawati mahu tulang, cebisan mayat mangsa diperiksa sekali lagi di luar negara

BATU PAHAT: Keluarga Datuk Sosilawati Lawiya akan menghantar tulang dan cebisan mayat yang diperoleh daripada polis ke luar negara bagi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) kedua bagi memastikan ia benar-benar milik ahli perniagaan itu.

Adik kepada jutawan kosmetik itu, Masturi Lawiya, 42, berkata ia bukan bagi menyangkal ujian dibuat pihak berkuasa negara ini, sebaliknya lebih kepada mendapatkan pendapat kedua.
“Kami kami masih menunggu keputusan ujian itu, bagaimanapun kami tidak putus berdoa dan mengharapkan keajaiban berlaku jika Kak Wati masih lagi hidup.

“Walaupun selepas ini jika ujian itu positif mengesahkan cebisan serta apa jua yang ditemui milik Kak Wati, kami sekeluarga mahu ujian kedua di luar negara sama ada di Singapura atau Thailand,” katanya ketika ditemui di Surau Al-Hidayah Kampung Sri Menanti di sini, semalam.

Masturi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasil ujian DNA yang masih belum dikeluarkan polis sejak penemuan lokasi pembunuhan empat mangsa itu.

“Kami yakin Kak Wati masih hidup dan selamat dan dia mungkin disembunyikan di satu lokasi lain,” katanya.
Sementara itu, kira-kira 100 penduduk kampung berkenaan mengadakan solat jenazah ghaib dan doa selamat di surau berkenaan sebagai tanda penghormatan terakhir kepada Sosilawati yang disifatkan penduduk kampung sebagai dermawan sejati.

Di KUALA LUMPUR, ibu kepada pemandu peribadi Sosilawati, Kamaruddin Shansuddin, 44, dan ibu perunding kewangan peribadi CIMB, Noorhisham Mohamad, 38, menyerahkan sampel darah masing-masing di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk ujian DNA, semalam.

Ibu Kamaruddin, Zainab Ahmad, 73, berada di HKL kira-kira jam 2.30 petang selepas menghadiri majlis tahlil di rumah Sosilawati di Gombak, pada sebelah pagi.

Ibu Noorhisham, Satinah Mokhtar, 50-an, pula berbuat demikian kira-kira jam 12 tengah hari.

Kakak Kamaruddin, Ramlah, 49, berkata ibunya dihubungi Polis Bukit Aman untuk menyerahkan sampel darah di HKL untuk tujuan pengecaman.

Beliau berkata, sebelum itu, ibunya dan beberapa ahli keluarga menemani anak saudaranya, Khairul Izuan Ismail, 29, memberi keterangan di Balai Polis Dang Wangi.

Khairul Izuan, diminta memberi keterangan bagi membantu siasatan berikutan dia individu terakhir dihubungi Kamaruddin kira-kira jam 5 petang, 30 Ogos lalu.

“Kama (Kamaruddin) memberitahu Khairul Izuan ada urusan di Banting dan meminta menelefonnya semula sebelah malam. Bagaimanapun, Khairul Izuan hanya menelefonnya pagi Selasa tetapi gagal,” katanya.

Adik Noorhisham dikenali sebagai Azlan ketika dihubungi mengesahkan menghantar ibunya, Satinah ke HKL untuk menyerahkan sampel darah dan sebelum itu membawanya ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi apabila dipanggil untuk memberi keterangan.

sumber~Berita Harian

Kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya- Keluarga peguam peribadi Datuk Sosilawati Lawiya tak mahu keluar kenyataan

SEREMBAN: Keluarga peguam peribadi Datuk Sosilawati Lawiya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, meminta semua pihak menghormati keputusan mereka yang tidak mahu memberikan sebarang kenyataan kepada media berhubung isu itu.

Jurucakap keluarga berkenaan yang enggan dikenali, berkata mana-mana ahli keluarga pun tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Kami sekeluarga sudah membuat keputusan mengenai perkara ini dan meminta semua pihak menghormatinya,” katanya yang juga abang kepada Ahmad Kamil, ketika ditemui di sini, semalam.
Ahmad Kamil dipercayai dibunuh bersama Sosilawati, 47, dan pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44, serta pegawai CIMB Bank cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, 30 Ogos lalu.

sumber~Berita Harian



Saturday, July 3, 2010

KD Tun Razak tiba di tanah air

KD Tun Razak tiba di tanah air


Kapal selam KD Tun Razak tiba di Pangkalan TLDM, Lumut, Perak semalam.


LUMUT - Selepas mengharungi pelayaran selama 64 hari melibatkan jarak 13,488 kilometer, kapal selam kedua negara, KD Tun Razak selamat tiba di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini tepat pukul 4.45 petang semalam.
Lebih manis ketibaan kapal selam itu turut diiringi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad dan Panglima TLDM, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.
Baginda yang juga Kapten Kehormat TLDM berangkat menyertai pelayaran kapal selam yang ditauliahkan secara rasmi pada 5 November 2009 lalu di Pangkalan Tentera Laut Sepanyol, Cartagena itu bermula di Pulau Langkawi pada sebelah pagi.
Sambutan rasmi ketibaan KD Tun Razak diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.

sumber~kosmo

Thursday, November 5, 2009

*Fakta Menarik*


1.Seekor penguin mampu berenang dalam kelajuan 15 batu per jam.. laju sungguh...hehe



* Kebanyakan kucing akan terselamat walaupun terjatuh daripada ketinggian 30 kaki....

* Seekor kala jengking blh mempunyai sehingga 12 mata.....





*seekor zirafah mampu hidup lebih lama tanpa air berbanding unta...

Monday, November 2, 2009

Juruterbang melayang


Juruterbang melayang akibat salah tekan


SEORANG juruterbang melantun selepas kerusi anjalnya diaktifkan. - Gambar hiasan


CAPE TOWN - Seorang juruterbang amatur nyaris maut setelah dia melantun 100 meter ke udara akibat tersilap menarik picu kecemasan pada kerusi juruterbang pesawat yang dipandunya, lapor sebuah akhbar semalam.

Beberapa pakar penerbangan memberitahu, lelaki tersebut yang dirahsiakan identitinya bernasib baik kerana tidak cedera dalam satu insiden pada Rabu lepas di Afrika Selatan.

Nahas berlaku apabila juruterbang itu tersilap menghidupkan fungsi kecemasan kerusi juruterbang ketika melakukan satu aksi aerobatik di sini sekali gus menyebabkan cermin kokpit tercabut dan dia dihumban ke udara.

Pesawat yang dikendalikannya, Pilatus PC-7 Mk II dilengkapi kerusi jet bagi membolehkan juruterbang dan penumpang dihumban keluar sekiranya berlaku kecemasan.

Lelaki itu kemudian selamat mendarat di lapangan terbang kecil Langebaanweg, 128 kilometer ke utara Cape Town setelah payung terjun yang dipakainya terbuka secara automatik. - Agensi

sumber~kosmo

Friday, October 23, 2009

Kapal perang terlaju di dunia




GAMBAR yang disediakan oleh Tentera Laut AS menunjukkan kapal LCS 2 Independence meluncur di atas laut semasa diuji oleh pembinanya pada 12 Julai lalu. Ia merupakan kapal perang paling pantas dengan kelajuan maksimum 45 knots atau kira-kira 87 kilometer sejam. - AP


BATH , Maine 23 Okt. - Keperluan tentera laut Amerika Syarikat (AS) untuk memiliki kapal perang laju bakal dipenuhi oleh dua buah kapal yang telah mencapai kelajuan seperti kenderaan di lebuh raya semasa menjalani ujian di laut.

Kapal Independence itu boleh mencapai kelajuan maksimum 45 knots atau kira-kira 87 kilometer sejam dan kelajuan 44 knots (85 kilometer sejam) secara berterusan selama empat jam semasa menjalani ujian pembina kapal yang berakhir pada bulan ini dekat Pantai Teluk Mexico.

Kapal Freedom yang sepanjang 115 meter dan dibina oleh kontraktor pertahanan berasingan, juga didapati telah mencapai kelajuan serupa.

Kedua-dua versi yang dikenali sebagai Littoral Combat Ship (Kapal Tempur Pesisir) itu menggunakan enjin diesel berkuasa tinggi dengan bantuan turbin gas untuk bergerak lebih laju.

Kapal-kapal tersebut menggunakan jet-jet air boleh kemudi bagi menggantikan kipas dan kemudi, selain mampu mengharungi perairan lebih cetek berbanding kapal perang biasa, membolehkannya belayar lebih hampir dengan pantai dan memburu lanun dengan lebih berkesan.

Pembinaannya telah dipercepat kerana tentera laut mahu kapal yang boleh beroperasi di kawasan pesisir.

Freedom dijangka mula beroperasi tahun depan, dua tahun lebih awal daripada jadual.

Independence ialah kapal perang berbadan aluminium yang dibina oleh Austal USA di Mobile, Alabama. Kontraktor utama ialah anak syarikat General Dynamics, Bath Iron Works di Maine.

Lockheed Martin Corp pula mengetuai pasukan yang membina Freedom di Marinette, Wisconsin. Ia nampak seperti kapal perang konvensional dengan badan diperbuat daripada keluli.

Kedua-dua pasukan bersaing untuk membolot kontrak lumayan kerana tentera laut merancang untuk memilih sama ada Lockheed Martin atau General Dynamics sebagai pembina, bukan kedua-duanya.

Tentera laut lambat laun merancang untuk memiliki 55 kapal perang laju seumpamanya. -

Thursday, October 22, 2009

Paus biru terdampar di pantai California setelah dilanggar kapal



PAUS biru sepanjang 21 meter terdampar di perairan pantai utara California, kelmarin berdekatan Fort Bragg, California. Mamalia laut itu mengalami kecederaan besar pada belakang badannya dipercayai dilanggar kapal. - AP


SAN FRANCISCO 22 Okt. - Seekor paus biru betina sepanjang 21 meter yang dipercayai dilanggar kapal dan terdampar di perairan pantai utara California, dianggap oleh para saintis sebagai perkara yang jarang-jarang berlaku.

Ahli biologi hidupan liar perkhidmatan perikanan laut, Agensi Pentadbiran Laut dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA), Joe Cordaro berkata, paus itu mulanya dikesan di pantai berdekatan Fort Bragg di wilayah Mendocino malam Isnin, beberapa jam selepas sebuah kapal kajian laut dilaporkan terlanggar seekor paus pada jarak beberapa kilometer.

Paus biru adalah mamalia terbesar dunia.

Universiti Negeri California memeriksa badan paus yang terdampar di sebuah teluk berbatu itu.

"Saya sangat bersemangat dapat melihat sendiri haiwan tersebut," kata pensyarah kajian mamalia, Thor Holmes. Dia pernah memeriksa banyak spesies paus tetapi tidak pernah bertemu dengan paus biru.

"Terdapat dua luka yang dalam dan teruk pada bahagian belakang paus itu, yang mana sekurang-kurangnya satu luka yang cukup dalam untuk menembusi sehingga tulang belakang.

"Selain itu ia berada dalam keadaan yang sihat," kata Holmes.

Amat luar biasa untuk paus biru terdampar di pantai, kata Cordaro.

Minggu lepas, seekor paus biru yang lain terdampar di wilayah Monterey selepas dilanggar sebuah kapal.

Sebelum itu, kali terakhir paus biru terdampar pada pantai California ialah pada 2007.

"Paus itu biasanya berada jauh di tengah lautan memandangkan ia adalah haiwan laut dalam," kata Cordaro.

Walaupun paus biru adalah haiwan terancam, pakar berkata bilangan mereka kini telah bertambah sebanyak beberapa ribu.

Sesetengah paus biru mendapatkan makanan di kawasan perairan California Tengah dan Utara, sekitar waktu ini setiap tahun sebelum berhijrah ke tempat lain untuk membiak, kata Profesor Madya Zoologi di kampus Humboldt, Dawn Goley.

Pengkaji telah mendapatkan sampel kulit dan lemak haiwan berkenaan untuk melihat jenis-jenis bahan cemar yang dihadapinya dan kumpulan populasi asalnya. - AP

sumber~utusan

Wednesday, October 21, 2009

Bulu tebal tumbuh pada kulit budak


FENGKAI, China - Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun mengejutkan doktor-doktor di China selepas tubuhnya ditumbuhi bulu tebal berwarna kelabu mirip bulu babi hutan, lapor sebuah akhbar semalam.

Kejadian aneh yang menimpa kanak-kanak itu, Li Xiaoyuan di Fengkai, selatan China bermula beberapa bulan lalu apabila bulu mula tumbuh pada tahi lalat di belakangnya sebelum merebak dengan pantas ke belakang tubuhnya, tangan, kaki dan wajah budak itu.

"Kami sekeluarga amat sedih melihat dia merana kerana kejadian aneh ini," kata ibunya, Li Jiang.

Pakar Bedah Hospital Kulit Bandar Raya Zhaoqing, Dr. Lou Zhongquan ketika diminta mengulas mengenai penyakit ganjil itu berkata, budak perempuan tersebut mungkin menghidap sejenis penyakit yang jarang berlaku.

Menurutnya, penyakit itu menyebabkan tahi lalat tumbuh secara tidak normal.

"Sekiranya, tahi lalat itu kecil dan sedikit, kami boleh merawatnya dengan menggunakan laser tetapi jika kami membuangnya menerusi pembedahan, pendarahan selepas pembedahan mungkin berlaku," katanya. - Agensi

Sumber~kosmo

Tuesday, October 20, 2009

Mati berebut kerbau



AZAHAN menunjukkan jari tangannya yang luka ketika cuba meleraikan pergaduhan antara bapanya dan jiran di Tanah Merah kelmarin. (KIRI)KERATAN Kosmo!21 Disember 2006.


KOTA BHARU - Hanya kerana seekor kerbau, seorang warga emas mati ditetak oleh seorang lelaki dengan sebilah sabit di Kampung Salak, Tanah Merah dekat sini kelmarin.

Sebelum kejadian pada pukul 10.15 pagi, mangsa, Mohamed Jusoh (gambar), 71, bersama dua orang anak dan seorang menantunya keluar mencari seekor kerbau yang baru dibeli seminggu lalu berdekatan kawasan paya di rumah mereka.

Bagaimanapun, sampai di kawasan paya itu, mangsa, anak-anak dan menantunya telah dihalang oleh seorang lelaki yang merupakan jiran mereka.

Jiran berusia 57 tahun itu mendakwa kerbau yang dicari oleh mangsa adalah miliknya.




Cerita seorang anak mangsa, Mohamad Azahan Mohamed, 27, tindakan lelaki itu telah mencetuskan pergaduhan antara bapanya dan jiran mereka.

"Ayah dan jiran masing-masing ada sabit dan mereka bertengkar mengenai kerbau itu.

"Kami yang berada bersama ayah cuba leraikan pergaduhan itu tetapi gagal," kata Azahan ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini semalam.

Malah, menurut Azahan, dia juga diserang oleh jirannya sehingga mengakibatkan jari tangan kanannya cedera.

"Lelaki itu terus mengganas dengan melibas-libaskan sabit yang terkena kepala ayah sebelum ayah rebah dan tidak sedarkan diri," katanya.

Monday, October 19, 2009

Pertandingan memancing

Aku telah masuk pertandingan memancing pada bulan sebelas ni.....ikan yg ada kat kolam tu..cuma ikan patin keli dan ada la beberapa jenis lagi.......menurut tuan punya kolam di situ ikan yg paling besar dalam kolam tu seberat 20KG.....Hadiah bagi pertandingan nanti ialah....Tempat pertama RM4000.00, tempat kedua RM2000.00, tempat ketiga RM1000.00...sesiapa yg ada pengalaman memancing ikan patin,keli dan bermacam jenis ikan air tawar la...kongsi la perngalaman sikit kat blog ni ok...dan umpan apa yg sesalu digunakan untuk memancing ikan patin dan keli.....tentu anda semua nk tahu di mana pertandingan tu kan ni nk beritahu...:

lokasi : kampung batu belacan,kuala ketil
tarikh : 29.11.2009 (Hari ahad)
Pendaftaran: RM50.00



Awas dunia tanpa sempadan



Tun Dr. Mahathir Mohamad melancarkan koleksi buku hasil karya Persatuan Alumni UiTM sambil diperhatikan oleh Mohd. Zin Mohamed (tengah) dan Profesor Dr. Ibrahim Abu Shah (kiri) pada majlis Wacana Intelek Ulung di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, semalam. - UTUSAN / SAIFUL BAHARI ASHARI


PUTRAJAYA 19 Okt. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan kerajaan dan rakyat negara ini supaya tidak terlalu ghairah dan mudah terpengaruh dengan konsep dunia tanpa sempadan yang diperkenalkan oleh Barat.

Katanya, ia adalah strategi halus kuasa dunia itu untuk menakluki negara-negara lain bukan melalui peperangan atau persengketaan, tetapi melalui ekonomi dan perdagangan.

Sambil memberi contoh konsep Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) misalnya, ia adalah satu perjanjian yang tidak memberi faedah yang besar kepada Malaysia.

''Negara Singapura yang merupakan negara pertama di rantau ini yang menandatangani perjanjian FTA dengan Amerika Syarikat mungkin tidak rugi apa-apa kerana negara itu mempunyai pelabuhan bebas cukai.

''Tapi jika FTA dijalankan di Malaysia, apa yang perlu kita korbankan?'' tanya beliau di hadapan kira-kira 200 hadirin pada majlis Wacana Intelek Ulung anjuran Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Dalam syarahannya yang bertajuk Strategi Memartabatkan Melayu di Dunia Tanpa Sempadan, Dr. Mahathir berkata: ''Kita kena faham betul-betul apa yang dikatakan dunia tanpa sempadan ini, kesan dan kebaikannya kepada negara supaya kita tidak terperangkap.

''Saya percaya ada udang di sebalik batu tentang konsep ini.

''Kalau kita terima bulat-bulat, mungkin kita boleh hilang kemerdekaan,'' katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya orang Melayu diperkukuhkan dalam semua bidang agar dapat membentuk nilai hidup yang mampu memartabatkan bangsa.

Salah satu daripadanya, jelas beliau, meningkatkan jati diri dengan mengamalkan budaya rajin bekerja supaya tidak mudah dipengaruhi gejala rasuah.

Selain itu, katanya, orang Melayu perlu memastikan kuasa politik tidak lemah supaya tidak hilang hak-hak keistimewaan.

"Seterusnya orang Melayu perlu berwaspada dengan sebarang idea yang datang dari luar termasuk berupaya menolak perkara-perkara yang boleh mendatangkan keburukan kepada kita," katanya.

Pada majlis itu, Dr. Mahathir turut melancarkan laman web Persatuan Alumni UiTM, www.uitmalumni.com dan buku-buku hasil karya persatuan berkenaan.

Persatuan ini yang sedang mengumpulkan ahlinya seramai kira-kira 350,000 orang di merata tempat, ditubuhkan baru-baru ini bagi membantu meningkatkan profesionalisme ahlinya serta menjaga kebajikan mereka.

Turut hadir pada majlis syarahan perdana itu ialah bekas wanita pertama negara, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Naib Canselor UiTM, Tan Sri Profesor Dr. Ibrahim Abu Shah dan Presiden Persatuan Alumni UiTM, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed.


sumber~utusan

Iran tingkat pengayaan uranium



GAMBAR satelit pada 26 September lalu yang disediakan oleh GeoEye menunjukkan kemudahan nuklear yang sedang dalam pembinaan di kawasan pergunungan terletak di utara Qom, Iran. - AP


TEHERAN 19 Okt. - Pertubuhan Tenaga Atom Iran hari ini berkata, pihaknya akan terus mengayakan uranium hingga ke tahap lima peratus atau 20 peratus lebih tinggi, sekiranya rundingan pihak ketiga berhubung pengayaan uranium menemui kegagalan.

"Republik Islam Iran... akan meneruskan aktiviti pengayaan di dalam Iran sehingga tahap lima peratus," agensi berita rasmi IRNA memetik jurucakap pertubuhan itu, Ali Shirzadian, sebagai berkata.

"Tetapi jika perjanjian itu tidak mencapai apa yang diinginkan, Iran akan mula mengayakan uranium sehingga tahap 20 peratus bagi reaktor Teheran. Ia tidak akan menyerah kalah kali ini," katanya.

Ulasan Shirzadian muncul ketika Iran bersedia menyertai perbincangan di Vienna hari ini pada pukul 3 petang (pukul 9 malam ini waktu Malaysia) bersama-sama wakil-wakil Perancis, Rusia, Amerika Syarikat (AS) dan jawatankuasa pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam satu usul untuk menggesa pihak ketiga supaya memproses uranium pengayaan rendah Iran ke tahap tulen 20 peratus seperti yang diminta oleh reaktor penyelidikan Tehran.

Shirzadian berkata, Iran akan memaklumkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bahawa ia memiliki kapasiti untuk mengayakan uranium sehingga tahap 20 peratus 'sekiranya diperlukan'.

Bagaimanapun, beliau berkata, 'secara ekonominya ia tidak mampu terlaksana' untuk mengayakan uranium pada ketulenan tahap itu di Iran, serta menambah kata bahawa perjanjian pengayaan pihak ketiga itu hanya satu 'ujian' untuk kuasa-kuasa dunia.

"Isu ini (perjanjian pihak ketiga) merupakan satu ujian kepada kuasa-kuasa Barat bagi menunjukkan sama ada mereka jujur atau tidak dalam komitmen mereka.

"AS, Rusia, Perancis dan beberapa negara lain telah mengumumkan kesediaan mereka dan kami tiada halangan untuk itu," katanya.

Selain itu, beliau turut menafikan laporan media yang menyatakan bahawa Iran akan menukar keseluruhan aktiviti pengayaannya ke luar negara. - AFP

sumber~utusan

Kanak-kanak jatuh apartmen terselamat



ANTIOCH, California 20 Okt. – Seorang kanak-kanak berusia 22 bulan dilaporkan masih bernyawa setelah jatuh dari tingkap apartmen rumahnya setinggi sembilan meter, kelmarin.

Jurucakap bomba daerah Contra Costa, Kapten Charles Thomas berkata, kanak-kanak itu jatuh di kawasan konkrit dan berbatu dari tingkat tiga kediamannya di Antioch.

Kanak-kanak itu bagaimanapun hanya mengalami luka di bahagian abdomen, paru-paru lebam dan benjol di kepala. – AP

Sunday, October 18, 2009

Helikopter polis ditembak jatuh


PEGAWAI-PEGAWAI polis memandangkan api daripada bangkai pesawat helikopter polis yang ditembak jatuh oleh sekumpulan pengedar dadah dalam pertempuran di setinggan Morro de Macacos di Rio de Janeiro, Brazil, kelmarin. - AP


RIO DE JANEIRO 18 Okt. – Sekumpulan pengedar dadah menembak jatuh sebuah helikopter polis dan membunuh dua pegawai dalam satu pertempuran dengan penjenayah, hanya dua minggu selepas bandar raya berkenaan dipilih sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 2016.

Sepuluh orang dipercayai pengedar dadah turut terbunuh bersama dua penduduk yang berada di tempat kejadian di kawasan setinggan paling padat, kata para pegawai.

Peluru yang bersimpang siur dari kumpulan Morro dos Macacos (digelar Monkey Hill dalam bahasa Portugis) di kawasan setinggan di selatan Rio de Janeiro itu mengena kaki juruterbang polis, menyebabkan helikopternya hilang kawalan lalu jatuh terhempas.

Akibatnya, dua pegawai terbunuh manakala juruterbang dan tiga anggota polis lain yang berada dalam pesawat tersebut terselamat dalam kejadian itu. Juruterbang dan pegawai kedua bagaimanapun parah terkena tembakan manakala dua pegawai lagi terbakar sebahagian anggota badan, kata ketua polis tentera negeri Rio.

Para pegawai bagaimanapun tidak pasti apakah helikopter berkenaan menjadi sasaran tembakan oleh kumpulan penjenayah atau ia terkena peluru sesat, tetapi pasukan keselamatan akan terus meningkatkan tahap keselamatan di bandar raya kedua terbesar Brazil itu.

Mereka berkata, sekurang-kurangnya lapan buah bas turut musnah terbakar di beberapa kawasan setinggan lain. Serangan senjata automatik yang diguna para penjenayah dalam serangan terburuk di bandar raya itu telah mendapat liputan televisyen hampir sebulan.

Polis Rio sering mengguna helikopter untuk menangani pengedar dadah yang mendominasi perniagaan dadah di bandar raya yang diduduki oleh lebih 1,000 kawasan setinggan, tetapi inilah kali pertama kejadian helikopter yang diguna menjadi sasaran kumpulan penjenayah.

Bandar raya berkenaan dipilih sebagai tuan rumah Sukan Olimpik pada 2 Oktober lalu, mengalahkan Chicago, Madrid dan Tokyo yang turut menawarkan diri sebagai tuan rumah temasya terbesar itu.

Presiden Brazil, Luiz Inacio Lila da Silva dan para pegawai lain telah menafikan ancaman keganasan terhadap temasya Olimpik, dengan mengatakan Rio telah berulang kali membuktikan ia berjaya menganjurkan acara besar seumpamanya tanpa menggugat pemain atau penonton.

Rio berjaya menganjurkan Sukan Pan-Amerika 2007 dengan cemerlang tanpa sebarang kejadian tidak diingini, dengan mengerahkan lebih 15,000 pegawai yang dilatih khas. – AP

sumber~utusan

Gadis 16 tahun mula belayar solo



GAMBAR fail menunjukkan Jessica mengendalikan kapal layarnya di Sydney pada 7 Oktober lalu.






SYDNEY - Seorang remaja berumur 16 tahun, Jessica Watson (gambar) memulakan pelayaran dari Pelabuhan Sydney semalam bagi mencipta rekod sebagai pelayar solo termuda dunia mengelilingi dunia.

Dia yang menaiki sebuah kapal layar berwarna merah jambu merancang untuk belayar sejauh 38,000 kilometer dan akan melalui beberapa laluan sukar di dunia.

Sebelum ini terdapat perdebatan sama ada dia yang masih terlalu muda dibenarkan untuk melakukan aktiviti berbahaya itu.

Namun, keluarganya menegaskan bahawa Jessica merupakan seorang ahli pelayaran yang berpengalaman dan telah mempelajari prosedur navigasi.

Remaja itu tidak bercakap dengan pemberita semasa berlepas tetapi ibunya, Julie Watson memberitahu perkembangan pelayaran anaknya di laman blog Internet. - AP

Saturday, October 17, 2009

Sahabat berkumpulan ada etikanya.....


Ketebukaan
>>Apabila anda memiliki sahabat lebih daripada seorang,sudah tentu kamu bersikap terbuka dalam menerima kelebihan dan kekurangan masing-masing.Lantaran itu, kamu tidak blh cepat melatah atau melenting salah seorang daripada mereka seolah-olah mengetepikan kamu dalam satu-satu perkara yg dilakukannya.

Jujur
>>Tidak kira walau apa juga keadaan setiap individu memiliki sikap jujur.Kita perlu jujur pada diri sendiri,jujur dalam perlaku serta jujur pada persekitaran.Dalam persahabatan,kejujuran mempunyai pengaruh yg cukup besar.Jadi,luahkan pendapat dan pandangan kamu pada sahabat secara jujur.

Sepakat
>>Dalam persahabatan,masing-masing perlulah menerima dan mendengar nasihat serta pandangan yg diberikan.Setiap kali berhasrat untuk melaksanakan sesuatu aktiviti secara berkumpulan,pastikan kamu dan sahabat-sahabat yg lain saling berbincang.

Saling mengingatkan
>>Ada kalanya kita lupa pada sebuah janji atau tugas yg harus dilaksanakan bersama-sama.Dalam persahabatan,Kamu perlu rajin dan kerab mengingatkan antara satu sama lain.Walaupun dalam keadaan yg sangat sibuk,kamu perlu berusaha untuk melakukan yg terbaik buat si sahabat.

Berkorban Dan Berkongsi
>>Sikap suka berkorban dan sedia berkongsi adalah faktor yg mampu medorong mengukuhkan lagi sesebuah hubungan bersahabatan yg terjalin.Mungkin salah seorang daripada sahabat kamu itu gemar memilih kamu untuk dijadikan sebagai tempat yg paling selesa bagi dirinya meluahkan perasaan.


PANDUAN MENGERATKAN HUBUNGAN
PERSAHABATAN
a) selalu bertanya khabar
b) kerab menhabiskan masa bersama sahabat
c) Tidak mengharabkan balasan
d) Sentiasa ikhlas
e) Tidak menikam sahabat dari belakang
f) Tidak menipu
g) Saling menghargai antara satu sama lain

Berebut ikan gergasi dengan buaya


SMITH berdiri di sebelah ikan kerakap yang
ditangkap selepas menewaskan seekor buaya.


SEORANG guru seni dari Ireland Utara, Tim Smith terpaksa bertarung dengan seekor buaya besar sebelum berjaya menangkap seekor ikan raksasa, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia bersaing dengan reptilia itu dan secara kebetulan berebut menangkap ikan yang sama semasa memancing di atas sebuah bot kecil di sungai Victoria Nile, Uganda baru-baru ini.

Smith, 39, yang bertugas di Portora Royal School di Enniskillen dekat sini mendakwa, dia 'bertarung' selama 45 minit sebelum memperoleh ikan kerakap seberat 113 kilogram.

Buaya tersebut sudah pun membuka rahang mulutnya untuk membaham Smith sebelum dia menghidupkan enjin bot dan segera menuju ke arah kawasan air terjun Murchison.

"Saya melihat buaya itu meluru ke depan bot saya dan cuba menarik ekor ikan kerakap tetapi ia gagal berbuat demikian kerana saiz ikan ini amat besar sebelum buaya itu merempuh kuat bot saya pula," katanya.

Ikan air tawar sepanjang 1.82 meter yang dipancing Smith itu turut mengatasi rekod ikan kerakap terbesar sebelum ini dan pernah ditangkap di kawasan sama yang beratnya 104 kilogram. - Agensi

sumber~kosmo

Friday, October 16, 2009

Suami baru' sahkan pernikahan




RIDDZUAN menunjukkan dokumen perkahwinan dan laporan polis yang mendakwa isterinya dipaksa berkahwin dengan lelaki lain pada Rabu lalu di Sungai Petani, Kedah.


SUNGAI PETANI - Seorang suami yang dalam dilema selepas mendapat tahu bahawa isterinya telah dipaksa berkahwin dengan lelaki lain di Felda Lurah Bilut, Pahang kini semakin bercelaru selepas menerima pengesahan daripada 'suami baru' isterinya itu.

Riddzuan Ahmad, 35, berkata, jika sebelum ini dia menerima berita itu daripada isterinya, Amira pada Rabu lalu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) tetapi maklumat itu kini disahkan sendiri oleh suami baru isterinya itu yang bernama Manaf.

"Saya hubungi sendiri Manaf yang juga rakan saya dan dia mengaku telah mengahwini isteri saya. Dia mendakwa dipaksa melakukan demikian," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Riddzuan, dia ada meminta supaya lelaki itu membantu membawa pulang Amira tetapi selepas itu talian telefon terputus dan Manaf gagal dihubungi semula.

"Manaf sempat menerangkan kepada saya yang majlis nikah itu dilangsungkan di sebuah masjid di Felda Lurah Bilut, Pahang dan dihadiri oleh ahli keluarga Amira serta beberapa orang kenalan mereka," katanya.

Riddzuan yang merupakan peniaga peralatan telekomunikasi kelmarin mendakwa dia menjadi mangsa dendam keluarga mentuanya yang tidak merestui pernikahannya dengan Amira di selatan Thailand pada Julai lalu.

Kejadian bermula apabila dia diberitahu kononnya ibu mentuanya sakit tenat dan meminta untuk menemui Amira menyebabkan dia membawa isterinya itu pulang menemui keluarganya di Taman Sidam Kiri di sini Selasa lalu.

"Saya tidak menyangka tindakan meninggalkan isteri di rumah mentua menyebabkan kami berhadapan dengan masalah besar. Saya menerima SMS daripada isteri pada petang hari yang sama mengatakan dia dalam perjalanan ke Pahang.

"Amira juga beritahu dia akan dikahwinkan dengan lelaki yang juga kenalan saya," katanya.

sumber~kosmo

Derita Jusvinder dapat perhatian



Azalina Mehtab Mohd. Ishaq (tengah) melihat Kapten Dr. Noor Azimah Zakaria (kiri) dari Kor Perubatan ATM memeriksa Jusvinder Kaur di Butterworth, Pulau Pinang, semalam. - BERNAMA


BUTTERWORTH 16 Okt. - Penderitaan hidup tiga beranak yang tinggal dalam kandang lembu dekat landasan kereta api berhampiran Taman Supreme di sini mendapat perhatian Sekretariat Pengaduan Kebajikan Rakyat (Sepakat) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sepakat dan Kor Perubatan serta Kor Kejuruteraan ATM hari ini menghulurkan sumbangan kepada Jusvinder Kaur, 41, yang tinggal di kandang itu bersama abangnya, Surjinder Singh, 51, dan ibu mereka, Balwant Kaur, 82, sejak 10 tahun lepas.

Selain itu, Kor Perubatan ATM turut membantu menjalankan pemeriksaan ke atas Jusvinder yang menghidapi sejenis penyakit saraf sehingga mengehadkan pergerakannya.

Ketua Pegawai Operasi Sepakat, Azlina Mehtab Mohd. Ishaq berkata, lawatan itu bertujuan mendekati keluarga terbabit selain mendengar masalah yang dihadapi terutamanya membabitkan masalah kesihatan yang dihadapi Jusvinder.

''Sebab itu kita bawa bersama pegawai perubatan dari ATM untuk merawat Jusvinder selain melihat apakah bentuk rawatan yang sesuai untuk membantunya.

''Malah kita bawa juga anggota tentera dari Taiping untuk membantu membaiki kerosakan pada rumah keluarga ini agar mereka dapat hidup dengan lebih selesa,'' katanya.

Jusvinder mengalami masalah saraf sejak 1993 sehingga menyebabkannya mengalami pertambahan berat badan mendadak selain sukar untuk bergerak.

Doktor yang merawatnya sebelum ini turut mengesahkan bahawa penyakit yang dialaminya tidak boleh disembuhkan.

Kini, Jusvinder bergantung hidup dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan selain pendapatan sampingan suaminya hasil jualan susu lembu segar setiap hari.

Sementara itu, Dr. Noor Azimah Zakaria dari Kem Lapangan Terbang Sungai Petani berkata, pihaknya akan merujuk penyakit Jusvinder kepada Jabatan Neurologi Hospital Pulau Pinang terlebih dahulu.

''Kita akan rujuk dengan Neurologi HPP terlebih dahulu sebelum mendapatkan rawatan pakar neurologi kerana segala rekod perubatan pesakit berada di sana.

''Buat masa ini, kita bercadang rujuk kes ini kepada Hospital Angkatan Tentera sama ada di Tapah (Perak) atau di Kuala Lumpur untuk membantu pesakit ini,'' jelasnya
sumber~utusan

Thursday, October 15, 2009

Bayar RM1 bagi seekor tikus


Hariadi Bunafin (kanan) menerima bayaran sebanyak RM2 daripada pegawai Jabatan Kesihatan DBKL sebaik sahaja menyerahkan dua ekor tikus yang berjaya ditangkapnya semasa kempen menghapuskan tikus di Pasar Pudu, kelmarin.


KUALA LUMPUR 13 Okt. - Ketika berjalan di ibu negara terutama di kawasan pasar dan gerai-gerai makanan, terserempak dengan tikus adalah satu perkara yang biasa.

Walaupun satu perkara biasa tetapi semua orang tahu dan menyedari bahawa tikus adalah lambang kekotoran dan pembawa penyakit.

Namun, kita tidak pernah serius dalam membasmi haiwan tersebut menyebabkan populasi haiwan itu di ibu kota semakin membesar dan tidak mustahil sukar dikawal jika tidak langkah pengawalan awal dilakukan.

Menyedari perkara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil inisiatif untuk mengekang pembiakan tikus-tikus di sekitar ibu kota.

Kempen memerangi tikus di pasar-pasar utama telah dijalankan sejak awal tahun lagi.

Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan DBKL, Dr. Ahmad Zaidi Zainal Abidin berkata, Pasar Pudu merupakan pasar yang ketiga menjalankan kempen menangkap tikus pada tahun ini.

"Sebelum ini, DBKL telah menjalankan kempen seumpama itu di Pasar Datuk Keramat pada 12 Februari lalu.

"Sepanjang dua bulan menjalani kempen tersebut, peniaga dan penjaja di sana berjaya menangkap sebanyak 2,406 ekor tikus.

"Kemudian, kempen tersebut diteruskan di Pasar Chow Kit selama lima bulan bermula Mei lalu dan kita berjaya menangkap 8,459 ekor haiwan itu.

"Kali ini, DBKL melalui Jabatan Kesihatan akan bekerjasama dengan peniaga dan penjaja di Pasar Pudu sehingga 12 Disember nanti untuk menghapuskan tikus," katanya selepas pelancaran kempen itu semalam.

Sebanyak 500 perangkap tikus disediakan oleh DBKL bagi membantu peniaga menangkap tikus.

Malah, DBKL akan membayar RM1 bagi setiap ekor kepada individu yang berjaya menangkap haiwan berkenaan.

"Kita telah memperuntukkan sebanyak RM20,000 untuk kempen ini melibatkan semua kos termasuk juga pembelian perangkap tikus dan ganjaran kepada orang ramai," ujar Ahmad Zaidi lagi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Pasar Pudu, Jeff Tan Ker Chiang berkata, pihaknya menyambut baik kempen yang dijalankan oleh DBKL itu.

"Kami mengalu-alukan kempen yang baik seperti kempen memerangi tikus ini. Ini merupakan kali kedua program seumpama ini dilakukan selepas kali pertama pada tahun lalu.

"Kami menyedari ancaman haiwan berkenaan apatah lagi, kawasan pasar seperti di sini merupakan tempat kegemaran haiwan berkenaan kerana terdapat banyak makanan," katanya.

Tambah Jeff Tan lagi, melalui kempen tahun lalu, para peniaga dan penjaja menyedari kepentingan kempen berkenaan.

"Namun begitu dalam tempoh sebulan hingga enam bulan selepas kempen menangkap tikus berkenaan selesai, bilangan tikus kembali bertambah.

"Kami menyarankan agar kempen seperti ini dilakukan sekurang-kurangnya dua kali setahun supaya masalah ini dapat dibendung sepenuhnya," katanya.

Tahun lalu, sebanyak 3,695 ekor tikus berjaya ditangkap oleh peniaga dan penjaja di Pasar Pudu.

Haiwan-haiwan tersebut akan dikumpul oleh DBKL setiap hari dan peniaga dan penjaja akan mendapat ganjaran terus sebaik sahaja menyerahkan tikus-tikus berkenaan.

Utusan Malaysia difahamkan, tikus-tikus yang berjaya ditangkap akan dihantar ke Pusat Kurungan Haiwan di Jalan Air Panas, Setapak untuk dihapuskan dengan kaedah klorofo

sumber~utusan malaysia

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails