Followers

Showing posts with label no topic. Show all posts
Showing posts with label no topic. Show all posts

Friday, May 20, 2011

MKK Sg. Rotan mohon bekalan air Bersih



GURUN - Majlis Ketua Kampung (MKK) Sungai Rotan mengemukakan permohonan bagi mendapatkan bekalan air bersih kepada Syarikat Air Darul Aman (SADA) untuk lima buah rumah di Kampung Sungai Rotan Dalam di sini, yang tidak pernah menerima bekalan air sejak tahun lepas.

Pengerusi MKK Sungai Rotan Surani Hamid berkata, dia mengemukakan masalah itu kepada SADA melalui Pegawai Khas Menteri Besar Muzani Azizan sejak tahun lepas, namun sehingga kini tiada maklum balas diterima daripada Sada.

Katanya, hanya pada minggu lepas pegawai khas itu datang meninjau masalah penduduk Kampung Sungai Rotan Dalam itu.

"Muzani turun melihat keadaan penduduk dan kami berbincang tentang jalan penyelesaiannya namun mesti tunggu kata putus pihak kerajaan negeri,” katanya sewaktu membuat tinjauan di Kampung Sungai Rotan Dalam. - Bernama

1000 Bakal Hilang Kerja

1,000 pekerja bakal hilang kerja


SEBAHAGIAN pekerja pembersihan awam dan kontraktor mengadakan bantahan secara aman supaya kontrak mereka dikekalkan pada sidang akhbar di Kajang semalam.


KAJANG - Lebih 1,000 orang pekerja dalam Perkhidmatan Pembersihan Awam bakal hilang pekerjaan jika kerajaan negeri Selangor menyerahkan semula pengurusan pembersihan awam yang sebelum ini dikendalikan Alam Flora Sdn. Bhd. kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu.

Pengarah Konsortium Hulu Langat Jati Sdn. Bhd., Razali Nasir (gambar) berkata, jika ia berlaku, 118 kontraktor yang bernaung di bawah konsortium itu akan gulung tikar.

"Kami membantah hasrat kerajaan negeri Selangor ini dan menggesa agar kontrak sedia ada dikekalkan.

"Isu ini sebenarnya tidak perlu dipolitikkan kerana kami sentiasa membuka pintu untuk berbincang," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Sebaik sidang akhbar berakhir, satu demonstrasi secara aman diadakan bagi menggesa kerajaan Selangor mengekalkan kontrak sedia ada.

Razali berkata, segala keputusan yang tidak betul berhubung isu itu akan menjejaskan pendapatan ramai pekerja.

Kerajaan Selangor pada bulan lalu memutuskan untuk menyerahkan semula pengurusan pembersihan awam kepada sembilan PBT di negeri itu ekoran aduan berhubung tahap kebersihan yang tidak memuaskan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, bagaimanapun, perkhidmatan pengurusan sisa pepejal seperti pungutan sampah di setiap rumah masih lagi dikendalikan Alam Flora.

Menurut Abdul Khalid, keputusan itu tidak memberi implikasi kepada kewangan PBT yang membelanjakan antara RM300 juta dan RM400 juta untuk kerja pembersihan dan pengurusan sisa pepejal.


sumber~kosmo

Tuesday, February 8, 2011

kematian dua beranak di SK 6/1,Pangsapuri Aman


Tragis kematian dua beranak


ANAK panah menunjukkan lokasi Man Lin terjatuh.


SERI KEMBANGAN – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun menemui ajal secara tragis apabila dia tercampak dari tingkat enam ketika berada dalam dukungan ibunya dalam kejadian di Jalan SK 6/1, Pangsapuri Aman di sini semalam.

Kejadian pukul 12 tengah hari itu mengakibatkan kanak-kanak tersebut, Chong Man Lin, 5, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Lebih memilukan, ibu kanak-kanak itu, Tan Lee Eng, 35, yang disyaki menghidap penyakit mental turut menemui ajal tidak berapa lama kemudian selepas dia terjatuh dari tingkat 10 pangsapuri sama.


sumber~kosmo

Saturday, October 9, 2010

RM500,000 habuan lumayan

RM500,000 habuan lumayan


(DARI KIRI) Penerbit Eksekutif Projek Khas, Sooraj Nair, Penerbit Program, Sharon Koo, Pengurus Saluran Astro Warna, Nizam Sani, Penerbit Eksekutif, Mackenna Sigh dan Haslina Hashim menunjukkan cara permainan Anda Ada 60 Saat.


JIKA anda memiliki skil dan kemahiran yang tinggi, anda berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai yang cukup lumayan. Wang sehingga RM500,000 boleh dimenangi sekiranya anda menyertai rancangan permainan terbaru berjudul Anda Ada 60 Saat, di Astro Warna (saluran 132).
Pengurus Astro Warna, Nizam Sani berkata rancangan terbaru terbitan Astro itu merupakan sebuah program yang diadaptasi daripada rancangan Minute To Win It yang disiarkan di saluran TV di Amerika Syarikat dan mendapat sambutan hebat ketika ini.
“Anda Ada 60 Saat adalah sebuah program kuiz permainan yang mengenengahkan konsep permainan santai tetapi menarik dan memberi peluang kepada para peserta untuk memenangi hadiah wang tunai sehingga RM500,000 jika berjaya melepasi 10 permainan dalam tempoh 60 saat bagi setiap permainan.
“Permainan-permainan yang diberikan pula adalah cukup mudah kerana cabaran yang bakal dilalui hanya dengan menggunakan perkakas yang digunakan seharian di rumah. Semua bentuk permainan pula adalah sama seperti yang ditampilkan menerusi rancangan Minute To Win It,” ujar Nizam pada majlis pelancaran program itu baru-baru ini.
Menurut Nizam, dengan menyertai program tersebut, para peserta tidak perlu memerah otak untuk menjawab sebarang soalan, sebaliknya hanya perlu menunjukkan skil dan kemahiran dan peserta diberi tiga peluang untuk mencuba.
“Cabaran yang paling utama buat peserta adalah untuk menyelesaikan setiap permainan hanya dalam masa 60 saat,” ujarnya.
Antara cabaran-cabaran yang akan diberikan kepada para peserta setiap minggu seperti Kepala Rock, Kepala Baldi, Tin Beracun, Bersemuka Dengan Biskut, Lawan Graviti serta banyak lagi.
“Cabaran Bersemuka Dengan Biskut sebagai contohnya merupakan acara yang mana peserta perlu menggerakkan dua keping biskut dari dahi ke mulut dengan menggunakan otot muka sahaja. Jika gagal dilaksanakan dalam tempoh 60 saat, peserta akan disingkirkan selepas tiga kali percubaan,” jelasnya.
Nizam juga memberitahu bahawa orang ramai tidak perlu risau kerana untuk melihat cara permainan, mereka boleh menontonnya melalui video yang akan dipaparkan di laman web rasmi rancangan berkenaan di www.astro.com.my/andaada60saat. Ujarnya, melalui video tersebut, mereka boleh berlatih lebih awal sebelum datang untuk menyertai rancangan tersebut.
Sementara itu, bagi sesiapa yang ingin menyertai rancangan ini perlu menghadiri sesi uji bakat yang akan diadakan di Dewan Sri Putra, Stadium Bukit Jalil pada 16 dan 17 Oktober ini. Ia terbuka kepada seluruh warganegara Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas serta perlu membawa salinan kad pengenalan berserta dua keping gambar terkini bersaiz 4R ketika hadir sewaktu uji bakat.
Tambah Nizam, pada sesi uji bakat itu nanti setiap peserta akan diberi lima pilihan permainan dan perlu melengkapkan tiga daripadanya untuk layak menyertai rancangan berkenaan. Manakala sesi uji bakat pula akan bermula dari jam 9 pagi sehingga 6 petang.
Rancangan sebanyak 26 episod ini bakal memulakan siaran pertamanya pada 25 Disember depan pada setiap Sabtu dan Ahad, pukul 10 malam.
sumber~kosmo

Sunday, September 12, 2010

Kematian Datuk Sosilawati Lawiya - Peguam, adik dan enam pekerja ditahan

BANTING 12 Sept. – Polis menahan seorang peguam bergelar Datuk dan adiknya serta enam pekerja kebun kelapa sawit milik mereka di mana jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi dipercayai dibunuh.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, kesemua suspek dipercayai terlibat membunuh mangsa sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sebuah anak sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat di sini.
Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Kuala Langat di sini, Mohd. Bakri berkata, polis membuat tangkapan pertama pada 10 September melibatkan lima orang.
Semalam, Datuk itu dan adiknya yang juga seorang peguam dan berpusat di sini ditahan, manakala seorang lagi suspek ditahan hari ini.
Beliau berkata, hasil penyiasatan polis, mereka mengaku bertanggungjawab dalam membawa kesemua mangsa ke kebun kelapa sawit itu seluas 1.6 hektar, sebelum memukul sehingga mati dan membakar mayat kesemua mangsa.
Selain Sosilawati, turut dibunuh pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.
Mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.
Bagaimanapun, Mohd. Bakri berkata, beliau tidak dapat mengesahkan tarikh sebenar kesemua mereka dibunuh, tetapi ia mungkin di antara tarikh mereka dilaporkan hilang pada 30 Ogos sehinggalah semalam.
Mengenai motif kejadian, beliau berkata, ia lebih ke arah saingan perniagaan dan urus niaga kewangan di antara suspek utama (kedua-dua peguam) dan Sosilawati. – Bernama

sumber~utusan malaysia

Saturday, September 11, 2010

Datuk Sosilawati Ditemui - Mayat dibakar di ladang ayam





 Sosilawati
KUALA LUMPUR – Empat mayat dipercayai termasuk jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya (gambar) dan tiga rakannya yang dilaporkan hilang sejak 13 hari lalu ditemui dekat pantai Morib, Selangor semalam.
Kesemua mereka dibunuh dengan kejam sebelum dibuang dan dibakar di ladang ternakan ayam dekat Tanjung Layang, Morib.
Setakat ini polis sudah menahan enam individu berhubung penemuan mayat-mayat tersebut.
Motif pembunuhan belum dapat dipastikan.
Kehilangan Sosilawati, 47, bersama tiga lelaki lain dipercayai didalangi seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ yang dikatakan individu terakhir yang ditemui jutawan kosmetik itu ketika urus niaga tanah dijalankan di Banting, Selangor pada 30 Ogos lalu.
‘Datuk’ berkenaan yang mempunyai ramai kenalan di kalangan orang kenamaan dipercayai berperanan sebagai broker dalam penjualan tanah bernilai RM4 juta di Pulau Pinang.
Satu sumber memberitahu, ahli perniagaan itu dipercayai mempunyai banyak petunjuk bagi membantu siasatan kes, termasuk mengesan lokasi keempat-empat mangsa disembunyikan.
“Dia dikatakan pernah terbabit dalam kegiatan penipuan jual beli tanah, dipercayai didalangi sindiket terancang. Malah, beberapa laporan polis pernah dibuat terhadapnya sebelum ini berkaitan urus niaga tanah.
“Difahamkan, ahli perniagaan terbabit mahir ‘menghilangkan’ pelanggannya,” kata satu sumber ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Jelasnya, sebelum ini dua pelanggan dilaporkan hilang selepas mengadakan urus niaga tanah dengannya dan sehingga kini masih belum ditemui, namun lelaki tersebut menafikan semua dakwaan itu.
Ujar beliau, maklumat turut menyatakan ahli perniagaan itu sering terlepas daripada tindakan undang-undang kerana mempunyai hubungan istimewa dengan orang kenamaan, selain mahir dalam bidang perundangan.
Sosilawati yang merupakan pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu.
Turut hilang ialah peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; dan seorang lelaki, Kamaruddin Shansuddin, 44, yang dikatakan pemandu peribadi jutawan itu.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! Ahad ke rumah Sosilawati di Taman Harmonis Gombak semalam mendapati pintu pagar rumah tersebut bertutup dan tidak nampak seperti suasana berhari raya.
Seorang lelaki yang merupakan pekebun di rumah berkenaan yang enggan dikenali memberitahu, keluarga Sosilawati masih belum mendapat apa-apa perkembangan berkenaan kehilangan jutawan itu daripada pihak polis.
Katanya, pihak keluarga juga itu enggan diganggu. Beliau memberitahu, hari raya tetap disambut meskipun tanpa adanya tuan rumah.

sumber~kosmo

Friday, December 25, 2009

Kempunan makan puyu bakar



Siti Bedah (kiri ) bersama Zaitun menunjukkan ikan puyu peliharaan arwah di kolam belakang rumahnya di Kampung Permatang Bonggor, Jerlun, Kedah semalam.


JERLUN - "Arwah bercadang nak bakar ikan puyu hari ini (semalam) bagi meraikan ulang tahun kedua perkahwinannya, namun tidak kesampaian."

Demikian kata Siti Bedah Hussain, 48, ibu kepada Normah Md. Isa, 28, yang maut bersama suami, Benyamin Yaakub, 30, serta anak mereka, Ilnur Balqis berusia sembilan bulan setelah dirempuh lori tanah di persimpangan lampu isyarat Jalan Ibrahim-Kodiang, Jitra kelmarin.

Menurutnya, ikan puyu itu merupakan hasil tangkapan pertama setelah dipelihara arwah di kolam belakang rumah sejak enam bulan lalu.

Katanya, arwah juga bercadang membeli bihun dan laksa untuk dimakan bersama anggota keluarga selain membakar ikan puyu.

"Arwah memang minat membela ikan sejak kecil lagi. Mereka berdua juga bercadang untuk menjual ikan puyu itu tetapi hajat mereka tidak kesampaian," katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Permatang Bonggor, Kerpan di sini semalam.

Dalam pada itu, ibu saudara arwah yang bertugas sebagai guru di ibu negara, Zaitun Hussain, 43, memberitahu, kira-kira pukul 3 petang kelmarin, arwah ada menghubunginya untuk singgah di Kuala Lumpur.

Katanya, arwah telah mendapat tawaran untuk menjadi Guru Sandaran Tidak Terlatih di Sekolah Menengah Perempuan Pudu bagi mengajar mata pelajaran Kemahiran Hidup Januari depan.

"Arwah benar-benar gembira dengan tawaran tersebut dan tidak sabar untuk mengajar," katanya yang rapat dengan arwah kerana dipelihara Siti Bedah sejak kecil.

Dalam pada itu, pemandu lori tanah yang terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan nyawa tiga beranak itu ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan polis.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supritendan Sawaluddin Haminuddin berkata, perintah itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Jitra pukul 10 pagi semalam.

Katanya, pemandu berusia 34 tahun itu ditahan di lokasi kejadian semalam (kelmarin) untuk disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kes disiasat daripada pelbagai aspek termasuk dakwaan lori terbabit mengalami masalah brek. Kenderaan itu akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan.

"Ujian air kencing ke atas pemandu terbabit juga dibuat bagi mengesan sama ada dia mengambil dadah atau memandu di bawah pengaruh alkohol," katanya.

Dalam kejadian pukul 5 petang itu, sepasang suami isteri dan bayi mereka maut setelah sebuah lori tanah terbabas lalu menyeret kereta Proton Wira yang dinaiki mereka sejauh 20 meter.

Pasangan suami isteri itu sepatutnya menyambut ulang tahun kedua perkahwinan mereka kelmarin.

Kemalangan ngeri membabitkan lima buah kenderaan itu turut mengakibatkan seorang lelaki berusia 50 tahun cedera parah dan dua lagi termasuk pemandu lori berkenaan cedera ringan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails