
Jepun dilanda gempa bumi 8.9 magnitud
Jepun dilanda gempa bumi berukuran 8.9 magnitud di timur laut negara itu dan menyebabkan tsunami setinggi empat meter yang menghanyutkan kereta dan meruntuhkan bangunan di sepanjang perairan dekat pusat gempa
Jepun dilanda gempa bumi 8.9 magnitud
Jepun dilanda gempa bumi berukuran 8.9 magnitud di timur laut negara itu dan menyebabkan tsunami setinggi empat meter yang menghanyutkan kereta dan meruntuhkan bangunan di sepanjang perairan dekat pusat gempaKalendar kaum Mayan meramalkan kiamat berlaku pada 2012 dan seluruh dunia kini berbicara mengenainya. Apakah bentuk-bentuk kemusnahan yang mungkin boleh terjadi pada dunia?
RAMALAN tarikh kiamat bukan perkara baru. Sudah acap kali penduduk dunia dimomokkan dengan ramalan hari kiamat berlaku pada tarikh tertentu, namun ternyata nafas dunia belum terhenti. Seorang petani di New England pernah meramalkan kiamat berlaku pada 23 April 1843 sehingga memiliki pengikut yang digelar The Millerites. Tarikh 1 Januari 2000 juga tidak terkecuali antara yang pernah diramalkan.
Terdahulu, riuh pada tahun 1806 apabila seorang penternak di Leeds, Britain mendakwa seekor ayam betinanya mengeluarkan telur bertulis 'Christ is coming' dan masyarakat dunia menjangkakan itu petanda kiamat hampir tiba. Pengasas gereja Mormon pernah menggemparkan dunia apabila memberitahu kiamat bakal berlaku sebelum tahun 1891.
Tahun ini, ramalan kedengaran lagi. Kali ini berdasarkan teori 'pengakhiran kalendar' kaum Mayan, Mexico, kiamat akan berlaku pada 21 Disember 2012. Filem berkisar mengenainya '2012' bakal ditayangkan di pawagam esok. Sama ada ramalan itu benar atau tidak, kita hanya akan mengetahuinya tiga tahun lagi.
Bagaimanapun, keadaan kali ini agak berbeza kerana manusia sedang digomol ketakutan ekoran alam bagaikan menunjukkan tanda-tanda enggan lagi bersahabat dengan manusia. Siri bencana alam luar biasa dan perubahan cuaca yang agak ekstrem menggamit resah.
Bagi mereka yang beriman dengan hari kiamat, hari itu pasti akan tiba. Meski kita tidak tahu bagaimana dan bila ia sebenarnya akan berlaku, namun hari kiamat paling rapat dikaitkan dengan peristiwa kehancuran dunia. Di sini, kita membicarakan tentang kehancuran dunia dan apakah yang memungkinkan ia berlaku.
Saintis mula menjangkakan dunia ini bakal hancur menerusi teori big bang yang diperkukuhkan oleh Edwin Hubble pada tahun 1929. Teori itu mengatakan alam semesta ini terbentuk daripada satu letupan dan ia sedikit sebanyak menggambarkan begitulah juga pengakhirannya atau big crunch. Jika benar teori itu, saintis menjangkakan alam semesta yang kini berusia 13.7 bilion tahun akan 'mati' pada 20 bilion tahun dari sekarang.
Namun begitu, ia bukanlah satu-satunya cara kemusnahan dunia khususnya bumi. Planet yang didiami manusia itu terlalu kerdil untuk dibandingkan dengan seluruh alam semesta. Bumi ibarat setitik pada satu galaksi dan terdapat berbilion-bilion galaksi di alam semesta.
Menurut Pegawai Sains di Agensi Angkasa Negara, Mohd. Zamri Shah Mastor yang ditemui di Putrajaya baru-baru ini, kehancuran dunia atau bumi boleh berlaku menerusi beberapa cara.
Hentaman objek
"Pertama adalah menerusi hentaman objek-objek yang terapung di angkasa lepas seperti komet atau asteroid. Terdapat bukti bahawa objek-objek ini boleh memusnahkan," katanya sambil menunjukkan sekeping gambar terbaru permukaan bulan yang pernah dirakamkan oleh misi angkasa Jepun, Selena.
"Kawah-kawah yang terbentuk pada bulan planet bumi adalah hasil hentaman daripada objek-objek ini. Bulan dan bumi kita terletak berhampiran. Bumi kita terselamat kerana memiliki atmosfera. Setiap kali komet dan asteroid cuba menerjah astmosfera bumi, ia akan musnah terlebih dahulu. Bayangkan apa akan terjadi jika manusia berterusan memusnahkan atmosfera dan lapisan ozon bumi?" soal Zamri yang berpengalaman selama 15 tahun dalam bidang sains angkasa.
"Saintis turut mengaitkan kepupusan dinosaur di muka bumi satu ketika dahulu dengan peristiwa hentaman komet. Peristiwa Tunguska yang menyebabkan kewujudan kawah seluas 2,150 kilometer persegi di Siberia pada tahun 1908 dipercayai disebabkan hentaman objek dari angkasa lepas," katanya.
Menurut Zamri, berdasarkan laporan Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Amerika Syarikat (NASA) di laman web http://neo.jpl.nasa.gov, boleh dikatakan hampir setiap hari ada sahaja asteroid yang bergerak menghampiri bumi dan berpotensi melanggarnya. Namun ia tidak berlaku kerana atmosfera kita masih menjadi perisainya. Terdapat 1,077 asteroid yang dikenal pasti berpotensi menghentam Bumi. Namun, lazimnya kata Zamri, saintis hanya menyedari kehadiran sesuatu asteroid apabila ia telah melepasi bumi.
"Antara asteroid yang paling hangat diperkatakan kini adalah asteroid Apophis. Ahli astronomi pada mulanya menjangka ia akan melanggar bumi pada tahun 2029 sebelum diubah kepada 2036.
"Asteroid ini dikatakan akan berada kira-kira 30,000 kilometer (dianggap hampir) dari bumi dan boleh mencetuskan bencana yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Bagaimanapun, berdasarkan saiznya, ia dijangka tidak akan memusnahkan bumi sepenuhnya," kata Zamri.
Perlanggaran galaksi
Selain daripada hentaman komet atau asteroid kata Zamri, bumi juga boleh musnah apabila berlakunya perlanggaran antara galaksi. Kejadian pertembungan antara galaksi memang pernah berlaku.
"Jika ia berlaku, seluruh isi galaksi berkenaan akan berlanggar dan tunggang terbalik. Lebih teruk daripada tsunami pun boleh berlaku," katanya.
Bagaimanapun Zamri berkata, kalangan saintis juga percaya ada kemungkinan alam semesta ini tidak akan berakhir, sebaliknya terus berkembang pesat. Bahkan, ada yang mendakwa bahawa bukti-bukti lebih terarah kepadanya.
Sementara itu, menurut bekas Ketua Jabatan Geologi, Universiti Malaya, Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hassan, bencana yang dahsyat dan besar boleh berlaku apabila plat-plat bumi bergerak semakin pantas dan mengakibatkan pertembungan sesamanya.
| |
| |
"Plat-plat itu kini bergerak lebih pantas dan bertembung dengan kerap berbanding sifat tabiinya sebelum ini. Sebab itulah kini semakin kerap berlaku gegaran gempa bumi dan kita biasa mendengar tentang tsunami. Malaysia yang tidak terletak di Lingkaran Api Pasifik pun sudah boleh merasai gegarannya. Apa akan terjadi sekiranya plat-plat itu bergerak semakin pantas?" soalnya sambil memberitahu bumi kini berusia 4.5 bilion tahun.
Fenomena alam berangkai
Mohamad Ali menerangkan, plat bumi bergerak semakin pantas ekoran tindakan manusia sendiri seperti pemusnahan hutan, penggondolan bukit, ujian nuklear dan penggerudian dasar laut.
"Suhu bumi yang semakin panas boleh mencairkan bongkah ais di kawasan kutub. Jika ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan mencair, ia boleh menyebabkan banjir besar pada dunia," katanya ketika dihubungi.
Mohamad Ali tidak menolak kemungkinan berlakunya kemusnahan alam besar-besaran kerana teori kepupusan haiwan dan tumbuhan purba bagai menunjukkan jawapannya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan berlakunya fenomena alam berangkai yang dinamakan chain reaction sekali gus mencetuskan bencana yang amat dahsyat.
"Gempa bumi boleh menolak air laut ke atas permukaan bumi. Apabila ia berlaku, bumi berusaha untuk menyesuaikan diri dengan keadaan itu lalu menghasilkan 'tindakan-tindakan' melampau. Kejadian hujan batu dan salji turun di benua Afrika adalah antara tanda-tanda yang menunjukkan penyesuaian itu," ujarnya.
Dalam pada itu, NASA baru-baru ini menafikan kewujudan planet Nibiru atau planet X yang dikatakan muncul berhampiran bumi dan bakal melanggarnya pada tahun 2012 berdasarkan teori kaum Mayan.
"Planet ini tidak wujud," kata saintis NASA, Dr. David Morrison yang mendakwa menerima beribu-ribu e-mel berunsur kebimbangan berhubung kiamat yang dikatakan akan berlaku pada 2012.
Terma Kosmofobia
Morrison berpendapat, minat manusia yang semakin berkembang terhadap angkasa lepas telah membawa kepada satu terma iaitu 'kosmofobia'.
"Semakin manusia mengenali angkasa lepas, manusia semakin takut kepada ancaman cakerawala seperti ribut solar, lubang hitam dan Milky Way.
"Ramalan kiamat mungkin boleh meninggalkan kesan yang paling buruk iaitu membuatkan manusia takut terhadap unsur-unsur kosmos iaitu bidang astronomi dan alam semesta," ujarnya.
sumber~kosmo
MANILA - Agensi bantuan bencana Filipina bertindak menyediakan bertan-tan makanan dan helikopter bagi persediaan melakukan pemindahan beramai-ramai penduduk di kawasan pergunungan negara itu berikutan Taufan Lupit bakal melanda.
Persediaan itu dilakukan setelah lebih 800 orang terbunuh akibat taufan yang melanda negara tersebut baru-baru ini.
Ketua sebuah agensi kaji cuaca, Prisco Nilo berkata, Taufan Lupit yang kini sedang mengganas di Lautan Pasifik dengan tiupan angin selaju 175 kilometer sejam dan bergerak selaju 210 kilometer sejam bakal melanda Manila.
Menurutnya, taufan itu dijangka melanda bandar Manila dan memusnahkan harta benda di beberapa kawasan di utara negara ini dalam tempoh tiga hari lagi.
Taufan Lupit merupakan taufan tropika yang ke-18 dari 20 taufan yang akan mengancam negara Filipina pada setiap tahun.
Majlis Penyelaras Bencana Kebangsaan berkata, sebanyak 85 tan beras, sardin, mi, kain selimut dan kelambu telah disediakan untuk dihantar ke utara Filipina termasuk di wilayah Benguet.
Seorang pegawai bantuan, Olive Lucas berkata, datuk bandar telah mengarahkan penduduk kampung yang mengalami risiko bencana dipindahkan segera ke kawasan yang selamat. - AP
sumber~kosmo

WASHINGTON 16 Okt. - Wabak influenza A (H1N1) mungkin boleh menyebabkan darah beku dan kerosakan luar biasa lain pada paru-paru mendorong doktor untuk mencari jalan penyelesaiannya.
Dua kajian perubatan yang diterbitkan dalam Jurnal Roentgenologi Amerika menunjukkan keperluan untuk memeriksa X-ray dan mesin pemeriksaan X-ray Tomografi Berkomputer (CT) untuk ciri-ciri yang luar biasa.
Kajian itu juga menyatakan selesema babi boleh menjadi sukar untuk didiagnosis pada segelintir pesakit yang sudah teruk.
H1N1 mengakibatkan pandemik dan menjangkiti ramai golongan muda dan awal remaja yang sering terlepas daripada kesan terburuk semasa musim selesema.
"Disebabkan itu, adalah penting untuk semua pakar di klinik mengenal pasti kes-kes berkaitan pandemik influenza H1N1 dalam kumpulan yang berisiko tinggi supaya mereka menjalankan pemeriksaan diagnosis yang sepatutnya.
"Malah, mereka juga perlu memulakan terapi khas untuk anti virus dan bersedia untuk menyediakan pendekatan sokongan bantuan yang intensif," kata Dr. Daniel Mollura dari Institut Kebangsaan Pusat Klinikal Kesihatan di Maryland.
Seorang lelaki pertengahan umur yang mati telah tidak didiagnosis punca kematiannya, namun penemuan luar biasa menerusi hasil X-raynya mungkin boleh membantu para doktor untuk menyelamatkan pesakit lain yang mempunyai persamaan penyakit.
Pasukan Mollura telah menemui imej luar biasa yang dipanggil permukaan gelas tidak jelas dalam paru-paru pesakit menggunakan mesin pemeriksa CT.
Walaupun, pesakit tersebut mengalami kesakitan yang teruk dan demam, namun, hasil pemeriksaan mendapati beliau tidak mengalami demam dan doktor tidak memberikan rawatan untuknya.
Lelaki tersebut meninggal dunia lima hari selepas beliau mendapatkan rawatan di hospital dan hasil pemeriksaan autopsi mengesahkan beliau menghidap selesema babi.
Menurut Mollura dan rakan-rakan sekerjanya, luka pada paru-parunya yang kelihatan pada hasil pemeriksaan menggunakan mesin pemeriks a CT adalah berpadanan dengan kerosakan paru-paru akibat jangkitan virus.
Satu kajian dalam jurnal yang sama, pemeriksaan menggunakan mesin tersebut ke atas pesakit dengan kes-kes selesema babi yang teruk menunjukkan rata-rata mereka mengalami 'pulmonary emboli', yang menyebabkan arteri darah dalam paru-paru tersumbat berdasarkan penemuan sepasukan penyelidik di Universiti Michigan.
Bagaimanapun, ubat antigumpal boleh meleraikan darah beku ini dan menyelamatkan nyawa pesakit.
sumber~utusan
>>letupan gunung berapi paling dahsyat<<
| |
| SEBAHAGIAN daripada tujuh buah rumah yang dimasuki air dalam kejadian banjir kilat di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam, Melaka, semalam. |
MELAKA 15 Okt. - Persiapan beberapa keluarga beragama Hindu di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam di sini untuk menyambut Deepavali yang tinggal dua hari sahaja lagi musnah ditenggelami banjir ketika mereka bekerja di sini tengah hari ini.
Bukan sahaja diselubungi rasa sedih tetapi agak memenatkan bagi mereka apabila terpaksa membersihkan rumah yang dilanda banjir kilat kali ketiga sejak setahun yang lalu.
Menurut penduduk, ia kejadian kedua berlaku sejak dua bulan lalu yang berpunca daripada kolam takungan air di hadapan perumahan tersebut.
Seorang penduduk, N. Cholaventan, 31, berkata, hujan lebat sejak kira-kira pukul 10 pagi menyebabkan air mula melimpah ke kawasan jalan di hadapan rumah.
''Masa itu saya sedang kerja dan jiran menghubungi kira-kira pukul 11 pagi mengatakan rumah dimasuki air.
''Masa itu, saya sudah mula terfikir persiapan Deepavali yang mungkin musnah akibat banjir," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Tambahnya, setibanya di rumah, dia mendapati air telah memasuki rumah hingga paras 0.2 meter dan mula memindahkan barangan perabot dan elektrik ke tempat lebih tinggi," katanya.
Cholaventan mendakwa, ini adalah kejadian kedua berlaku selepas kali pertama pada Julai lalu menyebabkan dia kerugian RM8,000 apabila perabot rumahnya musnah.
Seorang lagi penduduk, R. Pubalan, 27, berkata, dia mula berasa bimbang setiap kali hujan lebat sejak tinggal di taman itu yang mula di buka pada awal 2007.
Menurutnya, sejak rumah mula ditenggelami air tahun lalu, dia akan berasa takut untuk meninggalkan rumah dalam tempoh yang lama.
''Sehinggakan saya hendak balik berhari raya di kampung di Segamat, Johor pun takut.
''Julai lalu ketika banjir besar, saya kerugian kira-kira RM7,000 apabila peti ais dan televisyen semua perabot ditenggelami air pada paras satu meter,'' katanya.
Menurut penduduk, masalah banjir kilat di kawasan itu berpunca daripada kawasan kolam takungan air di hadapan taman tersebut.
Mereka mendakwa, pada mulanya, pemaju perumahan itu menjanjikan kawasan kolam takungan air itu sebagai taman tasik yang dilengkapi pelbagai kemudahan riadah. Namun, entah di mana silapnya, kawasan tersebut dijadikan kolam takungan air.
Sementara itu, Pengerusi Japerun Ayer Keroh, Datuk Koh Nai Kwong yang turut meluangkan masa melawat mangsa berkata, beliau akan mengaturkan perjumpaan antara pemaju dan penduduk bagi membincangkan masalah tersebut minggu depan.
''Kita juga akan panggil wakil daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
''Saya harap penduduk dapat bersabar dan sama-sama mencari jalan penyelesaian pada pertemuan itu nanti," katanya.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan dan Pengguna negeri, Datuk R. Perumal dan wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberi bantuan makanan segera kepada penduduk terlibat.
sumbar~utusan malaysia
| |
| KAKITANGAN TNB mendirikan semula tiang elektrik yang tumbang akibat tanah runtuh sepanjang 200 meter di jalan Kampung Janda Baik, Bentong, kelmarin. |
BENTONG 15 Okt. – Penduduk Kampung Janda Baik di sini hidup dalam kebimbangan ekoran kejadian tanah runtuh yang berlaku sepanjang 200 meter semalam berhampiran kilang Elektriksola Sdn. Bhd.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Janda Baik, Zahari Arof berkata, kejadian tanah runtuh kira-kira pukul 3.45 petang itu menyebabkan jalan masuk di Kilometer 2 rosak teruk.
Katanya, kejadian itu juga mengakibatkan kesesakan lalu lintas dari pukul 4 petang hingga 11 malam apabila hanya satu laluan boleh digunakan oleh kenderaan ringan.
‘‘Penduduk kini berasa bimbang kemungkinan runtuhan itu adalah kesan daripada gegaran gempa bumi yang berlaku sejak setahun lalu.
‘‘Pada kejadian terbaru 8 Oktober lalu, lapan gegaran dikesan berukuran 2.5 pada skala Ritcher,” kata Zahari kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Bagaimanapun, kata beliau, tidak ada mangsa mengalami kecederaan dalam bencana alam itu.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Bentong (MPB) mengambil tindakan segera membaiki kerosakan struktur jalan tersebut.
Menurut Zahari, jalan itu perlu diperbaiki segera memandangkan ia merupakan laluan utama ke kampung Janda Baik.
Beliau turut bimbang kerosakan struktur jalan tersebut boleh menjejaskan kedatangan pelancong dan sektor pelancongan di kawasan tersebut.
Sementara itu, Penyelia Elektriksola Sdn. Bhd., A. Mohan memberitahu, kejadian tanah runtuh tersebut menyebabkan 1,000 kakitangan kilang berkenaan terkandas kerana kejadian itu berlaku ketika pekerja syif petang habis bekerja.
Bagaimanapun, katanya, kejadian itu tidak menjejaskan aktiviti kilang berkenaan kerana bekalan elektrik tidak terjejas.
Beliau turut menghargai kecekapan dan tindakan segera yang diambil oleh kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Bentong bagi memastikan bekalan elektrik ke kilang tersebut dan kampung Janda Baik tidak terjejas.
Kata Mohan, beberapa kakitangan kilang tersebut yang merupakan ahli bomba sukarela juga mengambil inisiatif sendiri bagi mengawal pergerakan lalu-lintas di kedua-dua hala di tempat kejadian supaya berjalan lancar.
Kakitangan TNB Bentong semalam mengambil masa lebih tujuh jam membaiki tiang elektrik yang tumbang akibat kejadian tanah runtuh tersebut supaya bekalan elektrik ke Janda Baik dan kilang tersebut tidak terputus.
sumber~utusan malaysia
Kedudukan Malaysia yang hampir dengan laluan taufan, pusat gempa menyebabkan ia merasai tempias bencana
DALAM tempoh beberapa minggu lalu, rantau Asia Pasifik teruk dilanda beberapa bencana alam yang mengorbankan ribuan nyawa. Paling teruk, Taufan Ketsana yang mengorbankan lebih 400 orang di Filipina, Vietnam dan Kemboja.
Bencana itu disusuli pula dengan gempa bumi berukuran 7.6 skala Richter yang melanda Padang, Sumatera, Indonesia mengakibatkan hampir 1,000 nyawa terkorban, belum termasuk kategori orang hilang yang kemungkinan besar akan menyumbang kepada peningkatan statistik korban.
Pada hari sama juga, tsunami membadai Samoa Amerika dan Samoa Barat, mengakibatkan hampir 150 orang maut.
Beberapa hari lalu, Filipina sekali lagi dilanda musibah taufan disifatkan sebagai 'super typhoon' dikenali Taufan Parma, mengakibatkan banjir kilat yang mengorbankan hampir 300 orang di Manila dan sekitarnya.
Taufan itu melanda timur laut pulau Catanduanes di tengah Filipina pada kelajuan 180 kilometer sejam, meniup kencang menghala ke arah barat daya menuju tanah besar Luzon, dengan membawa hujan yang amat lebat.
Keadaan itu membimbangkan kerana Malaysia berada dalam lingkungan tengah antara semua negara terbabit. Semuanya berlaku berhampiran Malaysia iaitu gempa Sumatera (barat Semenanjung) manakala taufan melanda Filipina (Sabah dan Sarawak) serta Kemboja dan Vietnam (timur Semenanjung).
Timbalan Ketua Pengarah (Aplikasi), Jabatan Meteorologi Malaysia, Alui Bahari menjelaskan, secara geografi, rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia sebenarnya dihimpit dari semua arah oleh pergerakan plat tektonik iaitu Plat Indian Australia, Plat Pasifik dan Plat Eurasian.
Katanya, pergerakan plat tektonik ini menyebabkan rantau ini mempunyai kawasan aktiviti seismik yang aktif dikenali sebagai 'lingkaran api' yang mengunjur dari Laut Andaman, perairan barat Sumatera, Pulau Jawa, Sulawesi, Irian Jaya, dan Filipina.
Kedudukan Malaysia yang berhampiran pertembungan plat tektonik di sebelah barat kepulauan Sumatera dan di kepulauan Filipina menyebabkan beberapa aktiviti gempa bumi yang terjadi di kawasan berkenaan turut dirasai di Malaysia.
"Jika dilihat kepada statistik, ia agak membimbangkan kerana secara purata, Filipina dilanda bencana taufan 20 kali setahun dan sembilan daripadanya serius dan tepat. Ini berlaku kerana ia berada di kedudukan tempat pertukaran putaran angin tekanan rendah yang akan menarik udara tekanan tinggi.
| Kejadian gempa bumi (atas) dan tsunami di Indonesia. |
"Namun, biasanya laluan pergerakan angin itu yang menyumbang kepada taufan sebenarnya lebih menghala ke arah China, Jepun, Taiwan dan kadang kala tersasar ke Vietnam dan Kemboja.
"Keadaan itu berlaku pada kawasan yang mempunyai suhu 7 darjah Celsius utara dan selatan dan hakikatnya, Malaysia langsung tidak cenderung ke arah itu kerana mempunyai daya tarikan suhu hampir 0 darjah Celsius.
"Jika ada, ia cuma angin ribut pada suhu permukaan atau ribut tropika mengakibatkan angin kencang dan ribut petir. Cuma Sabah dan Sarawak agak terdedah kepada risiko berkenaan terutama di pantai barat Sabah," katanya.
Hakikat yang harus dibimbangi juga ialah Indonesia kerap dilanda gempa bumi dan tsunami, bahkan kesan gegarannya turut dirasai di negara ini.
Alui berkata, pertembungan plat tektonik di sebelah kepulauan Sumatera berlaku setiap tahun dengan purata pergerakan garis sesar aktif sebanyak 7 sentimeter (sm) setahun manakala di Filipina, ia merekodkan pergerakan 11 sm setahun.
"Ia terlalu kecil dan jarang dirasai gegarannya. Umpama individu yang mengalami tekanan perasaan, lebih baik dilepaskan sedikit demi sedikit daripada dibiarkan dan dipendam. Akibatnya, jika dipendam terlalu lama, ia akan 'meletup' mengakibatkan gempa besar dan boleh terjadi tsunami," katanya.
Seorang lagi pakar meteorologi merangkap Ketua Pemantau Sistem Bumi, Simulasi dan Iklim, Institut Sains Laut dan Bumi, Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah, berkata taufan boleh dikesan berdasarkan petanda cuaca buruk dan pergerakan angin, tetapi keadaannya berbeza jika berlaku gempa bumi terutama yang kuat hingga menyebabkan tsunami.
"Pergerakan angin 'tidal search' juga boleh menyebabkan banjir di kawasan pantai dengan ketinggian ombak mencecah 3 hingga 4 meter tetapi tenaganya agak rendah berbanding ombak tsunami kerana tenaganya sangat kuat dan kekal walaupun ketika melanda pantai hingga menghasilkan ombak tinggi.
"Jika wujud rekahan plat sedalam satu kilometer, kelajuan ombak yang terhasil boleh mencecah 360 kilometer sejam. Maknanya, ombak itu boleh sampai dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dalam tempoh sejam, sama kelajuan kapal terbang," katanya.
Info
KUALA LUMPUR - Pelajar Universiti Andalas di Padang, Sumatera Barat, Marwiza Abdul Ghani sudah lali dengan gempa bumi selepas merasai kira-kira 30 kali gegaran sejak tinggal di Padang empat tahun lalu tetapi tidak ada kejadian yang lebih buruk berbanding tragedi pada pukul 5.30 petang Rabu lalu.
Kesan gegaran kuat gempa 7.6 pada skala Richter itu terbukti apabila pelajar Universiti Andalas itu tidak mampu berdiri.
"Kalau dulu saya boleh berlari keluar rumah, kali ini nak berdiri pun tak boleh,'' katanya ketika ditemui sebaik tiba dengan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan TUDM Subang semalam.
Tiga pesawat TUDM mendarat bersama 330 pelajar dengan penerbangan pertama tiba pukul 5 pagi membawa 117 orang.
Ia diikuti pesawat kedua pada 6.15 pagi bersama 164 penumpang manakala penerbangan terakhir dengan 49 penumpang mendarat sejam kemudian.
Ada juga pelajar mendakwa melihat jalan raya terbelah dua, air laut tiba-tiba surut dan mayat bergelimpangan.
Ketiga-tiga peristiwa ngeri itu dialami oleh Mohd. Ashraf Abdul Hamid yang sedang berehat di tepi pantai sebelum dikejutkan dengan air laut tiba-tiba surut dan jalan terbelah dua.
Dia bersama pengunjung lain lintang-pukang mencari kawasan tinggi.
"Ramai tahu itu tanda awal tsunami. Saya cepat-cepat lari dalam keadaan terhoyong-hayang seperti orang mabuk kerana tanah bergegar,'' kata pelajar perubatan Universiti Andalas itu.
sumber-kosmo
JAKARTA - Ketika para pekerja mencari dan menyelamat sudah 72 jam bekerja keras menggali dan mencari mangsa dari celah-celah runtuhan lebih 11,000 bangunan akibat gempa 7.6 skala Richter Rabu lepas, sejak hari itu Sumatera Barat sudah digoncang 389 kali gempa bumi susulan.
Bagaimanapun, gempa susulan itu yang berukuran lebih kecil iaitu antara tiga hingga empat skala Richter mungkin tidak begitu dirasakan oleh penduduk tetapi masih berkemampuan mengakibatkan bangunan yang telah rosak akibat gempa utama itu tiba-tiba runtuh dan mengancam nyawa.
Ketua Bidang Maklumat Awal Gempa Bumi dan Tsunami, Badan Metereologi Klimatologi dan Geofisika Indonesia, Jaya Murjaya berkata, gempa susulan itu sifatnya hanya menghabiskan tenaga di dalam bumi setelah terjadinya gempa besar.
"Gempa susulan tidak akan melebihi 7.6 skala Richter dan masyarakat tidak perlu takut, tapi waspada saja," katanya dalam laporan agensi berita Antara di Padang semalam.
Sehingga semalam, Pusat Penanganan Bencana di Padang, mencatatkan 448 kematian akibat gempa bumi yang terjadi pada pukul 5.16 petang Rabu itu.
Berdasarkan rekod pihak berkuasa, bilangan mangsa gempa yang cedera parah ialah 237 orang manakala mereka yang mengalami cedera ringan kira-kira 2,100 orang.
Jumlah kematian paling ramai ialah di Kota Padang iaitu 197 orang diikuti di daerah kecil Padang Pariaman (184) dan selebihnya di beberapa kawasan sekitar.